Motif DAP Terus Perbesar Isu Kantin Sekolah

AIDCNews – Parti DAP terus memperbesar-besarkan isu kantin sementara di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Sungai Buloh dengan cuba mengaitkan perkara itu sebagai isu perkauman.

Setiausaha Agung DAP yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilaporkan roketkini mendakwa, pihaknya tidak berpuas hati dengan kenyataanTimbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan bahawa masalah kantin sementara itu tiada kaitan dengan isu agama atau perkauman.

“Sifat tergesa-gesa menyelesaikan kes kontroversi itu dilihat sebagai usaha untuk menutup kebenaran, kecuali Kamalanathan boleh menjelaskan kepada ibu bapa mengenai pemindahan kantin ke bilik mandi kerana kerja membaikpulih sejak Mac tahun ini.

“Tambahan pula, kami tidak nampak langsung tanda-tanda kerja membaikpulih kantin dilakukan dan jika sudah selesai, kenapa kantin itu tidak dibuka semula,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Guan Eng turut menuduh Kamalanathan sengaja menutup kes itu dengan segera yang dianggapnya double standard apabila melibatkan kes bukan Islam.

Sebaliknya dalam kes Alvin Tan dan Vivian Lee kata Guan Eng, pasangan bukan Islam itu didakwa di mahkamah kerana menghina Islam meskipun sudah meminta maaf.

“Umum perlu mengetahui bagaimana insiden sedemikian boleh berlaku kerana sangat memalukan bagi kanak-kanak yang terpaksa makan di bilik mandi yang dijadikan kantin sementara.

“Mesej yang jelas mesti disampaikan supaya penjawat awam dapat menghormati sensitiviti dan hak semua masyarakat. Kegagalan berbuat demikian hanya akan menambahkan persepsi negatif bahawa sensitiviti dan hak orang bukan Islam boleh diinjak-injak tanpa sebarang hukuman,” katanya lagi.

Kamalanathan selepas melakukan pemeriksaan mengejut di sekolah berkenaan semalam membuat kenyataan bahawa dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan ia bersifat perkauman adalah tidak benar.

“Bilik itu digunakan sejak Mac lepas dan semua murid termasuk pelajar Muslim menggunakannya kerana kantin sekolah itu tidak dapat menampung jumlah pelajar yang ramai. Oleh itu tanggapan bahawa hanya pelajar bukan Islam sahaja yang makan di situ adalah salah.

“Keputusan untuk menggunakan bilik persalinan itu sebagai kantin sementara dibuat setelah dibincangkan dalam masyuarat Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) berikutan kantin sekolah ini agak kecil dan hanya boleh menampung kira-kira 600 pelajar sahaja sedangkan sekolah ini mempunyai 1,300 pelajar,” katanya.

Katanya, cadangan untuk menjadikan bilik persalinan itu sebagai kantin sementara juga telah dipersetujui dalam masyuarat PIBG dan ia tidak menimbulkan sebarang masalah sebelum ini.

Kamalanathan berkata, pihaknya sedar bahawa bilik itu tidak sesuai dan telah berbincang dengan pihak sekolah itu supaya tidak lagi menggunakan bilik persalinan sebagai kantin sementara.

“Saya juga menerima permohonan daripada pihak sekolah untuk meminta bantuan bagi pengubahsuaian kantin asal bagi menampung lebih ramai pelajar, dan kami akan pertimbangkan permohonan itu.
“Sebagai Ahli Parlimen Hulu Selangor saya juga akan memberikan sumbangan RM10,000 dan saya berharap kantin itu boleh disiapkan secepat mungkin,” katanya.

Sebelum ini, Guan Eng dilaporkan Roketkini turut menggesa seluruh rakyat Malaysia agar memarahi kerajaan khususnya kementerian Pendidikan yang didakwanya punca berlakunya insiden itu.

“Seperti yang pernah diberitahu kepada saya oleh seorang ulama Islam, orang bukan Islam boleh makan di hadapan orang Islam malah orang Islam itu akan beroleh ganjaran pahala.

“Islam tidak membenarkan tindakan sedemikian dan DAP berharap rakyat Malaysia dapat membezakan antara Islam yang mulia dan aman, berbanding mereka yang merosakkan nama baik Islam dengan memberi layanan yang begitu menghina terhadap kanak-kanak terbabit,” katanya

Menurut Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, sikap tidak sensitif terhadap perasaan orang bukan Islam diperlihatkan dengan keengganan Kerajaan Persekutuan BN untuk bertindak terhadap Presiden Perkasa, Ibrahim Ali yang mengancam membakar kitab Bible dan calon Parlimen BN Shah Alam, Zulkifli Noordin yang menghina agama Hindu dan tidak pula menarik balik kenyataannya atau meminta maaf.

Sebaliknya, katanya, pasangan muda Alvin Tan dan Vivian Lee pula dihukum walaupun mereka telah meminta maaf atas tindakan keji yang tidak menunjukkan rasa hormat terhadap bulan Ramadan yang suci.

Beliau berkata, atas sebab itu, ibu bapa tidak boleh disalahkan kerana enggan menghantar anak mereka ke sekolah rendah kerajaan tetapi memilih untuk ke sekolah vernakular, kerana risaukan kesejahteraan anak-anak mereka.

“Kewujudan MIC, Gerakan dan MCA dalam Barisan Nasional (BN), meskipun sudah tidak lagi relevan dan gagal menyumbang kepada BN, memperlihatkan pihak yang meragukan itu sekadar berasa senang dengan faedah dan keistimewaan berbanding prinsip dan polisi yang memberi faedah kepada rakyat.

“Bagaimana parti politik itu masih kekal dalam BN yang hanya mahu mewakili sebuah komuniti atau sebahagian daripada masyarakat sahaja,” ujarnya.

Ahli Parlimen Bagan itu juga mengajak rakyat Malaysia, Islam dan bukan Islam, bersama-sama menentang tindakan provokatif dan layanan diskriminasi di sekolah terbabit sebaliknya rapatkan barisan menentang budaya perkauman.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE