Lahad Datu : Mahkamah Benarkan UMNO Saman Tian Chua

AIDCNews – 03/07/13 – Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa UMNO boleh memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan dua yang lain berhubung artikel diterbitkan dalam portal KeadilanDaily.com yang didakwa mengaitkan UMNO dengan kejadian pencerobohan di Lahad Datu, Sabah.

Hakim Mahkamah Tinggi, Rosilah Yop dilaporkan Utusan berpendapat UMNO mempunyai locus standi untuk memulakan tindakan di bawah Seksyen 9 (c) Akta Pertubuhan 1966 menggunakan nama pegawai awam parti tersebut.

Pada 15 Mac lalu, UMNO melalui Setiausaha Kerjanya, Datuk Ab. Rauf Yusoh telah memfailkan saman terhadap Tian Chua atau nama sebenarnya, Chua Tian Chiang, Editor portal berkenaan, Fazallah Pit; dan penulis artikel, Aisha Geoffrey.

Saman difail melalui Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi, Kuala Lumpur.

Dalam pernyataannya, Ab Rauf mendakwa Tian Chua mengeluarkan kata-kata fitnah di dalam artikel “Insiden tembakan di Lahad Datu konspirasi terancang UMNO” yang telah dilaporkan dan diterbitkan oleh KeadilanDaily pada 1 Mac lepas ketika ditemuramah oleh wartawan portal itu.

Ab Rauf mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu membawa maksud bahawa UMNO merupakan dalang di dalam konspirasi jahat untuk Barisan Nasional menang dalam pilihan raya akan datang di negeri Sabah dan sengaja mahu menakut-nakutkan rakyat dengan insiden di Lahad Datu selain mendakwa UMNO adalah pembelot negara yang kononnya membawa masuk pejuang Kesultanan Sulu di Lahad Datu, Sabah.

Tian Chua dalam pernyataan pembelaan antaranya menyatakan, kenyataannya adalah komen yang wajar dan dibuat di bawah perlindungan bersyarat demi kepentingan awam berkenaan isu keselamatan negara dan ketelusan media.

Peguam Raihanah Ariffin yang mewakili Ab. Rauf selaku pihak plaintif memberitahu pemberita, permohonan anak guamnya itu akan didengar pada 12 Jun ini.

Tarikh itu ditetapkan oleh Hakim Rosilah Yop ketika pengurusan kes saman itu di kamar beliau hari ini dengan kehadiran peguam S.H. Tan mewakili Tian Chua, Fazallah dan Aisha yang dinamakan sebagai defendan pertama hingga ketiga.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE