Mesir Bergolak Lagi, Relovusi Kedua Bakal Berlaku

AIDCNews – 29/06/13 – Sungguhpun revolusi Mesir berjaya menggulingkan Presiden Hosni Mubarak pada 2011 dan menaikkan Presiden baru, Mohamed Morsi, namun ia tidak menjamin kestabilan politik dan ekonomi kekal harmoni di negara itu.

businessweek.com hari ini melaporkan rakyat Mesir tidak sabar-sabar akan turun ke jalan raya, untuk menggulingkan pula Presiden Mohamed Morsi bermula Ahad ini.

Kerajaan Mesir pula dilaporkan telah bersiap sedia dengan langkah keselamatan untuk bertempur dengan ancaman penunjuk perasaan secara besar-besaran itu.

Setiap isi rumah kini telah dilanda kekurangan bahan api dan kenaikan harga barang-barang asas kerana demonstrasi yang berlarutan sejak beberapa hari lepas.

“Kami bimbang lebih ramai rakyat Mesir akan turun, ia akan berlaku pertumpahan darah..ia boleh menjadi revolusi kedua,” kata Magdy Ezz, pemilik kedai pakaian lelaki yang risau dengan perkembangan terkini berlaku di Kaherah dan merebak ke bandar-bandar lain itu.

Musuh politik Morsi dilaporkan businessweek.com, menjangkakan bermula Ahad ini, mereka akan mengerah lebih ramai rakyat turun ke jalan raya besar-besaran.

Mereka mendakwa sudah bosan dengan pemerintahan yang ‘bertopeng’ Islam pimpinan Morsi yang didakwanya telah meninggalkan ekonomi dan keselamatan negara.

Mereka turut mendakwa telah mengumpul 15 juta tandatangan rakyat yang mendesak Morsi supaya meletak jawatan sebagai Presiden Mesir.

Kumpulan Ikhwan Muslimin pula tampil untuk mempertahankan Morsi.

Mereka mendakwa mandat Morsi sebagai ‘presiden pertama negara’ yang dipilih secara bebas perlu dipertahankan dan jika perlu mereka akan mempertahankannya dengan “jiwa dan darah” untuk “menghancurkan” kumpulan penentang itu.

Ikhwan Muslimin turut mendakwa lima daripada anggotanya telah terbunuh dalam pertempuran dengan penunjuk perasaan di Delta Nil beberapa hari yang lalu.

Pada Jumaat lalu, dua orang terbunuh dalam pertempuran di bandar Alexandria dan sekurang-kurangnya lima buah pejabat Ikhwan Muslimin telah dibakar oleh penunjuk perasaan.

Pertempuran yang bermula pada Jumaat lalu, dan bakal disusuli Ahad ini bukan pengakhiran, tetapi ia merupakan permulaan kepada satu pertempuran yang lebih besar lagi.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE