Kenapa Dipertikai Kerajaan Yang di-Pertuan Agong & Raja-Raja Melayu ?

Tulang Asal – Hampir keseluruhan rakyat Malaysia yang tidak memahami asas penubuhan negara Malaysia ini walaupun pernah mengetahui berkaitan dengan perlembagaan negara. Bahawasanya asas terdirinya negara Malaysia ini adalah bertunjangkan perlembagaan itu sendiri.

Sistem pemerintahan di Malaysia ini sebenarnya adalah sistem “Raja Berperlembagaan” maknanya Raja sebagai ketua kerajaan Malaysia yang memerintah melalui perlembagaan negara. Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja memerintah dengan menyalurkan kuasa eksekutif kepada wakil kerajaan yang dilantik olehnya iaitu Perdana Menteri atau Menteri Besar/Ketua Menteri.

Namun sedemikian rakyat berhak untuk memilih wakil untuk mewakili mereka di dalam kerajaan ini melalui sistem “Demokrasi Berparlimen”.

Maknanya rakyat memilih wakil mereka yang bersidang membahas apa juga perkara bagi kepentingan rakyat dan negara di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri melalui sistem (demokrasi) undi iaitu pilihanraya bagi setiap 5 tahun sekali atau kurang termaktub kepada pembubaran Parlimen (Dewan Rakyat) itu sendiri.

Siapa yang memperolehi undi majoriti akan terpilih menjadi calon rakyat di Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.

Wakil yang mendapat sokongan majoriti ahli-ahli Parlimen (Dewan Rakyat) atau ahli Dewan Undangan Negeri itu secara dasarnya dipilih (bukan dilantik) untuk menjadi Perdana Menteri atau Menteri Besar / Ketua Menteri bagi mengetuai dan diberikan kuasa eksekutif memerintah sebagai wakil Kerajaan oleh Yang di-Pertuan Agong atau Raja-raja. Tetapi kuasa mutlak untuk melantik atau menolak wakil itu ke jawatan tersebut adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja.

Namun berapa ramaikah di antara kita rakyat Malaysia yang benar-benar memahami atau mengetahui konsep ini? Pada hakikatnya ianya bukanlah kerajaan BN atau PR tetapi adalah kerajaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja.

BN atau PR itu adalah parti yang mewakili wakil-wakil yang dipilih oleh rakyat. Dengan menyatakan kerajaan BN atau PR itu adalah satu konsep yang salah dan berlandaskan kepada maksud politik itu sahaja adalah tidak tepat sama sekali.

Kita telah melihat dalam beberapa keputusan dan tindakan ke bawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang menolak perlantikan wakil-wakil tertentu sebagai Menteri Besar atau anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri bagi mewakili kerajaan negeri yang diperintah oleh Raja-Raja.

Kerana lazimnya semenjak daripada kemerdekaan negara Malaysia, yang diPertuan Agung atau Raja-Raja bertindak atas nasihat. Sama ada untuk menerima atau tidak adalah budi bicara Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja. Kerana sinonimnya apa yang kebiasaannya Perdana Menteri Atau Menteri Besar/Ketua Menteri sembahkan akan diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja namun pada realitinya ianya tidak begitu dan ianya telah terbukti Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja mempunyai kuasa mutlak untuk menerima atau menolak.

Merujuk kepada perhimpunan besar-besaran untuk menzahirkan rasa tidak puas hati terhadap pilihanraya yang telah dan akan diadakan dengan menyatakan ianya adalah satu penipuan atau manipulasi pada dasarnya adalah penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja dan bercanggah dengan Perlembagaan negara artikel 118 dan 118A iaitu undang-undang tertinggi negara iaitu :-

Cara mencabar pemilihan

118. Tiada pemilihan ke Dewan Rakyat atau ke Dewan Undangan sesuatu Negeri boleh dipersoalkan kecuali melalui petisyen pilihanraya yang dikemukakan kepada Mahkamah Tinggi yang mempunyai bidang kuasa di tempat pilihanraya itu diadakan.

Cara mempersoalkan petisyen pilihanraya mengenai tidak adanya pemilihan

118A. Sesuatu petisyen yang mengadukan hal bahawa tiada apa-apa pemilihan telah dibuat ke Dewan Rakyat atau Dewan Undangan hendaklah disifatkan sebagai satu petisyen pilihanraya dan Mahkamah Tinggi boleh membuat apa-apa perintah yang difikirkannya patut mengenainya untuk memaksa suatu pemilihan dibuat tetapi kegagalan membuat pemilihan dalam mana-mana tempoh yang dinyatakan oleh Perkara 54 atau 55 atau oleh peruntukan yang bersamaan dalam Perlembagaan mana-mana Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, tidaklah menjadi suatu alasan bagi mengisytiharkan bahawa seseorang ahli telah tidak dipilih dengan sewajarnya.

Untuk makluman, Suruhanjaya Pilihan Raya yang dipengerusikan oleh wakil yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja. Mempertikaikan Suruhanjaya Pilihan Raya ini samalah ertinya dengan mempertikaikan kuasa Yang di-Pertuan Agung dan Raja-raja.

Perhimpunan haram berkaitan pertikaian ini yang mengugat keamanan dan keselamatan negara yang tidak bertunjangkan perlembagaan negara harus ditentang sehabis-habisannya kerana pada dasarnya ianya satu penghinaan. Dan kita lihat pemimpin parti pembangkang iaitu Karpal Singh membuat laporan polis ke atas perhimpunan ini kerana tidak mahu dikaitkan kepada diri dan parti yang didokongnya. Ini kerana beliau memahami apa yang termaktub di dalam Perlembagaan yang mana hukumannya adalah amat-amat berat iaitu secara ringkasnya ;-

BAHAGIAN XI

KUASA KHAS MENENTANG PERBUATAN SUBVERSIF, KEGANASAN TERANCANG, DAN PERBUATAN DAN JENAYAH YANG MEMUDARATKAN ORANG AWAM DAN KUASA DARURAT

Perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam, dsb.

149. (1) Jika sesuatu Akta Parlimen menyebut bahawa tindakan telah diambil atau diancam oleh mana-mana kumpulan besar orang, sama ada di dalam atau di luar Persekutuan—

(a) untuk menyebabkan keganasan terancang terhadap orang atau harta, atau untuk menyebabkan sebilangan besar warganegara takut akan keganasan itu; atau

(b) untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap Yang di-Pertuan Agong atau mana-mana Kerajaan di dalam Persekutuan; atau

(c) untuk menggalakkan perasaan niat jahat dan permusuhan antara kaum yang berlainan atau golongan penduduk yang berlainan yang mungkin menyebabkan keganasan; atau

(d) untuk mendapatkan perubahan, selain dengan cara yang sah, apa-apa jua yang ditetapkan melalui undangundang; atau

(e) yang memudaratkan penyenggaraan atau perjalanan apaapa bekalan atau perkhidmatan kepada orang awam atau mana-mana golongan orang awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya; atau

(f) yang memudaratkan ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya, atau yang memudaratkan keselamatannya,

“Maka apa-apa peruntukan undang-undang itu yang bermaksud untuk memberhentikan atau mencegah tindakan itu adalah sah walaupun peruntukan itu tidak selaras dengan mana-mana peruntukan Perkara 5, 9, 10 atau 13, atau walaupun, jika tidak kerana Perkara ini, peruntukan itu akan terkeluar daripada kuasa perundangan Parlimen; dan Perkara 79 tidaklah terpakai bagi Rang Undang-Undang untuk sesuatu Akta yang sedemikian atau bagi apa-apa pindaan kepada sesuatu Rang Undang-Undang yang sedemikian.”

Perkara 5 :- Kebasan Diri
Perkara 9 :- Larangan Buang Negeri Dan Kebebasan Bergerak
Perkara 10:- Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan.
Perkara 13 :- Hak terhadap harta.
Perkara 79:- Perjalanan Kuasa Perundangan bersama.

Maknanya perhimpunan haram ini wajar diambil tindakan sekeras-kerasnya berlandaskan Perlembagaan negara sebagai undang-undang tertinggi melalui wakil eksekutif kerajaan Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja iaitu Perdana Menteri melalui Kementerian Dalam Negeri (Suruhanjaya Pasukan Polis) menguatkuasakan peruntukkan ini.

Rakyat perlu sedar dan faham bahawasanya Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja yang memerintah melalui instrumen-instrumen yang dilantik olehnya.

Bukannya ahli-ahli politik yang berkuasa, kerana tanpa perlantikan oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja yang menyalurkan kuasa eksekutif maka ahli-ahli politik sebenarnya tidak memiliki apa juga kuasa perlaksanaan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan negara walaupun dipilih oleh rakyat.

Sebagai orang Melayu Islam jangan kita derhaka kepada kerajaan yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja yang memerintah.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE