Kalimah Allah:Dua pandangan berbeza pimpinan PAS

Tajuk di atas merujuk kepada dua berita serentak iaitu berita kenyataan Datuk Dr Haron Din di atas dan kenyataan PAS Pusat di bawah.

BERITA 1 – Walaupun tidak menyebut nama sesiapa, Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din menyifatkan beberapa penulis blog termasuk pemimpin politik yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaaan kalimah ‘Allah’ dalam akhbar Khatolik, adalah mereka yang ada ‘ short wire ‘ .

Dalam erti kata lain, otak mereka mungkin sudah ada masalah, tak betul atau mungkin gila.

Barangkali, Yang di Pertua PAS Shah Alam, Khalid Samad, antara yang menulis di blognya menyatakan sokongan terhadap keputusan membenarkan penggunaan kalimah Allah, boleh terasa pedas maksud di atas kerana Ahli Parlimen itu yang ‘makan cili’.

Malah tambah Dr Haron lagi, mana-mana umat Islam yang menyokong keputusan yang memihakakhbar mingguan Herald -The Catholic Weekly boleh membawa kepada kekufuran serta syirik.

“Menyokong kepada sesuatu perkara yang salah di sisi Islam bermakna kita redha. Bila redha, juga secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kekufuran dan syirik,” kata Dr Haron dalam sidang media di kediamannya di Bangi, petang Isnin.

Untuk rekod dalam hiraki parti PAS selaku Timbalan Musyridul Am beliau dikira ulama nombor dua paling kanan dalam pengetahuan bab agama selepas Datuk Nik Aziz Nik Mat.

“Kalau kita sokong perkara yang kufur, kita pun secara tak langsung akan kufur sama,” katanya pada penulis blog termasuk pemimpin parti-parti politik yang menyokongkeputusan Mahkamah Tinggi pada 31 Disember lalu.

Katanya, memanglah setiap orang ada kebebasan bersuara menyatakan pandangan.

“Kalau hal siasah ataupun politik memanglah ada banyak padangan, tapi kalau hal agama, kita perlu balik kepada kaedah agama.

“Kalau kita berpuas hati dengan perkara yang syirik ia akan membawa kepada kekufuran,” katanya.

Pada sidang media itu, beliau menunjukkan bukti ‘Holly Bible’ yang pada halaman pertamanya sahaja mencatat God, Lord serta Jesus dan tiada langsung perkataan kalimah ‘Allah’.

Ini katanya berbeza berbanding dalam al Quran bermula halaman pertama sudah ada kalimah Allah malah dalam Surah Al-Baqarah, daripada 286 ayat terdapat 279 kalimah itu.

Dr Haron menjelaskan, ini membuktikah kalimah Allah adalah eksklusif untuk agama Islam.

Beliau berkata, berdasarkan persefahaman inilah, umat Islam dan bangsa lain hidup harmoni di negara ini dengan menghormati agama setiap kaum.

Dalam pada itu, Dr Haron meragui niat akhbar berkenaan yang bertegas mahu mendapatkan kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

“Kenapa sekarang nak gunakan nama Allah? Saya yakin mesti ada niat yang tersurat dan tersirat.

“Kalau niat mereka baik, saya nasihatkan supaya jangan gunakan kalimah itu kerana ia tidak baik untuk kita umat Islam… sesuatu yang mendatangkan keburukan mestilah dicegah,” katanya.

Menurutnya, mungkin pada permulaan kalimah itu hanya untuk penerbitan sahaja tetapi mungkin lama kelamaan akan diletak pada salib dan sebagainya.

Ulama dalam PAS itu juga berharap pada masa akan datang, perkara membabitkan hal agama sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Syariah.

“Hal Allah ini adalah hal agama, jadi tempat penyelesaiannya adalah di Mahkamah Syariah.

“Kenapa nak bawa kes ini ke Mahkamah Sivil? Saya menyeru kes ini supaya kes ini diselesaikan di Mahkamah Tinggi Syariah,” katanya.

Beliau juga menyeru kepada semua pihak termasuk kerajaan dan Majlis Raja-Raja supaya segera menyelesaikan isu berkenaan.

Kenyataan Dr Haron ini menyusul selepas Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik juga menyatakan tidak bersetuju dengan keputusan mahkamah itu.

Bagaimanapun, ada pihak melihat pimpinan PAS tidak sekata dalam isu ini tambahan pula bila Khalid dan ahli parlimen Kuala Selangor Dr Zulkifli Ahmad dilihat menyokong penggunaan kalimah Allah dalam gereja.- 4/1/2010

BERITA 2 -Lajnah Politik PAS Pusat yang bermesyuarat lebih dua jam di ibupejabat parti itu di Kuala Lumpur Isnin malam berpendirian supaya semua pihak tidak menyalahgunakan perkataan ‘Allah’ tanpa pendirian jelas sama ada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ dalam penerbitan majalah Herald The Catholic Weekly itu perlu ditolak, diterima ataupun dibuat rayuan.

Dalam kenyataan ringkas yang diedarkan kepada wartawan pada hampir 12 tengah malam Selasa itu, PAS hanya memberi peringatan supaya perkataan ‘Allah’ tidak disalahgunakan bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

PAS juga menjelaskan bahawa dasar pada kaedah Islam, penggunaan nama ‘Allah’ pada asasnya adalah dibenarkan untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Mesyuarat itu hanya membincangkan satu agenda sahaja berhubung ‘Penggunaan nama Allah’ dan ianya disertai oleh 25 orang pemimpin termasuk Ahli Parlimen Shah Alam Abdul Khalid Samad dan Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr. Dzulkefly Ahmad.

Hadir sama mempengerusikan mesyuarat tersebut Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bersama-sama Timbalan Presiden PAS Nasharruddin Mat Isa, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan dua orang Naib Presiden, Salahuddin Ayub serta Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sementara itu Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali ketika ditanya Agendadaily mengenai perbezaan pandangan oleh Khalid Samad berhubung isu kalimah ‘Allah’ berkata, “ianya tidak dibincangkan”.

Berikut adalah kenyataan penuh yang dikeluarkan oleh Abdul Hadi dan dibacakan oleh Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad :

Pas sebagai parti Islam, amat menghormati prinsip kebebasan beragama seperti mana yang ditekankan oleh Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa untuk menerima mana-mana agama melainkan ia merupakan pilihan sendiri.

Prinsip kebebasan beragama ini juga telah termaktub di dalam Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun demikian dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira di atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian berbagai kaum dan agama.

Setiap warganegara Malaysia wajib memelihara suasana dan keadaan ini. PAS ingin menjelaskan bahawa berdasarkan kepada kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenar untuk digunakan oleh agama samawi seperti Kristian dan Yahudi.

Walau bagaimanapun, penggunaan kalimah Allah secara salah dan tidak bertanggungjawab mestilah dielakkan supaya ianya tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama dalam negara ini.

Pas memberikan peringatan kepada semua pihak supaya tidak menyalahgunakan perkataan Allah bagi mengelirukan atau menjadikan politik murahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

Al-Quran telah menyarankan cara yang betul menggunakan perkataan Allah, sebagaimana yang dinyatakan dalam Surah Al Imran ayat 64 yang bermaksud.

”Katakanlah: Hai Ahli Kitab,marilah (berpegang) kepada suatu kalimat (ketetapan) yang tidak ada perselisihan antara kami dan kamu, bahawa tidak kita sembah kecuali Allah dan tidak kita persekutukan Dia dengan sesuatu pun dan tidak (pula) sebahagian kita menjadikan sesama manusia seperti pemimpin dan sebagainya sebagai tuhan selain Allah”.

PAS dengan tegasnya ingin menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat.

PAS dengan segala rasa penuh tanggungjawab bersedia untuk menjelaskan isu ini kepada semua pihak bagi mewujudkan suasana yang harmoni berdasarkan kepada prinsip keadilan sebagaimana yang termaktub dalam perlembagaan dan dijamin oleh Islam.- 4/1/2010

sumber – agendadaily

One Response to “Kalimah Allah:Dua pandangan berbeza pimpinan PAS”

  1. ahmadzaki

    Jan 05. 2010

    Assalamualaikum,
    Kepada penyokong PAS yang menyokong Anwar Attartuk, Sudah-sudahlah jadi tunggangan PKR dan DAP, kalau benci sangat dengan UMNO pun, janganlah korbankan agama, berjuanglah kerana Allah SWT, bukan kerana bencikan UMNO. Jazakaullah Khairan. Wassalam.

    Reply to this comment

Leave a Reply

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE