PSM Dakwa Pakatan Tikam Belakang

AIDCNews – 29/06/13 – Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr Nasir Hashim melahirkan rasa kecewanya terhadap Pakatan Rakyat (Pakatan) yang didawanya telah menikam dari belakang parti itu pada Pilihanraya Umum ke-13 (PRU 13).

“Benar, kita tetap bermasalah apabila kawan sendiri membelot dan menikam kita dari belakang kerana pada hemat kami mereka ini bukanlah musuh utama.

“Namun kita tetap dilanyak dan kita cuba bertolak ansur dengan harapan dapat bersatu.

“Walhal kalau mengikut sejarah perjuangan PSM, kita tidak gentar menghadapi musuh utama, sanggup kena pukul dipenjara dan diheret ke mahkamah. Masih bangun melawan,” katanya dalam ucapan dasarnya sempena kongres parti itu di Tanah Rata, Cameron Highland, semalam.

Sehubungan itu, Dr Nasir menegaskan pihaknya ingin mengkaji semula hubungan PSM dengan Pakatan.

“Apabila calon Pakatan kalah dalam pilihan raya, maka timbullah tohmahan baharu bahawa PSM tidak membantu. Mereka tidak sebut langsung tentang sabotaj yang mereka lakukan secara terbuka dan bersekongkol (senyap) menentang calon PSM menjelang pilihan raya.

“Maka saingan satu lawan satu menjadi saingan banyak penjuru dan berpecahlah undi, memberi kemenangan mudah kepada pihak musuh. Justeru itu tidak hairanlah sekiranya PSM ingin mengkaji semula hubungannya dengan Pakatan.

“PAS penuh yakin boleh menang apabila dapat sokongan sebahagian daripada PKR dan UMNO. Namun mereka tidak berjaya menang tetapi berjaya memecah undi dan menyerah DUN Kota Damansara kepada UMNO di atas dulang emas.

“Begitulah, mereka menang sorak tetapi kampung halaman tergadai. DUN Semenyih dan DUN Jelapang juga mengalami cerita yang agak sama iaitu kita diserang dan disabotaj oleh rakan-rakan dari Pakatan. Apakah iktibar kita dalam kesemuanya ini?,”katanya.

Kongres PSM ke 15 yang bertemakan “Membina Kuasa Sosialis’ turut membahaskan topik sosialis antarabangsa yang bertajuk, “Sosialisma abad ke 21 & Revolusi Bolivarian – Selepas Chavez.”

Ahli panel yang dijemput membincangkan topik itu adalah Mina Perez dan kedutaan Venezuela dan Alex Bainbridge dari Socialist Alliance Australia dan Choo Chon Kai, koordinator antarabangsa PSM.

Dalam topik nasional bertajuk, “Selepas PRU 13 : PR atau Kuasa Ketiga ?,” Cikgu Bard dari SAMM dan Boon Kia Meng, Collective Intelligence dijemput menjadi ahli panel.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE