Anwar Mewakili Parti Paling Tak Popular

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) adalah parti yang paling ditolak rakyat sekiranya pembangkang masih mahu menegakkan soal undi popular bagi menentukan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican berkata, perkara itu berikutan PKR hanya memenangi 30 kerusi Parlimen berbanding 99 kerusi yang ditandingi.

Jelasnya, prestasi PKR adalah amat buruk sekiranya dibandingkan DAP yang menang 38 kerusi berbanding 51 kerusi Parlimen yang ditandingi manakala Pas pula memenangi 21 kerusi daripada 73 kerusi.

“PKR kalah di 66 kerusi Parlimen yang ditandingi, boleh kita katakan PKR adalah parti yang paling ditolak rakyat dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah pemimpin yang paling tidak popular.

“Kalau PKR sudah jelas tidak popular dan pemimpin parti itu yang paling ditolak rakyat, adakah masih wajar Anwar diangkat sebagai Ketua Pembangkang?” soalnya ketika bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Semalam, ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) mengingatkan pemimpin pembangkang tidak mendabik dada kerana berjaya mendapat 51 peratus undi popular dalam PRU-13 kerana parti-parti pembangkang tidak bertanding di bawah satu pakatan sah seperti BN sebaliknya atas tiket serta lambang masing-masing.

Menurut Reezal Merican, undi popular tidak boleh dijadikan neraca untuk mengukur kemenangan kerana BN merupakan parti sah yang berdaftar manakala pakatan pembangkang pula begitu rapuh sehingga berlakunya pertembungan antara PKR dan Pas di satu kerusi Parlimen dan enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

“BN masuk ke dalam PRU-13 sebagai perikatan yang bersatu walhal pakatan pembangkang berpecah-belah tetapi jika mereka benar-benar hendak mengukur mengikut satu demi satu parti, UMNO memenangi 88 kerusi daripada 133 kerusi Parlimen yang ditandingi,” katanya -Utusan

No comments.

Leave a Reply

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE