PARADIGMA POLITIK BARU

PEMBELA & Kes LINA JOY

Peguam-peguam Lina Joy@Azlina Jailani (bertanda bulat) : Dari kiri barisan belakang, Yapp Hock Swee , Steven Thiruneelakandan dan Dato' Dr. Cyrus Das (di tengah barisan hadapan). Peguam Lina Joy mengunakan firma guaman Benjamin Dawson yang mendapat bantuan dana asing dari The Beckett Fund

Oleh Azril Mohd Amin :

Saya merasa terpanggil untuk menulis beberapa aspek tentang sejarah penubuhan Pertubuhan-pertubuhan
Pembela Islam (PEMBELA) sebagai respons terhadap beberapa tanggapan sinis terhadap gagasan tersebut.

Sangat memeranjatkan apabila tanggapan sedemikian rupa datangnya daripada mereka yang mengaku sebagai aktivis gerakan Islam, dan membiarkan sikap taksub pada politik kepartian mereka menafikan peranan PEMBELA sebagai rangkaian perjuangan umat Islam di Malaysia serta gagasan murni yang melangkaui sebarang kepentingan politik kepartaian demi mempertahankan kesejahteraan aqidah umat Islam.

Jelas kedapatan beberapa kenyataan yang tidak bersifat objektif serta emosional terhadap tulisan Hj. Zainur Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) di dalam akhbar Berita Harian (Isnin, 24 Januari 2011) tentang keperluan untuk mewujudkan semula PEMBELA sebagai rangkaian alternatif NGO Islam dalam memperjuangkan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebagai salah seorang pimpinan kanan ABIM pada ketika itu, yang turut terlibat merencana serta mewujudkan PEMBELA bersama-sama dengan Yusri Mohamad, (ketika itu) Presiden ABIM ,  Hj. Zainur Rijal Abu Bakar, (ketika itu) Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia , dan ramai lagi rakan-rakan pimpinan NGO Islam lain,  yang saya fikir elok sekiranya saya merakamkan beberapa fakta berkenaan PEMBELA dan mengapa kita perlu bersungguh-sungguh merealisasikan semula peranan PEMBELA di dalam menghadapi situasi ancaman terhadap aqidah umat Islam yang semakin getir akhir-akhir ini.

Tulisan ini berdasarkan maklumat yang dibincangkan secara panjang lebar di mesyuarat khas Peguam-peguam Muslim Malaysia dan Organisasi Kerajaan Dan Bukan Kerajaan (NGO) pada 12-Julai-2006 di Bilik Mesyuarat Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, Jalan Damansara.

Fakta-fakta yang terkandung dalam tulisan ini diringkaskan berdasarkan pada kupasan kes Murtad Azlina Jailani (Lina Joy) yang dibincang di hadapan peguam-peguam Muslim Malaysia dan organisasi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO) yang hadir pada taklimat tersebut, serta berdasarkan pada kupasan kes yang telah dibentang dan dibincangkan bersama rakan-rakan peguam Muslim di sepanjang berlangsungnya kes perbicaraan Azlina Jailani tersebut.

LATAR BELAKANG YANG MEMBAWA PADA PENUBUHAN PEMBELA

Bangsa Melayu khususnya di Malaysia, adalah satu-satunya bangsa di dunia yang menyediakan definisi yang jelas di dalam perlembagaan untuk mentakrifkan definisi istilah “Melayu” serta skop yang mencakupi istilah tersebut. Tidak ada definisi yang sama dibuat untuk mana-mana bangsa lain, di Malaysia atau di dunia.

Dalam menafsirkan istilah tersebut, seseorang diiktiraf sebagai seorang “Melayu” apabila memenuhi tiga ciri penting yang telah dipersetujui di dalam mendefinisikan perkataan Melayu, iaitu; Bercakap Melayu, Beramal dengan budaya Melayu dan seorang yang penganut agama Islam. Pada hakikatnya Islam dan Melayu mengikut definisi Perlembagaan Persekutuan sama sekali tidak boleh dipisahkan.

Aspek ini mempunyai kedudukan yang sangat jelas dalam Perlembagaan Persekutuan dan menjadi suatu undang-undang di Malaysia untuk Melayu tidak dibenarkan meninggalkan Islam, dan Melayu dan bangsa lain yang menganut agama Islam adalah tertakluk di bawah syariat Islam dan perundangan Mahkamah Syariah di Malaysia.

AZLINA JAILANI @ LINA JOY SEBAGAI PENCETUS GERAKAN PENUBUHAN PEMBELA

Kes yang melibatkan seorang wanita Melayu bernama Azlina Jailani, pernah ditukar kepada Azlina Lelani, dan sekarang berdaftar sebagai Lina Joy untuk menafikan nama Islam yang terdahulu.

Beliau berbangsa Melayu keturunan Jawa, berumur 40- an dan telah mendakwa tidak pernah mempraktikkan Islam sejak lahir, beragama Kristian sepenuhnya sejak tahun 1990, mempunyai sijil Baptis yang dikeluarkan pada 11-May-1998, dan pada tahun 2000 menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan seorang India Kristian, dan meminta untuk didaftarkan perkahwinan tersebut untuk mengesahkan perkahwinan beliau.

Selepas berkahwin dengan seorang Kristian, beliau memohon untuk pendaftaran perkahwinan, tetapi tidak dibenarkan sebab di dalam Kad Pengenalan masih tertulis beragama Islam.

Beliau berusaha untuk menghilangkan perkataan agama Islam tersebut dengan permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara. Permohonan sejak tahun 2000 untuk memadamkan perkataan “Islam” di dalam kad pengenalan beliau tetapi tidak dibenarkan oleh JPN disebabkan tidak ada kebenaran dari Mahkamah Syariah yang membenarkan beliau keluar Islam.

Mahkamah Syariah mengguna pakai undang-undang Islam yang tidak membenarkan seseorang Muslim keluar dari Islam (Murtad), dan Sijil Penukaran Agama (Murtad) seperti yang dikehendaki oleh JPN tidak dapat dikeluarkan.

Permohonan bermula di Mahkamah Tinggi, seterusnya ke Mahkamah Rayuan pada 13-April-2006, dan semua peringkat Mahkamah mengiktiraf bahawa kes tersebut adalah dalam kuasa Mahkamah Syariah. Setelah semua permohonan tidak berjaya, kes di rayu ke Mahkamah Persekutuan oleh barisan peguambela Lina Joy.

Kes telah didengar oleh tiga orang Hakim (2 Muslim dan 1 bukan Islam) pada dasarnya berpendirian yang sama menyokong tindakan Mahkamah Rayuan, sehinggalah Majlis Peguam yang hanya menjadi barisan peguam pemerhati beserta banyak lagi NGO yang menyokong Lina Joy meminta keizinan Mahkamah untuk memberi hujah dan bersuara, dan dibenarkan oleh Hakim yang terlibat.

Detik tersebut adalah permulaan isu ini dibesarkan yang mana tidak pernah dalam sejarah perundangan negara peguam pemerhati dibenarkan berhujah di dalam Mahkamah.

Hujah yang dibawa oleh barisan peguam pemerhati yang diketuai oleh Majlis Peguam tersebut melarikan isu utama kes berkenaan daripada hak dan kuasa Mahkamah Syariah tetapi mengemukakan hujah bahawa Lina Joy berhak untuk mempraktikkan kepercayaannya dan dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan sebagai hak individu seperti yang terkandung di dalam Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan.

Isu yang diperjuangkan oleh kesebelas NGO bukan Muslim atas nama kumpulan Artikel 11 dan berada di belakang rencana jahat penggagasan Inter-Faith Commission (IFC) adalah untuk menafsirkan perkataan “person” (individu) yang terkandung di dalam Artikel 11 tersebut untuk merujuk kepada individu as per say, bukan lagi kumpulan atau agama secara umumnya.

Ini adalah kali pertama dalam sejarah Malaysia percubaan yang sebegitu berani yang dilakukan untuk menafsirkan istilah tersebut untuk menguraikan ikatan Islam mengikut kefahaman peribadi seseorang penganut itu sendiri, dan menafikan hak Islam sebagai agama untuk mewajibkan umatnya mempraktikkan amalan dan syariat Islam seperti yang terkandung dalam undang-undang Islam.

IMPLIKASI DARI TAFSIRAN “INDIVIDU”

Orang Islam dibenarkan meninggalkan Islam pada bila-bila masa sahaja, walaupun mengakui mereka adalah Melayu pada bangsanya. Ini bermakna Melayu di Malaysia bukan lagi terikat dengan agama Islam seperti yang telah digazetkan dalam perlembagaan;

Apabila definisi “person” didefinisikan sebagai hak individu, maka agama Islam boleh ditafsirkan mengikut kefahaman individu sendiri tanpa ada undang-undang Islam yang boleh mengawalselia;

Kesalahan syarie oleh seorang Muslim tidak boleh diambil tindakan disebabkan undang Syariah sudah tidak relevant. Sebagai contoh, solah boleh dilakukan mengikut sedap hati mengikut rakaat solah yang difahami sendiri, puasa dalam Ramadhan boleh ditinggalkan apabila membuat deklarasi “bukan Islam” pada bulan itu tanpa boleh diambil tindakan;

Semua badan-badan Islam tidak relevan lagi dalam perundangan semasa, sebab hak mempraktikkan secara individu diperjuangkan.

Raja-raja Melayu hilang kuasa sebagai benteng dan simbol agama. Kanak-kanak apabila masuk umur 18 tahun, ibu bapa akan terus hilang kuasa untuk menetapkan agama dan fahaman mereka, dan tindakan boleh diambil ke atas ibu bapa yang memaksa anak mereka mengamalkan Islam;

Perukunan Islam pada dasar sudah tidak sah disebabkan tiada satu pun akta-akta berkaitan Solat, Zakat, Haji dan aspek lain yang mengikat seseorang Muslim di dalam perlembagaan.

MENGAPA KES LINA JOY?

Mereka yang berselindung di sebalik kes Lina Joy mengambil kesempatan dalam kekalutan semasa umat Islam di dunia dan di Malaysia khususnya yang dilihat lemah dan dirasakan tidak ada keupayaan untuk mempertahankan Islam. Tindakan pihak-pihak tersebut telah menyalahgunakan saluran mahkamah sivil untuk menafikan kedudukan istimewa Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kes ini pada dasarnya adalah rentetan daripada tuntutan 14 perkara yang menjadi asas pada desakan menubuhkan Inter-faith Commssion (IFC), serta desakan kumpulan “Artikel 11” yang pernah cuba berkumpul di Pulau Pinang pada 14-Mei-2006 yang menuntut kepada pemerintah untuk membenarkan sepenuhnya kebebasan Murtad di bawah Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan, setelah kekalahan mereka untuk kes Mohamed Abdullah @ Moorthy, S. Sharmala dan Nyonya Tahir.

Amat mendukacitakan sekali apabila kumpulan Artikel 11 yang juga bersekongkol dengan gagasan Inter-Faith Commission (IFC) disertai oleh beberapa individu Melayu dan Islam termasuklah Sisters-in-Islam, yang digerakkan oleh pemimpin-pemimpin dan sekutu pemimpin-pemimpin negara yang Beragama Islam.

Kes Lina Joy adalah percubaan yang boleh memberikan kesan yang amat besar yang mana ia mencabar undang-undang Syariah oleh Mahkamah Syariah di bawah Perkara 121(A) Perlembagaan Persekutuan, samaada dipinda atau dihapuskan sepenuhnya.

Berikutan kes Lina Joy, maka terlalu banyak kes-kes permohonan Murtad dan sebagainya yang telah lama menunggu dan sedang menunggu, dan kejayaan dari kes ini akan membenarkan banyak permohonan untuk keluar Islam akan dibenarkan oleh perlembagaan.

Kes ini menjadi perhatian penuh organisasi dan individu bukan Islam seluruh dunia, dan seluruh negara-negara besar didunia menghantar wakil untuk memberikan tekanan yang besar ke atas hakim dan sistem perundangan negara yang amat lemah untuk membela aqidah seorang rakyat Islam.

Sebagai contoh, The Becket Fund for Religious Liberty (www.becketfund.com) menyenaraikan dengan jelas fakta kes dan bagaimana organisasi ini menjadi salah satu dalang yang membela permohonan murtad ini dan bersama-sama pelbagai pertubuhan hak asasi manusia sedunia yang mendokong usaha menyerang Islam dan didukung oleh pelbagai NGO hak asasi manusia, serta segelintir pemimpin dan parti politik di Malaysia.

Di Malaysia pula, 11 NGO dan organisasi menghantar wakil ke Mahkamah Persekutuan untuk memberi tekanan kepada Hakim yang terlibat setelah mereka dibenarkan bersuara untuk membela Lina Joy, antaranya Majlis Peguam (Bar Council), Majlis Perunding Agama Hindu, Kristian, Budha dan Sikh, National Council of Women Organization, All Women Action Society, Sisters in Islam, Women Health Organization, Women Council of Change, Women Development for Change, Pergerakan Hak Asasi Rakyat Malaysia (Suaram).

TINDAKAN PENUBUHAN PEMBELA

Pada waktu tersebut, memandangkan kes ini hanya mempunyai tempoh 6 minggu sebelum diputuskan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya dari tarikh 04-Julai-2006, maka tindakan segera telah diputuskan untuk diambil oleh segenap lapisan masyarakat Islam, antara keputusan jangka masa pendek yang telah dicadang dan dipersetujui untuk diusahakan secepat mungkin adalah;

Penubuhan segera kumpulan Peguam Pembela Islam (PPI) yang diketuai oleh Peguam Zainur Zakaria, untuk melakukan bantahan kepada Majlis Peguam di atas keputusan beberapa ahli jawatankuasa eksekutif untuk menyokong kes Lina Joy secara terbuka;

Isu secara langsung menunjukkan seolahnya Majlis Peguam menjadi dalang utama kes ini setelah mereka menyatakan sokongan penuh kepada kes Lina Joy di Mahkamah Persekutuan, sedangkan tidak pernah mendapat mandat tersebut daripada badan dan ahli Majlis Peguam yang dilantik. Untuk rekod, ahli-ahli daripada kalangan peguam Muslim membentuk kira-kira 40 peratus daripada jumlah keseluruhan keahlian Majlis Peguam.

Majlis Peguam juga telah menjadi pemangkin kepada tindakan berani pelbagai pertubuhan NGO Hak Asasi Manusia/bukan Islam untuk mengajar orang-orang Islam untuk bagaimana mengamalkan Islam di Malaysia.

Mesyuarat tersebut juga telah membuat keputusan untuk mendesak suatu mesyuarat agung luar biasa Majlis Peguam diadakan untuk membantah dengan mendapat tandatangan lebih 200 peguam Islam yang hadir dalam perjumpaan 12-Julai-2006 untuk menghalang Majlis Peguam daripada menyebelahi Lina Joy dalam kes beliau.

Mesyuarat tersebut juga telah melantik beberapa ahli jawatankuasa, serta mengusulkan supaya suatu gabungan NGO Islam yang lebih besar dan merangkumi sebanyak mungkin NGO Islam di Malaysia dari segenap lapisan masyarakat diwujudkan.

Pertemuan selanjutnya untuk kupasan serta pelan tindakan telah diadakan pada. Ahad 16-Julai-2006, 02.30pm di Anjung Rahmat, Ibu Pejabat ABIM di Jalan Gombak untuk merangka pelan strategi oleh seluruh NGO dan organisasi Muslim dan Malaysia.

Pada pertemuan tersebut, lebih dari 70 organisasi Islam Bukan Kerajaan telah sepakat menubuhkan PEMBELA sebagai salah satu gabungan NGO Islam yang khusus untuk menangani masalah murtad serta lain-lain cabaran yang dihadapi umat Islam di Malaysia.

Di antara tindakan-tindakan yang telah diadakan oleh PEMBELA bagi menangani isu tersebut ialah mewujudkan satu laman web menjadi rujukan kepada fakta kepada kes ini. Suatu kenyataan akhbar telah dikeluarkan oleh Peguam Pembela Islam untuk mendesak semua pihak yang terlibat untuk menghormati undang-undang dan menafikan penglibatan Majlis Peguam di dalam membela kes Lina Joy.

Forum Shariah dan Isu Semasa yang dianjurkan PEMBELA telah berlangsung pada 23-Julai-2006 di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur dan mendapat sambutan luar dugaan dan melebihi ruang dewan yang disediakan oleh pihak penganjur. Forum tersebut telah menggagaskan resolusi berikut:

Kami, yang berkumpul di Masjid Wilayah, Kuala Lumpur pada hari ini untuk membincangkan cabaran semasa dalam pelaksanaan sistem Syariah di Negara ini menyatakan rasa bimbang terhadap usaha-usaha pihak yang sedang cuba meminggirkan kedudukan Islam dalam sistem kenegaraan dengan berselindung di sebalik nama Kumpulan sekular ini tidak mendapat sokongan bagi membawa agendanya di kalangan besar masyarakat Malaysia, perjuangan mempertahankan hak-hak asasi.

Usaha-usaha ini merupakan satu langkah untuk membelakangkan hakikat sejarah semenjak ratusan tahun lalu di mana Syariah diterimapakaikan di dalam kehidupan individu dan masyarakat di negara kita. Kami juga bimbang dengan ruang yang diberikan kepada usaha-usaha negatif ini dalam media masa tempatan dan antarabangsa walaupun pandangan ini hanya merupakan suara-suara terpencil dan pinggiran berbanding dengan faham dan penghayatan majoriti umat Islam

Kita bimbang mungkin usaha negatif ini didalangi oleh unsur-unsur luar negara yang berhasrat melumpuhkan Islam. Situasi ini pasti akan bertambah buruk jika pandangan-pandangan liar ini turut dilayan oleh pihak-pihak yang berwewenang dalam negara kita. Sekiranya masyarakat Islam tidak cukup prihatin dan peka terhadap perkembangan ini mereka akan terus menyalahgunakan saluran perundangan untuk mencapai matlamat mereka.

Menyedari hakikat ini maka kami yang berkumpul di Masjid Wilayah untuk Forum Syariah dan Cabaran Semasa pada 23 Julai 2006 bersetuju dengan resolusi berikut:

Kedudukan istimewa Islam merupakan elemen penting dalam Perlembagaan dan sistem perundangan Negara. Ia turut merupakan hak asasi umat Islam di negara ini. Jika dasar ini diganggu-gugat ia mampu menimbulkan pelbagai kesan negatif dalam masyarakat. Oleh itu, formula yang sedia ada dan sudah terbukti mengekalkan kesejahteraan bersama ini, harus dipertegaskan dan diterima oleh semua pihak, Islam dan bukan Islam.

Semua peruntukan Perlembagaan dan Undang-undang yang berkaitan dengan Islam perlu diperkukuhkan untuk menutup semua ruang usaha untuk menggunakan saluran mahkamah bagi melemahkan kedudukan Islam.

Seluruh umat Islam perlu menyatukan suara, sikap dan tindakan dalam mempertahankan kedudukan Islam yang sedang diancam.

Setiap ancaman terhadap Islam adalah bermakna ancaman terhadap martabat dan kedudukan Raja-Raja Melayu yang menjadi Ketua Agama di setiap negeri dan terhadap kewibawaan institusi-institusi Islam.

Menuntut agar dihentikan segera semua percubaan usaha merombak dan menghakis kedudukan Islam dalam Perlembagaan dan sistem perundangan Negara. Mana-mana ketidakpuasan hati berkenaan dengan Islam harus disalurkan ke meja rundingan dengan pihak-pihak yang berautoriti. Pendekatan konfrontasi melalui roadshow (majlis penerangan ) dan pertikaian mahkamah hanya akan mengakibatkan ketegangan dan mengancam ketenteraman masyarakat.

Kita menuntut media aliran perdana mengambil pendirian tegas dan tidak berpihak dalam isu-isu berkaitan Islam dan tidak mempelopori pandangan bahawa Malaysia adalah negara sekular dan amalan Islam adalah hak peribadi. Kita menuntut pihak media memberi ruang kepada pihak Islam untuk menyuarakan pendapat mereka dan tidak lagi meminggirkan suara arus perdana (mainstream) Islam. Media aliran perdana mestilah bersikap professional dan beretika di dalam lapuran dan analisa mereka mengenai Islam.

Hak dan kebebasan beragama perlu difahami dalam ruanglingkup Islam, bukannya mengikut kecenderungan individu. Fahaman kebebasan dan hak asasi acuan sekular-liberal adalah bercanggah dengan ajaran Islam serta agama-agama lain.

Semua Dewan-dewan Undangan Negeri dan Parlimen (bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan) hendaklah meluluskan segera enakmen/akta yang menghalang dakyah bukan Islam kepada umat Islam dan pihak berkuasa hendaklah melaksanakan enakmen/akta berkenaan dengan segera.

Kerajaan hendaklah menetapkan pendirian untuk menolak usaha-usaha barat dan badanbadan bukan kerajaan yang bersekongkol dan menggunakan NGO tempatan, ahli-ahli akademik dan orang perseorangan untuk mempengaruhi polisi dan undang-undang berkaitan orang Islam.

Ada di kalangan pemimpin Muslim yang menyuarakan pandangan yang menyokong kelompok yang mengatakan amalan Islam adalah hak individu dan undang-undang moral tidak harus dilaksanakan di Malaysia. Kenyataan seperti ini amatlah dikesali kerana undang-undang moral di dalam Islam di Malaysia telah merupakan intipati kepada undang-undang di Semenanjung Malaysia jauh lebih dahulu sebelum kedatangan penjajah-penjajah.

Majlis Peguam Malaysia yang mewakili lebih 12,000 peguam di Semenanjung telah mengambil pendirian berpihak tanpa mengambilkira pandangan peguam Islam yang membentuk lebih dari 40 peratus dari jumlah keseluruhan peguam. Majlis Peguam Malaysia atas nama hak asasi manusia telah mencampuri urusan agama Islam dan ini bertentangan dengan matlamat Majlis Peguam ditubuhkan dan kita menuntut Majlis Peguam sebagai penjaga kedaulatan undang mematuhi undang-undang negara ini.

Susulan Forum tersebut dan pelbagai kempen di masjid dan surau, jabatan-jabatan kerajaan, institusi-institusi pendidikan dan melibatkan pelbagai lapisan masyarakat Muslim di Malaysia, PEMBELA juga telah berjaya mengumpulkan lebih setengah juta tandatangan umat Islam untuk membantah sebarang percubaan untuk merendahkan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan melalui kes-kes di Mahkamah Sivil.

Memorandum beserta tandatangan tersebut di serahkan kepada Majlis Raja-raja melalui pejabat Penympan Mohon Besar Raja-Raja. Tandatangan yang dikepil dalam salinan beberapa jilid buku bertajuk ‘Tandatangan Sokongan Rakyat Mempertahan Kesucian Islam’ itu diserah oleh Yusri Mohamad, Pengerusi PEMBELA merangkap Presiden ABIM ketika itu, kepada wakil Penyimpan Mohor Besar Raja-raja, Dato’ Sabtu Awab di pejabatnya jam 11.00 pada 29 September 2006.

Turut hadir ialah, Setiausaha Agung ABIM, Khairul Arifin Mohd Munir; Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Dato’ Mustapha Ma; Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, Hj. Zainur Rijal Abu Bakar; Pengerusi Yayasan Pembangunan Ummah, Anuar Tahir, Wakil Peguam Pembela Islam (PPI), Kamar Ainiah Kamaruzzaman serta lain-lain pimpinan NGO Islam.

Saya perlu tegaskan di dalam tulisan ini bahawa PEMBELA tidak didalangi sebarang kepentingan, khususnya yang bersifat politik kepartaian. Rentetan sejarah dan umat Islam menjadi saksi pada hakikat ini. Pelbagai perkembangan telah berlaku hingga ke saat ini, yang menzahirkan keperluan untuk kembali memanfaatkan peranan PEMBELA di dalam perjuangan mempertahankan kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Kes Lina Joy, walaupun telah memihak pada kepentingan umat Islam, hanya merupakan sekelumit dari cabaran-cabaran yang wujud sebagai ancaman yang menggugat aqidah umat Islam.

Saya bersetuju dengan tulisan Hj. Zainur Rijal, bahawa umat Islam perlu diberi kesedaran terhadap ancaman dan bahaya yang terbit daripada kekeliruan mereka menyebarkan fahaman merosakkan ajaran Islam ditunjangi ajaran liberalisme, pluralisme, sekularisme dan literalisme agama sama ada melalui individu tertentu ataupun organisasi.

Apatah lagi, kita melihat kecenderungan sesetengah NGO Islam untuk tidak membuat pendirian jelas mengenai isu-isu serius dan besar melibatkan aqidah umat Islam akhir-akhir ini. Tidak pasti samaada mereka ini khayal diulit dengan nostalgia lampau, atau terlalu mendewa-dewakan bekas pemimpin mereka yang kini saban hari mengimpikan tampuk kekuasaan politik, sehinggakan sebarang teguran berkaitan isu ancaman aqidah umat dipandang sebagai tidak beradab.

Yang pasti, pihak NGO Islam perlu sedar bahawa perjuangan mempertahankan aqidah umat Islam ini pada hakikatnya sentiasa berdepan dengan mereka yang buta hati terhadap realiti sebenar perjuangan Islam.

Sejajar dengan hasrat teman-teman lain yang memimpin NGO-NGO Islam, adalah menjadi harapan saya agar PEMBELA ini dapat dijadikan gagasan penengah (wasit) yang berwibawa yang dapat bertindak sebagaimana yang dinukilkan Hj. Zainur Rijal, sebagai “perantara pada pelbagai permasalahan wujud dalam kalangan umat Islam bagi mengukuhkan panji ahlul sunnah wal jamaah dalam akidah, syariah dan akhlak.”

Azril Mohd Amin ialah Naib Presiden, Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan Pengarah Eksekutif, Institut Kajian Islam dan Strategi (ISSI).

5 Comments

  1. maulana arrif says:

    Sudah sampai masanya diwujudkan satu gerakan bukan politik yang bergerak atas landasan kebenaran berasaskan Quran dan sunnah. Masalah pada hari ini, NGO atau kumpulan NGO bergerak atas premis politik sama ada secara lansung dan tidak lansung.

    Banyak NGO ditubuhkan oleh orang politik atau parti politik untuk digunakan sebagai kenderaan secara tertutup bagi mencapai cita-cita politik mereka. Strategi ini digunakan dengan berkesan oleh Anwar Ibrahim dan sekutunya dalam Pakatan Rakyat menjelang PRU 12 lalu.

    Anwar berpengalaman luas dalam hal ini.

    Umat Islam hendaklah menginsafi perkembangan ini. Perlu ada pergerakan yang bersih daripada pengaruh orang politik supaya pendirian dan pandangan mereka tidak dianggap berpolitik. Asas perjuangan semat-mata untuk menegakkan kebenaran berasaskan Quran dan sunnah. Bukan menggunakan perjuangan atas nama agama untuk akhirnya mendapatkan kuasa politik. Bukan untuk mencari pengaruh, pangkat, kekayaan atau kemasyhuran, tetapi hanya demi mencari keredaan Allah s.w.t.

    Pergerakan ini boleh menyatakan pendirian secara terbuka mengenai sesuatu isu yang melibatkan Islam dan umat Islam. Pergerakan ini boleh menjadi watch-dog yang mengawasi tidak kira kerajaan atau pembangkang bagi memastikan kepentingan sebenar dan keadilan Islam.

    • Anwar Ibrahim says:

      Ini ternyata suatu konspirasi UMNO untuk menjatuhkan aku sebagai PM. Mereka hasad dengki dengan kejayaan aku sebagai lulusan ijazah am Pengajian Melayu yang berjaya sampai tahap Shakespeare IMF World Bank. Nantilah aku jadi PM selesai semua masalah. Tunggu aku jadi PM selesai semua masalah.

Leave a Comment

 

— required *

— required *