Hassan Ali : Implikasi PRU 13

PRU ke 13 telahpun berakhir. Rakyat telah membuat pilihan. Sebahagian daripada keputusan yang diumumkan memang telah dijangka sementara sebahagian yang lain agak mengejutkan.

Mewakili JATI Malaysia saya mengucapkan tahniah kepada semua yang berjaya terutamanya Barisan Nasional yang telah mendapat mandat baru untuk membentuk kerajaan. Tahniah kepada calon-calon dan parti yang berjaya. Kepada mereka yang tewas saya yakin atas kematangan masing-masing mereka dapat menerima dengan hati yang terbuka. Tak perlulah mencari seribu satu alasan untuk meletakkan kesalahan kepada pihak yang lain sebaliknya terimalah keputusan dan kehendak rakyat.

Negara sudah mengalami 13 kali pilihanraya. Ertinya calon-calon dan parti-parti yang bertanding sama ada lama atau baru sudahpun melalui proses kematangan berpolitik. Di harap dengan kematangan tersebut wujudlah kebijaksanaan (wisdom). Dengan kebijaksanaan sahajalah negara tercinta ini dapat terus dipacu untuk menjadi sebuah Negara yang sejahtera, aman dan makmur. Nikmat keamanan telah dapat dirasakan oleh semua dan diharapkan ianya berpanjangan untuk diwariskan kepada generasi pengganti yang akan datang.

Ulasan awal daripada pimpinan dan para pemerhati politik menyebutkan bahawa berlaku anjakan atau ayunan yang besar di kalangan pengundi-pengundi Cina terutama di kawasan-kawasan bandar dan pinggir bandar. Jelas calon-calon DAP menjadi pilihan utama para pengundi keturunan Cina.

Sementara UMNO kelihatan diberi sokongan padu oleh masyarakat Melayu khususnya yang tinggal di perdesaan. PKR dan PAS kelihatan berjaya memenangi hati pengundi dalam rangkaian lokaliti yang agak bercampur-campur. Mereka berjaya menguasai Selangor secara mutlak dan mengurangkan majoriti penguasaan Barisan Nasional di beberapa negeri yang lain khususnya Perak, Terengganu dan Johor.

Kegagalan untuk memperolehi mandat dua pertiga di pihak Barisan Nasional harus dinilai dari sudut yang positif. Mungkin juga sudah sampai masanya bagi UMNO/Barisan Nasional untuk benar-benar bermuhasabah dan mencari serta mengenalpasti segala bentuk kelemahan untuk diperbaiki supaya benar-benar selari dengan kehendak dan aspirasi majoriti pengundi dan penyokong mereka.

Lebih daripada itu JATI melihat wujudnya beberapa trend yang tidak sihat yang boleh menggugat kestabilan proses keberlangsungan Negara. Sebagai pertubuhan NGO yang bertanggungjawab, JATI akan menggembeling dan mengumpulkan tenaga fikir dari dalam struktur JATI dan tenaga luar untuk melihat secara mendalam beberapa trend yang tidak sihat yang boleh mengancam kestabilan dan keharmonian Negara.

Diharapkan dalam masa terdekat satu laporan khas berserta beberapa perakuan akan dikemukakan kepada pihak yang berwajib. Mungkin deliberasi inisiatif JATI ini dapat dijadikan input kepada sebarang usaha untuk menangani gejala destruktif yang merugikan rakyat Negara ini.

Pada hemat saya jaluran kemenenagan BN khususnya di dalam PRU yang baru berlalu menggambarkan rakyat keturunan Melayu khasnya selesa dengan apa yang dipaparkan kepada mereka berkenaan isu-isu besar sepanjang kempen berjalan. Isu Islam, Bangsa Melayu, Institusi Raja dan keseluruhan lingkaran kehidupan Bangsa Melayu sebagai bangsa peribumi Negara ini dilihat telah dapat difahami dan dihayati oleh mereka. Berikutan dengan itu mereka memilih BN untuk kerusi parlimen dan kebanyakan kerusi Dewan Undangan Negeri.

Bagi JATI sekurang-kurangnya hasrat dan cita-cita JATI untuk melihat rakyat benar-benar memahami hakikat tonggak-tonggak negara tersebut diletakkan dalam kotak minda dan dipusatkan di hati nurani masing-masing supaya dapat diterjemahkan kepada realiti politik Negara ini bukan sahaja pada musim pilihanraya malah pada setiap pusingan masa.

Saya bersyukur kerana rakyat telah membuat satu keputusan yang bijak dan tepat dengan tidak membenarkan Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya. Ini bermakna rakyat terutamanya orang Melayu beragama Islam tidak rela melihat negara ini dihancurkan dengan agenda tidak sihat Pakatan Rakyat terutamanya berkaitan dengan campurtangan asing yang boleh mengancam aqidah umat.

Saya percaya penolakan rakyat ini juga berkait rapat dengan kerisauan mereka terhadap berbagai-bagai isu yang ditimbulkan yang sebahagiannya begitu asing kepada kerangka sosio budaya rakyat Negara ini. Ini termasuklah fahaman Pluralisme Agama, Islam Liberal, LBGT, Negara Sekular, corak pemerintahan republik dan sebagainya.

Pada masa yang sama, izinkan saya memanjangkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pakatan Rakyat di Selangor yang telah berjaya memperolehi majoriti dua pertiga di negeri itu. Amat jelas dihadapan kita bahawa rakyat Selangor yang rata-ratanya berpendidikan dan begitu terdedah dengan maklumat-maklumat semasa telah membuat pilihan berdasarkan kepada pertimbangan aqliyah mengikut keselesaan mereka untuk mengekalkan pemerintahan di negeri itu.

Seperti yang digembargemburkan selama ini bahawa terdapat tekanan untuk PAS bertindak menjadi parti peneraju di dalam Pakatan Rakyat. Dengan peluang dan ruang yang sudah berada di hadapan mereka, pimpinan PAS seharusnya menggunakan kesempatan yang ada bagi membuktikan bahawa PAS mempunyai kemampuan dan kesungguhan untuk bertindak sebagai peneraju utama dalam pemerintahan negeri.

Rakyat mengharapkan dengan kehadiran PAS yang semakin dominan di Selangor, maka falsafah perjuangan PAS dapat disalur dan diterapkan dalam pentadbiran negeri tersebut demi kebaikan untuk semua. PAS perlu membuktikan bahawa parti itu bukan lagi kuda tunggangan kepada mana-mana pihak untuk membawa mesej Islam dalam struktur pentadbiran negeri itu.

Seperkara lagi, daripada keputusan yang diumumkan setakat ini jelas kelihatan bahawa kehadiran PAS dalam Pakatan Rakyat hanya menguntungkan DAP dan bukan sebaliknya. Pengundi-pengundi Melayu atas nama kesetiakawanan Pakatan Rakyat memberi undi kepada DAP seperti di Gelang Patah tetapi di kebanyakan tempat di mana terdapat minoriti pengundi Cina keadaan ini tidak berlaku. Ini menyebabkan calon-calon PAS kecundang di kawasan-kawasan tersebut. Atas dasar ini bukankah munasabah untuk dilihat secara serius gabungan kerjasama antara PAS dengan UMNO sebagai salah satu langkah untuk menyekat kemaraan DAP yang dilihat semakin cauvinistik dan racis yang boleh menggugat keharmonian negara.

Gesaan sedemikian telah kerap diutarakan. Gambaran keputusan PRU ke 13 ini sepatutnya membuka ruang lebih luas untuk diadakan perbincangan serius terhadap kerjasama antara dua parti Islam Melayu ini. Sudah sampai masanya bagi UMNO dan PAS melupakan sengketa lama untuk secara serius duduk merancang dan memikirkan agenda umat secara bersama demi perpaduan dan kebaikan ummah sejagat.

Akhirnya, mewakili pimpinan dan ahli JATI sekali lagi saya mengucapkan selamat maju jaya kepada semua yang berkaitan. Inilah masanya untuk menterjemahkan amanah yang diletakkan ke pundak masing-masing untuk disempurnakan bagi mendapatkan redha Allah SWT.

DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI Malaysia
TTDI, Kuala Lumpur
6 MEI 2013

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE