Fairus keluar PKR masuk UMNO

Najib Tun Razak bersalaman
dengan Mohammad Fairus Khairuddin ketika menghadiri majlis Perjumpaan
Kepimpinan Tertinggi PSSGM di Kuala Lumpur, semalam.



KUALA LUMPUR 28 Feb. – Parti Keadilan Rakyat (PKR) menerima satu
lagi tamparan apabila bekas Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang,
Mohammad Fairus Khairuddin mengumumkan keluar parti itu dan menyertai
UMNO.

Beliau membuat pengumuman itu sewaktu berucap di hadapan Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis perjumpaan kepimpinan
tertinggi Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) di sini malam
ini.

Menurut Mohammad Fairus, keputusan itu dibuat kerana beliau sudah
hilang kepercayaan terhadap PKR dan perasaan itu semakin memuncak
berikutan isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.

Katanya, sebelum membuat pengumuman pada malam ini, beliau telah
melakukan solat sunat istikharah selama tiga bulan bagi mencari
kepastian.

Menurutnya, ini kerana melalui proses itu beliau telah berjaya mendapat petunjuk jelas mengenai keperluannya meninggalkan PKR.

“Dengan lafaz ‘bismillahirrahmanirrahim,’ saya dengan ini atas dasar
mempertahankan prinsip memperjuangkan agama, bangsa, tanah air serta
kepentingan rakyat Malaysia, saya mengumumkan penyertaan dalam UMNO dan
Barisan Nasional (BN).

“Dengan sendirinya (saya) keluar PKR atas dasar hilang kepercayaan
terhadap parti tersebut. Insya-Allah saya berdoa agar diberi kekuatan
serta bimbingan dalam urusan perjuangan menggunakan wadah baru ini,”
katanya.

Mohammad Fairus memberitahu, keputusan itu juga didorong oleh dua prinsip peribadinya yang tidak akan dikompromi selama-lamanya.

Katanya, prinsip itu ialah sentiasa membela kedaulatan dan
ketinggian Islam serta kedaulatan bangsa yang tidak akan sesekali
diperkotak-katikkan.

Tegasnya, beliau juga telah membuktikan kata-katanya dengan melepaskan semua perkara yang berkaitan kepentingan dirinya.

Pada April tahun lalu, Fairus yang merupakan ADUN Penanti meletakkan
jawatan Timbalan Ketua Menteri dan juga mengosongkan kerusinya.

Sementara itu, Najib berkata, keputusan Mohammad Fairus menyertai UMNO adalah sesuatu yang bersejarah kepada parti itu.

Perdana Menteri berkata, ini memandangkan beliau pernah menyandang
jawatan penting dalam pentadbiran Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau yakin penyertaan Mohammad Fairus ke dalam UMNO akan
membolehkannya memberi sumbangan besar kepada perjuangan parti bagi
membela bangsa dan agama.

“Saya atas nama Presiden UMNO menyatakan kami terima anak muda ini
dengan senang hati kerana saya tahu saudara Mohammad Fairus ambil
keputusan ini atas dasar prinsip dan bukannya bagi mendapatkan jawatan
dan ganjaran,” katanya.

Menurut Najib, beliau telah meneliti ucapan Mohammad Fairus pada
malam itu dan mendapati ia sangat bernas, mantap dan bersemangat.

“Saya amati ucapannya dan saya dapati dia sudah hilang kepercayaan
terhadap kepimpinan PKR yang didapatinya tidak lagi mempertahankan
soal-soal prinsip yang dipegang olehnya.

“Ini melibatkan soal martabat dan maruah bangsa serta agama Islam.
Oleh itu, anak muda ini pada hari ini, saya isytiharkan bahawa dia kini
sama-sama berada dalam kalangan parti UMNO,” katanya.

Malam ini, Najib dianugerahkan Anugerah Sandang Mahkota Agung Seri
Pelangi Sakti PSSGM kerana sokongannya kepada pertubuhan silat itu.

sumber – utusan

No comments.

Leave a Reply

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE