Teresa Kok Bantah Islam Sebagai Agama Persekutuan

AIDCNews – 02/07/13 – Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok tidak bersetuju agama Islam diwartakan sebagai agama Persekutuan di negara ini.

Teresa yang juga Ahli Parlimen DAP Seputeh berkata demikian di hadapan Hakim Siti Khadijah dalam kes samannya terhadap Utusan Melayu (M) Bhd di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, 26 Jun.

Peguam Mohana Kumar yang mewakili Utusan dan pengarangnya Datuk Zaini Hassan menyoal Teresa sama ada beliau bersetuju atau pun tidak agama Islam diwartakan sebagai agama Persekutuan sepertimana yang termaktub dalam perlembagaan negara.

“Tidak setuju,” jawab Teresa.

Rakyatnews yang mengikuti perbicaraan itu melaporkan Peguam Sankara Nair yang mewakili Teresa kerap membantah soalan-soalan seterusnya yang diajukan kepadanya.

Pada 9 Oktober 2008, Teresa telah memfailkan saman terhadap Utusan Melayu berkaitan satu artikel bertajuk ‘Azan, Jawi, Jais, UiTM dan ba-alif-ba-ya’, yang disiarkan akhbar Utusan Malaysia pada 10 September 2008.

Teresa mendakwa artikel itu ditujukan kepada dirinya yang membawa maksud beliau seorang yang tidak boleh dipercayai, ahli politik yang jahat, bersikap perkauman dan anti-Islam.

Dalam keterangan di mahkamah pada 26 Jun lalu, Teresa turut bersetuju namanya tidak dinyatakan secara spesifik dalam kolum ‘Cuit’ yang ditulis oleh Zaini Hassan itu.

Sebaliknya, Teresa juga bersetuju hanya nama Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dan bekas Menteri Besar itu, Dr Mohamad Khir Toyo dinyatakan secara spesifik dalam artikel itu.

“Saya bersetuju hanya nama Khir Toyo dan Khalid disebut dalam artikel itu dan tidak ada nama pemimpin lain (Yang Berhormat),” katanya ketika pemeriksaan balas peguam Mohana Kumar.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE