PARADIGMA POLITIK BARU

Elemen Sosialisme, Liberalisme & Pluralisme Makin Mengakar Di Malaysia

Dzulkarnain Taib atau lebih senang dipanggil DT melalui pemerhatian dan pengalamannya bersama Suara Keadilan mengakui bahawa elemen-elemen sosialisme, liberalisme dan pluralisme semakin mengakar di negara ini.

“Fahaman ini nampak pada kulitnya memang bagus. Keadilan, kesamarataan, ketelusan. Siapa yang tidak mahu nilai-nilai yang baik seperti itu.

“Tetapi mereka tidak menyedari bahawa di sebalik nilai-nilai yang ingin diperjuangkan fahaman ini, ada mesej atau agenda yang tersirat,”katanya

Beliau membuat kenyataan itu ketika ditemu bual secara empat mata oleh AIDC di Putrajaya, 9 Julai 2013.

Menurutnya untuk melindungi agenda tersirat daripada elemen-elemen itu, maka diperbesarkan isu korupsi sebagai suatu pengalihan fikiran rakyat.

Perbesarkan korupsi untuk menutup bahayanya sosialisme, pluralisme dan sosialisme.

“Ini adalah salah satu agenda mereka iaitu untuk menanam dalam fikiran rakyat satu equation (persamaan), UMNO equal corruption.

“Itu yang diulang-ulang seperti menteri propaganda, Adolf Hitler. Mereka mengguna pakai kaedah itulah. Ulang…ulang..ulang hingga satu hari kelak rakyat menerima bahawa itu telah menjadi satu kenyataan, satu kebenaran bahawa UMNO equal corruption. Walhal sebaliknya berlaku,”katanya lagi.

Ikutilah wawancara AIDC bersama DT selengkapnya.

AIDC : Sebagai seorang yang berpengalaman dalam bidang kewartawanan arus perdana, apa agaknya strategi Ketua Umum PKR yang dilihat kerap menyaman media arus perdana ?

Strategi pembangkang ini lebih mirip kepada taktik Komunis. Ramai daripada anggota Majlis Tertinggi mereka itu yang disebut sebagai Majlis Kepimpinan Tertinggi adalah bekas daripada parti PRM dan mereka ini adalah berfikiran sosialis.

AIDC : taktik komunis ?

Ya, mereka menolak kapitalis. Nilai-nilainya bagus seperti keadilan, kezaliman tetapi modus operandi yang mereka jalankan itu sebenarnya bertentangan dengan nilai budaya sosio-politik yang dipegang oleh sistem masyarakat kita. Umpamanya menolak Raja-raja Melayu, itu satu perkara yang tidak boleh diterima.

Jadi, sebab itulah dari segi media, pada sayalah, agendanya, mereka menggunakan cara Komunis. Hanya di negara-negara yang mengamalkan fahaman Komunis sahaja yang menentang, menindas dan menekan media yang dirasakan tidak sealiran dengan mereka.

Malah, di negara-negara Komunis itu pengarang-pengarang media ditangkap, dipenjara dan ada yang hilang (begitu sahaja) kerana tulisan mereka.

Mungkin (tindakan ekstrim) itu tidak berlaku di Malaysia sebab mereka tidak berani. Tetapi cara perjuangan mereka menentang media yang tidak bersetuju dengan mereka seperti Utusan Malaysia yang sentiasa membongkar kemunafikan Anwar, membongkar agenda beliau yang memihak kepada fahaman pluralisme dan liberalisme, sudah tentunya menjadi perkara sensitif kepada Anwar Ibrahim.

Sebab itulah beliau mengarahkan supaya jentera propaganda PKR dan juga pembangkang menyerang habis-habisan media terutamanya akhbar Utusan kerana Utusan itu saya melihatnya sebagai satu institusi Melayu.

Ia bukan lagi satu akhbar. Ia telah berevolusi menjadi satu institusi media Melayu yang mempertahankan Artikel 152, 153 Perlembagaan Malaysia.

Jadi, ini telah menjadi satu ancaman besar kepada golongan-golongan pluralisme dan liberalisme yang ada dalam PKR dan pembangkang. Jadi, ia harus disenyapkan.

Bukan sekadar mahu tutup mulut Utusan, malah sekarang ini, Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Pandan menyeru supaya memboikot media arus perdana termasuk The Star.

Saya melihat tindakan itu sebagai double-standard, dia (Rafizi) tidak menyentuh pun akhbar Cina, akhbar vernakular yang kita tahu sememangnya kita tahu anti-kerajaan, anti-Melayu dan anti-Islam.

Sebenarnya akhbar vernakular inilah yang menjadi sarang kegiatan anti-nasional dan juga anti-perpaduan.

AIDC : Kalau kita kontrakan, Utusan Malaysia disaman dengan begitu kencang. namun tidak sekencang saman terhadap Suara Keadilan (SK) ?

Itulah yang membezakannya. Bukan nak puji diri sendiri tapi itulah yang membezakan SK di bawah pengawasan saya dengan SK masa kini.

Semasa di bawah kelolaan saya, kita ingin menjadikan SK seprofesional yang mungkin. Sebab itulah apa sahaja artikel yang kita tulis ia akan “mengigit” dan kerajaan bertindak dengan menyaman.

Bukannya sekali kena saman, saya rasa ada lima atau enam lagi kes saman yang telah diambil tindakan ke atas SK semasa saya menjadi Ketua Pengarang.

Tetapi sekarang ni kenapa kerajaan pun malas (nak saman). Sebab SK itu standardnya telah turun menjadi satu akhbar jalanan yang tidak ada nilai, yang tidak ada kredibiliti.

Jadi, bila tidak ada kredibiliti dan nilai dari segi pemberitaan, buat apa mana-mana individu atau pihak membuang masa, membuang duit untuk menyaman. Kerana, pertama, akhbar itu tidak akan mampu untuk membayar. Kedua, kalau saman pengarangnya pun tak guna. Iyalah..tergolong dalam akhbar nyamuk lah.

Mungkin bagi penyokong-penyokong tegar, taksub dan fanatik PKR mereka melihat SK sebagai media arus perdana bagi mereka. Mereka sudah biasa dengan berita-berita sensasi itu. Mereka sudah hilang pertimbangan untuk membezakan antara berita yang ada kredibiliti dengan berita yang berunsur fitnah.

Propaganda ini adalah perkara biasa. Sebab itu parti politik, ada organ, akhbar, dan lidah rasmi mereka sendiri. Propaganda lah tu. Untuk menyatakan dasar-dasar, untuk menunjukkan bahawa perjuangan parti itu elok, cantik di mata rakyat. Itu propaganda, itu biasa.

Tetapi, kalau melebihi dan melampaui ke alam fitnah dan tohmah semata-mata, itu sebenarnya memanglah tidak ada nilai langsung.

AIDC : Saudara katakan tadi tentang sosialis. Satu kenyataan yang menarik. Adakah PKR itu parti sosialis ?

Ya, saya rasa kerajaan perlu melihat perkara ini dengan serius sebab elemen-elemen sosialisme ini sudah meresap ke dalam PKR.

Sedangkan sudah ada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Walaupun fahaman sosialis di negara ini masih tidak mengancam lagi, mereka hanya lebih menimbulkan isu-isu seperti ketidakadilan, penyelewengan kuasa, rasuah dan sebagainya, tetapi jika tidak dibendung, ia mungkin bahaya satu hari kelak.

Saya tidak tahu sejauh mana mereka telah berjaya meracuni tahap fikiran rakyat, satu hari nanti, kita tidak boleh tolak kemungkinan, bahawa rakyat mungkin akan terpengaruh, terhasut dan termakan dengan dakyah mereka itu dan mungkin akan mengangkat senjata untuk melawan kerajaan.

Ini kerana evolusi sosialisme selepas komunis, iaitu pihak yang lebih keras menentang yang zalim, seperti mana yang berlaku di Russia dan China pada suatu ketika dahulu.

AIDC : Bermaksud elemen sosialis tertanam dalam PKR melalui penggabungan dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dulu ?

Ya. Saya rasa dalam PKR ini sudah berakar umbi sebab tokoh-tokoh seperti Sivarasa Rasiah, Lateffa Koya, Tian Chua dan lain-lain. Mereka semuanya berada di dalam PRM dulu, sama juga dengan Syed Hussin Ali yang merupakan bekas pensyarah Anwar Ibrahim dulu.

Kita lihat sosialisme sudah mula mengakar di negara ini, umpamanya Dr Jeyakumar, menang lagi (PRU 13) di Sungai Siput, Perak. Dia adalah sosialis.

Kita lihat bagaimana kegiatan-kegiatan PSM, mereka mengambil tindakan yang keras melawan kerajaan. Mereka juga mengambil peluang ke atas golongan-golongan marhaen yang terpinggir, golongan miskin. Dan mereka inilah yang akan digembleng pada suatu hari kelak untuk menentang kerajaan.

Sekiranya kita tidak memantau keadaan ini, jangan terkejut mereka akan melakukan sesuatu yang kita tidak bersedia untuk menghadapinya. Jangan kita ambil sikap sambil lewa.

AIDC : Adakah faktor sosialis yang menyebabkan PKR itu seolah-olah dilihat sebagai anti-Raja, anti-agama dan anti-bangsa ?

Ya, perkara-perkara itu adalah benar. Sosialisme dicampur pula fahaman yang dibawa oleh Anwar, liberalisme, LGBT dan segala macam pluralisme agama.

Hinggakan Anwar mengatakan dalam isu penukaran agama atau status agama anak di bawah umur 18 tahun perlu diberi kepada ibu di mana ibu itu bukan beragama Islam.

Jadi, ini sebahagian kesan pemikiran pluralisme.

Sebab itulah, saya rasa sekarang ini ada fenomena anak-anak muda di dalam media sosial menghina Yang di-Pertuan Agong, menghina Yang Mulia Permaisuri Agong, mempertikaikan Artikel 152 dan 153 dan segala macam ini adalah hasil daripada fahaman liberalisme.

Pendokong-pendokong liberalisme itu mereka percaya bahawa tidak perlu ada ikatan terhadap sejarah.

AIDC : Tidak perlu terikat dengan sejarah silam ?

Tidak perlu. Budak-budak muda kata, apa perlu kita belajar sejarah perjuangan Melayu menuntut kemerdekaan. Tidak perlu belajar sejarah Sultan-sultan Melayu, sejarah Kesultanan Melaka, sejarah keagungan bangsa Melayu, itu semua tidak perlu kata mereka.

Yang pentingnya pada mereka adalah keadaan semasa. Apa yang kita nak pada masa kini. Itulah yang menjadi asas kepada penyebaran pluralisme. Dia fikir apa yang dia perlu pada masa kini.

Kita tengok seperti Nurul Izzah umpamanya, walaupun ayahnya disifatkan sebagai pemimpin yang mempunyai latar belakang Islamik, tetapi bagaimana dia (Nurul Izzah) menginterprestasikan ayat murtad itu sehinggakan mengatakan bahawa orang Melayu pun boleh murtad.

Ini adalah sebahagian daripada fahaman liberalisme yang telah berjangkit.

Dia merupakan tokoh politik, (sudah pasti fahaman itu) akan menular di kalangan anak-anak muda PKR. Ini akan membawa kerosakan dan kita tidak dapat menilai sejauh mana kerosakan itu akan berlaku satu hari kelak.

AIDC : Semasa saudara menjadi Ketua Pengarang SK, adakah saudara sudah dapat mengesan fahaman-fahaman itu dibawa Anwar dalam konteks PKR ?

Fahaman Anwar dalam konteks liberalisme dan pluralisme ini sebenarnya sebelum itu lagi. Semasa beliau dalam ABIM, sudah banyak kritikan. Semasa beliau dalam kerajaan pun, banyak penulisan akhbar-akhbar pembangkang pada masa itu umpamanya Harakah, sebelum Anwar dipecat daripada kerajaan, memang beliau dilabel dan dianggap sebagai pejuang fahaman pluralisme dan liberalisme.

Menguatkan dan mengesahkan lagi apabila beliau menjadi Ketua Umum PKR di mana beliau telah bersengkokol dengan ejen-ejen Yahudi yang terlibat dengan gerakan Zionis antarabangsa.

Ada juga ruangan-ruangan artikel yang mingguan yang disiarkan dalam SK yang bersambung daripada pentadbiran dahulu. Kadang-kadang Pas ada juga memberi teguran. Jadi kita terpaksa keluarkan artikel-artikel yang berunsurkan fahaman pluralisme dan liberalisme itu.

Pas tegur dan kita terpaksa akur dan kita keluarkan. Jadi, kalaulah tidak ada sekatan dan teguran, saya rasa SK akan terus menjadi satu suara yang mempromosi fahaman pluralisme dan liberalisme ini.

AIDC : Adakah fahaman sosialisme, liberalisme dan pluralisme itu bahaya terhadap negara pada masa hadapan?

Fahaman ini nampak pada kulitnya memang bagus. Keadilan, kesamarataan, ketelusan. Siapa yang tidak mahu nilai-nilai yang baik seperti itu. Tetapi mereka tidak menyedari bahawa di sebalik nilai-nilai yang ingin diperjuangkan fahaman ini, ada mesej atau agenda yang tersirat.

Ideologi pluralisme dan liberalisme ini adalah ciptaan Illuminati, golongan Zionis, golongan Kristian (di Barat). Jadi, itu pun sepatutnya sudah membuka mata kepada kita.

Tetapi, kerana ramai orang Melayu tidak mahu berfikir, mereka terima sahaja walaupun mereka tahu gerakan itu diasaskan oleh musuh Islam. Mereka menerima kerana sudah terpikat. Jiwa mereka kosong, tidak ada semangat Melayu yang kental.

Ini adalah salah satu agenda mereka iaitu untuk menanam dalam fikiran rakyat satu equation (persamaan), UMNO equal corruption.

Itu yang diulang-ulang seperti menteri propaganda, Adolf Hitler. Mereka mengguna pakai kaedah itulah. Ulang…ulang..ulang hingga satu hari kelak rakyat menerima bahawa itu telah menjadi satu kenyataan, satu kebenaran bahawa UMNO equal corruption. Walhal sebaliknya berlaku.

AIDC : Maksudnya ?

Mungkin saya direct sikit ya. Corruption negara membangun seperti Malaysia ini adalah satu fenomena evolusi semulajadi. Kita tidak boleh lari daripada itu.

Cuba kita tengok Korea Selatan, ia seperti Malaysia, corruption begitu tinggi.

Sebab corruption begitu tinggi kerana negara itu rancak membangun, economic vibrant. Apabila economic vibrant, pembangunan berlaku dengan rancak, pelaburan luar masuk dengan banyak.

Apabila ekonomi itu vibrant akan banyak kecairan wang, sifat manusia biasalah tamak, mata duitan, mengambil peluang, maka berlakulah amalan rasuah dan korupsi.

Walaupun kita tidak setuju tetapi dari segi sosiologi, fenomena itu tidak boleh kita hindarkan.

Tengok sekarang, apabila Korea Selatan menjadi negara maju, institusi-institusi negara itu bertambah mantap, bertambah profesional. Jadi tahap rasuah itu juga sudah berkurangan.

Malaysia sekarang ini berada di tahap sedang menuju ke arah negara maju. Akan berlaku korupsi, namun satu hari kelak apabila mencapai negara maju, kadar rasuahnya juga akan turun.

Sebab pada masa itu SPRM, PDRM dan SPR bertambah mantap, media bertambah elok dan profesional.

Institusi-institusi yang sedang diperkukuhkan sekaran, yang sedang dijalankan di bawah program transformasi Datuk Seri Najib Tun Razak itulah yang mahu dicapai.

Menyediakan insitusi-institusi ini menjadi lebih mantap, kukuh dan tidak mudah digugat apabila negara mencapai status negara maju.

…bersambung siri ke-3, agenda bukan Islam dalam pembangkang…

DT : Sebab Saya Tolak Tawaran Anwar Jadi SU Akhbar…

1 Comment

  1. alimedanbaru says:

    Sesungguhnya orang-orang Melayu khasnya dua kumpulan terbesar ia itu UMNO dan PAS tiada pilihan lain untuk mengembalikan kekuatan MELAYU berteraskan ISLAM kecuali BERSATU. Berdasarkan sistem siapa majoriti atau lebih kerusi dia berkuasa maka mana mungkin dgn bilangan kerusi yg paling sedikit di parlimen PAS mahu bercakap mengenai Islam.
    Sebelum PRU13 lagi UMNO telah menghulurkan tangan perpaduan tetapi awal-awal Pas ya’ni Nik Aziz dah tolak malah nak meludah muka mereka yg nak berusaha kearah itu.
    Sebesar manapun sarban Nik Aziz atau berapa meter pun janggut dia, selagi nafsu sarakah, ego dan sombong berakar dihatinya maka selagi itu Pas akan gagal mencapai missinya secara bersendirian kecuali bersama UMNO.
    Mana mungkin Pas mahu berjaya menghadapi fahaman sosialisme ,leberalisme dan pluralisme yg ada dalam DAP dan PKR kecuali PAS terpalit sama atau keluar dan larikan diri drp Pakatan. Namun jika mahu berjuang sendiri pun Pas masih tidak boleh berjaya kecuali bersatu bersama UMNO membentuk satu jalinan politik Melayu yg ampuh untuk melaksanakan apa misi dan visi pun hatta mahu menjadikan negara ini sebagai satu-satunya didunia melaksanakan hukum hudud dalam masyarakt majmuk!
    Jika enggan bersatu, maka selama itulah Islam hanya boleh didendangkan tetapi tidak boleh dilaksanakan 100%.

Leave a Comment

 

— required *

— required *