Botol Air Mineral, Rambut, Berus Gigi, Tuala Kecil Diambil Di Lokap Tahanan Anwar

Rakaman CCTV : Imej seorang lelaki memasuki lif di Kondominium Desa Damansara pada 26 Jun 2006- Foto Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR, 1 Mac – Seorang pegawai polis memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa pihak polis hanya membekalkan berus gigi, ubat gigi, tuala kecil dan sabun mandi kepada setiap tahanan polis di mana-mana lokap.

Timbalan Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Polis Kontinjen Kuala Lumpur DSP Yahya Abd Rahman berkata, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dibekalkan dengan barangan yang sama ketika beliau ditahan dilokap IPK Kuala Lumpur pada 16 Julai, 2008.

Bagaimanapun, beliau telah menggunakan budi bicaranya untuk membenarkan Anwar membawa dua tuala dan sebotol air mineral ke dalam lokap di Tingkat 7 bangunan IPK berkenaan.

Ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Nordin Hassan dalam kes perbicaraan Anwar yang menghadapi pertuduhan meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, adakah tahanan lain bersama Anwar di dalam sel lokap sama pada hari itu, Yahya berkata hanya Anwar seorang sahaja di sel berkenaan.

Beliau berkata Anwar telah dibawa keluar pada keesokkan hari (17 Julai 2008) dan beliau telah mengarahkan dua anggota polis untuk mengunci sel berkenaan.

Saksi pihak pendakwaan ke-17 itu juga memberitahu mahkamah bahawa ketika beliau membuat pemeriksaan dari luar sel selepas itu, mendapati ada sebotol air mineral, tuala dan berus gigi di dalam bilik itu.

Ketika pemeriksaan balas oleh peguam yang mewakili Anwar, Karpal Singh yang merujuk kepada gambar-gambar yang diambil di sel berkenaan seolah-olah seperti kandang haiwan, Yahya berkata keadaan itu adalah kerana bangunan sudah lama.

Bagaimanapun ketika pemeriksaan semula oleh Nordin, saksi itu berkata bilik sel memang dibersihkan dan ia nampak kotor disebabkan catnya sudah meluntur.

Untuk satu soalan lain oleh Karpal adakah kamera litar tertutup (CCTV) berfungsi di tingkat 7 banguan itu, Yahya berkata kamera tersebut memang ada dipasang tetapi tidak berfungsi.

Karpal juga menanyakan secara bertalu-talu siapakah sebenarnya mengeluarkan arahan untuk menahan Anwar.

Karpal: Siapa arahkan DSAI dimasukkan ke dalam lokap?

Yahya: Tak pasti.

Karpal: Pegawai atasan ataupun arahan sendiri? Nyatakan dengan tepat arahan siapa?

Yahya: DSP Judy Blacious Pereira.

Karpal: Bila arahan itu dibuat?

Yahya: Sewaktu berbincang selepas penahanan Anwar, di bilik mesyuarat D9.

Karpal: Anwar tidak dibekalkan katil, bantal dan selimut, kenapa tidak, beliau adalah manusia bukan?

Yahya: Memang tidak dibekalkan, itu merupakan amalan standard untuk semua tahanan.

Karpal: Adakah semua balai di negara ini tidak membekalkan katil, selimut dan bantal?

Yahya: Saya tidak boleh menjawab.

Anwar, 63, dituduh meliwat Mohd Saiful, 25, yang merupakan bekas pembantu peribadinya, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, antara 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Sebelum itu, Ketua Bahagian CSI Makmal Polis Diraja Malaysia di Cheras Supt Hamidon Adnan memberitahu mahkamah bahawa beliau telah memeriksa dua unit di Kondominium Damansara pada 17 Julai 2008.

Katanya, beliau telah menemui sehelai bulu di unit 11-5-1 dan seterusnya telah merampas satu karpet dan satu selimut tebal.

Ketika disoal oleh Nordin kenapa beliau mengambil bahan-bahan bukti berkenaan, Hamidon berkata ia untuk tujuan penganalisaan DNA.

Saksi pihak pendakwaan ke-15 itu juga memberitahu mahkamah bahawa beliau juga telah diminta menyiasat sel lokap di mana Anwar ditahan dan telah menemui sehelai rambut, berus gigi, sehelai tuala kecil di atas lantai.

Hamidon berkata, sebotol air mineral berjenama cactus di atas tembok berhampiran dengan tandas lokap.

Perbicaraan di hadapan hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah disambung petang Selasa – bernama

 

Saksi diarah periksa sel lokap Anwar

KUALA LUMPUR 1 Mac – Sehelai bulu, botol air minuman, berus gigi dan tuala kecil ‘Good Morning’ merupakan barang yang dirampas oleh pasukan Siasatan Tempat Kejadian (CSI) Bukit Aman dari sel lokap tahanan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Bahagian Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) ibu negara pada Julai 2008.

Bekas Ketua Bahagian CSI Makmal Forensik Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman,Amidon Anan, 60, berkata, beliau menjumpai bulu, berus gigi dan tuala tersebut di atas lantai sel lokap berkenaan.

Sementara botol air minuman ‘Cactus’ ditemui di atas tembok tandas sel lokap tersebut, kata saksi pendakwa ke-15 itu pada perbicaraan kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang itu di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Anwar, 64, didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.

Amidon yang kini merupakan pensyarah pelawat di dua buah universiti tempatan berkata, beliau membuat pemeriksaan di sel lokap itu selepas diarahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II, Datuk Ku Chin Wah kira-kira pukul 11.40 pagi, 17 Julai 2008.

Amidon yang memberi keterangan di mahkamah dalam lebih 900 kes memberitahu, beliau sebelum itu bersama pasukannya diminta oleh pegawai penyiasat, Deputi Supritendan (DSP) Judy Blacious Pereira untuk membuat pemeriksaan di unit 11-5-1 dan 11-5-2 di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara pada 30 Jun 2008.

Dari unit 11-51-1, menurutnya, beliau hanya menemui dan merampas sehelai bulu manakala satu hamparan permaidani sutera China dan sehelai selimut tebal (blanket duvet) jenama Pasaya dirampas dari unit 11-5-2.

Jelas saksi tersebut, kesemua barang itu yang dirampas dari kedua-dua lokasi bertujuan dijalankan analisis asid deoksiribonukleik (DNA) kemudiannya diserahkan kepada Judy.

Menurut Amidon lagi, semasa pemeriksaan dan merampas barang-barang tersebut, beliau dan anggota pasukannya memakai baju keselamatan, sarung tangan dan kaki bagi mengelakkan barang- barang itu tercemar.

Pada 23 Februari lalu, ahli kimia yang juga saksi pendakwa keenam, Nor Aidora Saedon memberitahu mahkamah bahawa ujian analisis DNA terhadap tuala, berus gigi dan botol minuman yang diserahkan kepadanya menunjukkan wujudnya profil DNA Lelaki Y.

Enam hari sebelum itu, seorang lagi ahli kimia, Dr. Seah Lay Hong menyatakan, ujian analisis DNA pada empat calitan putik kapas menunjukkan kehadiran profil DNA Lelaki Y di dalam rektum dan permukaan dubur (perianal) pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan.

Beliau bagaimanapun, sehingga hari terakhir memberi keterangan di mahkamah, tidak mengetahui identiti sebenar penyumbang DNA Lelaki Y itu.

Sementara itu, saksi pendakwa ke-17, DSP Yahya Abd. Rahman berkata, Anwar turut membawa bersamanya sebotol air mineral ketika ditahan di dalam sel lokap D9 di tingkat tujuh IPK tersebut pada 16 Julai 2008.

Menurut pegawai penyelia lokap D9 IPK tersebut, beliau membenarkan Ketua Pembangkang itu membawa botol minuman itu selain dua helai tuala mandi warna cerah ke dalam lokap atas budi bicara sekalipun barang-barang itu sepatutnya tidak diizinkan dibawa masuk.

Bagaimanapun, katanya, pada pukul 12.10 tengah malam, 17 Julai 2008 beliau ada membawa satu bungkusan plastik mengandungi sehelai tuala kecil ‘Good Morning’, sebatang berus gigi, ubat gigi dan sabun kecil seperti yang biasa dibekalkan kepada tahanan, untuk diserahkan oleh anggota polis bertugas kepada Anwar.

Dalam keterangannya, Yahya yang juga Pegawai Siasatan Kes Bunuh IPK Kuala Lumpur berkata, berdasarkan buku kehadiran lokap, Anwar dibawa masuk oleh Judy dalam keadaan baik dan terkawal pada pukul 11.05 malam, 16 Julai 2008.

Menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Nordin Hassan, Yahya berkata, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ditahan sehingga pukul 8 pagi keesokan harinya dan sepanjang tempoh tersebut, tiada tahanan lain berada di dalam lokap berkenaan.

Menurutnya, di balai polis itu hanya terdapat sebuah lokap dan sebuah sel.

Ujarnya, selepas Anwar dikeluarkan, beliau telah mengarahkan dua anggota polis yang bertugas mengunci sel lokap tersebut dan tidak membenarkan sesiapa masuk ke dalamnya.

Beliau juga memberikan arahan supaya barang-barang kepunyaan Anwar di sel lokap tersebut tidak diusik, disentuh atau dialih dari tempat asalnya.

Walaupun beliau mengaku selepas itu ada memasuki sel lokap tersebut untuk mengambil senaskhah Surah Yasin milik Anwar, beliau tidak menyentuh barang-barang seperti botol air, tuala dan berus gigi.

Selain dua helai tuala, katanya, Anwar ketika itu tidak ada meminta barang-barang lain dibawa keluar.

Menjawab soalan lain, saksi tersebut menyatakan, kawasan lokap IPK berkenaan dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) tetapi ia telah lama tidak berfungsi.

Turut memberi keterangan pada sesi pagi ialah jurufoto polis, Lans Koperal Hazri Hassan yang mengambil gambar di lokap tersebut dan Inspektor Nur Ayuni Dayana Mohd. Puad yang membantu Amidon semasa mengumpul bahan-bahan bukti di tempat yang sama – utusan

 

 

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE