ISMA : Terima Dana Asing, Anwar Tidak Patriotik

BANGI, 28 Jun – Ikatan Muslimin Malaysia mendesak ketua pembangkang, Dato Seri Anwar Ibrahim untuk memperjelaskan dakwaan ke atasnya berhubung bantuan dana asing dalam siri perhimpunan Blackout seperti yang didakwa bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla.

Ketua Biro Politik ISMA, Tuan Haji Aminuddin Yahaya berkata, ISMA melihat tindakan menerima dana asing semata-mata untuk kepentingan peribadi disifatkan sebagai tidak patriotik dan hanya mahu mengkucar-kacirkan negara kerana tidak memikirkan kepentingan negara.

“ISMA membantah perkara ini, mana-mana pihak sekalipun tidak boleh menerima bantuan asing. Jadi Dato’ Seri Anwar perlu jawab dakwaan ini.

“Jika benar, maka ini satu tindakan yang sangat tidak patriotik kerana tidak memikirkan kepentingan negara, sehingga lebih mementingkan kepentingan peribadi,” ujarnya ketika dihubungi wartawan ISMA.

Tegasnya dalam hal ini, Dato Seri Anwar perlu mendedahkan apa agenda dan perjanjian yang sebenarnya antara beliau dengan negara asing yang memberi dana supaya rakyat menilai samaada perkara itu boleh diterima ataupun tidak.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Jusuf Kalla, mantan Naib Presiden Indonesia yang menyatakan bahawa Anwar dibantu oleh beberapa pihak khususnya dari Turki, Washington, Filipina, dan mungkin juga di negara Thai dan China dalam menjayakan siri himpunan Blackout 505 dalam satu wawancara bersama Ketua Editor Merdeka-Online.

Dalam wawancara tersebut, Jusuf turut memberitahu bahawa pencerobohan di Lahad Datu turut melibatkan campur tangan kawan-kawan Dato’ Seri Anwar seperti Joseph Estrada dan sebuah syarikat besar di Filipina.

Soal Haji Amin, perlukah meminta bantuan negara lain jika mahu berjuang di negara sendiri? Apa yang terjadi seolah-olah beliau seperti boneka dan orang suruhan untuk perjuangan orang lain.

“Kenapa harus mengambil bantuan orang lain untuk berjuang di negara sendiri, ia seperti boneka dan orang suruhan. Ertinya ini perjuangan siapa, perjuangan beliau atau perjuangan orang lain?

“Rakyat perlu fikir dan tahu, tidak ada negara yang membenarkan kemasukan dana asing masuk kerana salah dari segi kedaulatan negara, sama ada isu pencerobohan Lahad Datu, Blackout 505 atau sebagainya.

“Jadi, kepimpinan beliau harus ditolak dan kerajaan patut mengenakan tindakan ke atasnya kerana mencemar kedaulatan negara,” tegas Haji Amin -ISMA

Wawancara Lengkap Bersama Jusuf Kalla

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE