Siapa Taja Kemewahan Anwar

Yuktes Vijay

Vila mewah dibeli pada harga RM7 juta, dilengkapi dengan kawalan CCTV serta pengawal 24 jam; kereta-kereta mewah; tiga pejabat di luar negara iaitu Washington, San Francisco dan Dubai serta pekerja-pekerja yang sebahagiannya adalah pakar dalam bidang masing-masing.

Semua itu didakwa ada kaitan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanakah de facto Parti Keadilan Rakyat itu membiayai perbelanjaan sehariannya sedangkan dalam resume yang dimuat naik di Internet, beliau hanya meletakkan pekerjaannya sebagai pensyarah khas di universiti luar negara dan penasihat ekonomi Selangor.

Perkara tersebut dibangkitkan oleh bekas pegawai khas Anwar, Yuktes Vijay yang mempersoalkan sumber dana bagi membiayai gaya hidup dan perbelanjaan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Dengan memberikan beberapa contoh perbelanjaan antaranya pembayaran kepada tiga pakar asing yang dibawa ke Malaysia dalam kes liwat dengan Saiful Bukhari Azlan yang didakwa beliau menelan kos sekurang-kurangnya RM3 juta.

“Anwar membelanjakan banyak wang untuk membawa pakar-pakar tersebut ke Malaysia dengan menaiki penerbangan kelas pertama, membayar penginapan di suite hotel lima bintang selain bayaran perkhidmatan yang dikenakan mengikut jam.

“Mereka akan duduk di mahkamah sama ada kerja atau tidak, mereka akan dibayar mengikut jam. Jadi, selama dua atau tiga tahun kes tersebut berlangsung berapa banyak bayaran yang mereka terima dan pembayaran dibuat dalam dolar Amerika,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Tambah Yuktes, perbelanjaan Anwar yang sering berulang-alik ke luar negara terutamanya sebagai pensyarah ditanggung oleh Kerajaan Negeri Selangor sedangkan beliau pergi bukan atas kapasiti penasihat kerajaan negeri.

Tambahan pula dakwa beliau, tiada sebarang manfaat yang dibawa Anwar apabila ke luar negara kerana pelaburan negeri menjunam hampir 80 peratus.

“Mereka membuat tuduhan bukan-bukan terhadap kemewahan Riza Aziz yang merupakan penerbit filem berjaya di Hollywood tetapi mereka tidak pula mempunyai masalah apabila seorang bekas banduan mendapat akses kewangan tanpa had. Apa punya pemikiran?.

“Rumah Anwar di Bukit Segambut Dalam macam istana, dikawal ketat oleh CCTV dan pengawal, saya tahu abang kepada Datin Seri Wan Azizah iaitu Mokhtar bertanggungjawab terhadap keselamatan tetapi saya tidak fikir beliau berkhidmat secara percuma.

“Malah Saiful Bukhari, seorang pembancuh teh kepada Anwar pun diberi gaji sebanyak RM2,000 sebulan dan fakta ini tidak pernah dinafikan di mahkamah.

“Setiap kali ke luar negara, Anwar akan tinggal di hotel mewah malah beliau pernah tinggal di sebuah hotel tujuh bintang di Paris yang berharga Euro 14,000 (RM63,000) semalam.

“Dari mana Anwar mendapat sumber? Siapakah lelaki kaya yang menaja kehidupan mewah beliau?,” soalnya lagi.

Yuktes yang mendakwa mempunyai akses kepada surat-surat dan dokumen Anwar pernah bertanyakan sumber dana yang diperolehi oleh ketua pembangkang itu.

Bagaimanapun, tiada jawapan yang diterima daripada Anwar.

Dengan itu, Yuktes mencabar Anwar untuk berdebat dengannya mengenai apa sahaja isu yang berkaitan dengan pemimpin tersebut.

“Bila Anwar senyap, itu bermakna beliau bersalah. Bukan kerana tidak ada kaitan dengan isu tersebut tetapi kerana beliau bersalah,” katanya.

Tambah Yuktes, beliau sudah membuat dua laporan polis mengenai dana Anwar namun masih tiada sebarang tindakan diambil oleh pihak polis. – MalaysiaGazette

Yuktes Vijay : Kos Belanja Peribadi Anwar Paling Minima 7 Juta Setahun

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE