PARADIGMA POLITIK BARU

Penegasan PPMM Berhubung Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (WP) 2013

Kontorversi yang sengaja diwujudkan sesetengah pihak berhubung pembentangan rang undang-undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 masih belum reda, khususnya apabila wujud kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab pihak-pihak yang tidak memahami aspek-aspek kedudukan Islam di Malaysia serta percubaan mengelirukan masyarakat awam.

Pihak Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) sekali lagi ingin menegaskan pendirian yang telah dibuat melalui kenyataan media PPMM bertarikh 20 Jun 2013. Di samping itu, PPMM ingin menjelaskan kekeliruan yang sengaja diwujudkan pada askpek-aspek berikut:

Keputusan kabinet pada tahun 2009

Pada pada 23 April 2009, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz telah membuat keputusan yang amat menyedihkan kita sebagai umat Islam. “Agama tidak sepatutnya menjadi alat untuk melarikan diri daripada tanggung jawab perkahwinan. Pemelukan agama bukan satu alasan pembubaran perkahwinan secara automatik. Perkahwinan sivil hendaklah diselesaikan melalui undang-undang sivil. Pertukaran agama hanya berkuatkuasa pada tarikh pertukaran agama yakni tidak berkuatkuasa ke belakang (not restropective). Ini bermakna mereka yang memeluk Islam masih perlu menunaikan tanggung jawab perkahwinannya mengikut undang-undang sivil sebelum berlakunya pertukaran agama”.

Perlu ditegaskan bahawa sebarang keputusan kabinet tidak boleh mengubah kedudukan undang-undang sedia wujud. Prinsip dan amalan kebebasan kehakiman yang disanjung dan ditekankan di dalam Negara kita perlu difahami, apatah lagi dalam perkra-perkara yang melibatkan maslahah umat Islam. Mahkamah tidak boleh atau patut sekali-kali tunduk pada “arahan kabinet”. Malah, jemaah menteri, seperti yang telah ditegaskan beberapa kali sebelum ini, tidak boleh melangkaui batas kuasa yang termaktub untukknya. Kenyataan Menteri tersebut jelas melanggar prinsip dan amalan kebebasan kehakiman dan nampaknya hal ini dimanipulasi pelbagai pihak di dalam cuba untuk mengeruhkan suasana yang sudah jernih dengan kedudukan undang-undang berkaitan hak pengislaman anak mualaf ini.

Majlis Peguam cuba mengelirukan orang awam

Presiden Majlis Peguam (BAR) Christopher Leong dengan lantang mengkritik peruntukkan seksyen 107(b) dalam Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam Wilayah Persekutuan yang baru dibentangkan di Dewan rakyat untuk bacaan pertama minggu lalu. Peruntukkan seksyen itu berbunyi –

Bagi maksud Bahagian ini, seseorang yang tidak beragama Islam boleh masuk Islam jika dia sempurna akal dan—

a) mencapai umur lapan belas tahun; atau
b) jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan kemasukannya.

Adalah jelas bahawa Majlis Peguam cuba menimbulkan kekeliruan apabila menggunakan forum awam untuk memaksakan pandangan salah mereka. Keputusan di dalam kes-kes Subashini a/p Rajasingam lwn. Saravanan a/l Thangathoray (2009) di Mahkamah Persekutuan dan kes Nedunchelian V Uthiradam v. Nurshafiqah Mah Singai Annal & Ors [2005] 2 CLJ 306 yang dirujuk dalam penghakiman Subashini di atas, Mahkamah Tinggi telah mentafsirkan bahawa perkataan “parent” dalam Fasal (4) Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan itu mempunyai maksud mufrad (singular). Justeru, keizinan daripada salah seorang ibu atau bapa adalah memadai untuk menukar agama kanak-kanak itu. Ini adalah undang-undang yang telah dijelaskan dan diselesaikan pada masa ini (settled law).

Adalah dikesali bahawa Majlis Peguam cuba mengelirukan orang ramai kononnya s. 107(b) bercanggah dengan perlembagaan atas sebab bahagian dari keputusan di dalam kes-kes tersebut adalah sekadar ‘per incuriam”. Pada hakikatnya, Mahkamah telah membuat keputusan yang jelas mengenai hal ini melalui penelitian yang mendalam dan sepatutnya diterima sehingga ada perubahan atau pindaan undang-undang.

Malah seksyen 107 tersebut bukanlah suatu perkara yang baru kerana ia telahpun wujud di dalam Akta Pentadbiran Undang Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 yang sedang berkuatkuasa. Perkara ini ditegaskan sendiri oleh Dato’ Haji Sulaiman Abdullah seorang peguam yang berpengalaman dan mantan Pengerusi Majlis Peguam.

Pindaan keputusan Mahkamah

Perlu dijelaskan di sini bahawa keputusan Mahkamah hanya boleh diubah atau dipinda melalui keputusan forum Mahkamah yang lebih tinggi (superior), melalui pindaan undang-undang atau semakan kehakiman terhadap keputusannya. Pada masa ini, kedudukan undang-undang sepertimana yang telah dijelaskan di atas adalah kekal oleh kerana dan melainkan berlaku salah satu dari mana-mana cara tersebut di atas.

PPMM meminta agar semua pihak-pihak menghormati kedudukan undang-undang sedia ada dan tidak menangguk di air keruh dengan kenyataan-kenyataan yang mengelirukan berhubung Rang Undang-undang pindaaan yang sedang dicadangkan.

Evolusi Seksyen 107 RUU Akta Pentadbiran

Melalui Ordinan Undang Undang Pentadbiran Agama Islam (Selangor) 1952 pemelukan Islam anak bawah umur 18 adalah secara otomatik apabila salah seorang ibu atau bapanya memeluk Islam. Manakala Akta Pentadbiran Undang undang Islam (Wilayah- Wilayah Persekutuan) memperuntukkan kebenaran salah seorang ibu atau bapa perlu diberikan. adalah amat tidak boleh diterima oleh orang Islam apabila syarat ini diperketatkan lagi dengan kebenaran kedua ibubapa pula.

Perkenan Yang Dipertuan Agong

Rang Undang-undang Akta Pentadbiran Undang-undang Islam 2013 sebelum dibawa ke kabinet dan Parlimen telahpun mendapat pekenan daripada Yang Dipertuan Agong setelah dinasihati oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Oleh yang demikian ia tidak boleh sewenang-wenangnya ditarik balik atas arahan jemaah menteri tanpa pekenan Yang Dipertuan Agong setelah berunding dengan MAIWP. Jemaah Menteri tidak mempunyai kuasa mengarahkan MAIWP melakukan sedemikian kerana MAIWP adalah pihak berkuasa agama utama di Wilayah Wilayah Persekutuan.

Hukum Syarak

Kedudukan Hukum Syarak adalah jelas iaitu apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam agama anak tersebut adalah Islam. Walau bagaimanapun ada pandangan yang mengatakan anak yang Islam tersebut boleh diberikan hak jagaannya kepada ibu yang bukan Islam dengan syarat- syarat tertentu. Penentuan agama dan hak jagaan adalah dua perkara yang berbeza dan perlu difahami oleh semua orang. Mahkamah juga pernah memutuskan hak jagaan anak yang Islam diberikan kepada ibu yang bukan Islam dengan syarat tertentu seperti di dalam kes Shamala mlwn Dr Muhammad Ridzuan. Malangnya ibu bukan Islam yang telah diberikan hak jagaan ini telah membawa lari anak tersebut mungkin ke luar negeri dan sehingga kini bapanya yang Islam langsung tidak mendapat hak walaupun berjumpa dengan anak- anak tersebut.

Penutup

PPMM mendesak Pihak Kerajaan tidak tunduk kepada sebarang tekanan bagi menarik balik Rang Undang-Undang ini kerana ianya antara lain telah sedia ada di dalam Akta yang sedang berkuatkuasa dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan sebagaimana yang ditafsirkan oleh Mahkamah Persekutuan. PPMM juga mendesak semua ahli Parlimen Islam dan bukan Islam tanpa mengira parti menunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan sebagaimana sumpah mereka ketika menjadi Ahli Dewan Rakyat dan menghormati prinsip pembahagian kuasa (separation of powers) kerana Mahkamah Persekutuan telahpun memberi tafsiran yang padu kepada Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan oleh Dato’ Haji Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden PPMM

1 Comment

  1. Mr Y says:

    Allahu Akbar! Allahu Ya Hafidz! Allahu Ya Qahhar! Peliharalah kesucian agama Islam di muka bumi Malaysia ini dan berilah balasan setimpal kepada kaum yang sengaja menghina kesucian agama Mu yang Engkau redhai ini..Ameen.

Leave a Comment

 

— required *

— required *