Perhimpunan Tidak Bantu Pilihan Raya Diadakan Semula – SPR

KUALA LUMPUR – Sebarang bantahan terbuka atau perhimpunan tidak mampu mengubah keputusan pilihan raya umum atau mengakibatkan ia diadakan semula, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Beliau berkata sebaliknya calon atau mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) boleh memohon semakan supaya pilihan raya diadakan semula dengan mengemukakan petisyen selepas pewartaan keputusan oleh SPR, mengikut undang-undang.

“Selepas diwartakan dalam tempoh 21, mereka boleh buat petisyen, itu yang betul dan kalau bukti-bukti itu jelas serta lengkap dan pihak hakim mengakui wujudnya perlakuan rasuah, penipuan atau menyalahi undang-undang, maka mungkin Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan akan memutuskan bahawa keputusan pilihan raya itu tidak sah.

“Dengan itu barulah boleh diadakan pilihan raya semula, tetapi jika dibuat perjumpaan atau perhimpunan seperti malam ini, yang saya pun tak tahu apa maksud dia, sebenarnya tidak akan mengubah apa-apa yang boleh mengakibatkan pilihan raya diadakan semula,” katanya selepas ditemu ramah Radio24 di Wisma Bernama Rabu.

Abdul Aziz berkata demikian ketika diminta mengulas perhimpunan haram pembangkang di Stadium Kelana Jaya malam ini, yang kononnya diadakan bagi menyatakan rasa tidak puas hati berhubung keputusan PRU13 Ahad lepas.

Di sebalik pelbagai tuduhan seperti isu dakwat kekal, pengundi hantu, orang asing diguna sebagai pengundi dan bekalan elektrik terputus, Abdul Aziz berkata beliau yakin PRU13 berlangsung secara bersih serta teratur, dan SPR sama sekali tidak terbabit membantu mana-mana pihak memenangi pengundian.

“Saya ingin nyatakan bahawa pilihan raya yang diadakan adalah begitu saksama, yang menang bukan sebab ditolong SPR, dan yang kalah bukan kerana tidak dibantu SPR, yang menentukan kalah menang di Malaysia ialah pengundi berdaftar yang mengundi,” katanya.

Berdasarkan rekod, jumlah tertinggi petisyen berhubung keputusan PRU yang diterima SPR ialah pada 1999 iaitu 40 diikuti lebih 30 petisyen pada 2004.

Jumlah petisyen menurun kepada 26 pada 2008, walaupun ketika itu berlaku tsunami politik yang tidak berpihak kepada Barisan Nasional – Bernama

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE