Video Seks : Sikap Membisu Mustafa Timbul Tanda Tanya

AIDCNews – 22/04/13 – Tindakan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali yang terus membisu dalam isu video seks yang dikaitkan dengannya menimbulkan tanda tanya kerana tindakan itu bukan sahaja bertentangan dengan kaedah Islam tetapi menunjukkan seolah-olah beliau bersetuju dengan dakwaan tersebut.

Bekas aktivis Pas, Zainon Ismail atau lebih dikenali sebagai C.N Afghani dilaporkan Utusan Malaysia berkata, dalam menangani dakwaan berkait masalah moral yang menjejaskan kredibiliti, integriti dan maruah parti serta dirinya, Mustafa seharusnya menyahut cabaran melakukan sumpah laknat tersebut.

Tambahnya, selaku pemimpin utama parti yang mendakwa memperjuangkan Islam, beliau sepatutnya malu dengan keberanian Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengakui kesilapan diri (berhubung video seks) sebelum melepaskan jawatan walaupun Presiden MCA itu bukan beragama Islam.

Zainon turut menyelar kegagalan Majlis Syura Ulama Pas bertindak berhubung kes itu sambil menyifatkan sikap membisu tersebut mengesahkan tanggapan badan tertinggi parti berkenaan sekadar ‘syaitan bisu’.

Tambah beliau, lebih mengecewakan Majlis Syura Ulama Pas boleh bertindak tegas terhadap bekas pemimpin Pas seperti Datuk Dr. Hasan Ali dan Nasharuddin Mat Isa kerana mempertahankan Islam tetapi berdiam diri dalam kes video seks tersebut.

“Saya pelik mengapa Mustafa tidak kembali kepada kaedah Islam, sepatutnya beliau membela diri dan segera menafikan dengan hujah-hujah yang kukuh. Ini termasuk melakukan sumpah laknat. Membisu bererti beliau bersetuju dengan dakwaan video seks itu.

“Tapi yang paling mengecewakan saya reaksi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyalahkan parti lawan, begitu juga dengan Majlis Syura Ulama Pas kerana menjadi seperti syaitan bisu,” katanya

Dalam pada itu, Zainon mempersoal tindakan pucuk pimpinan Pas yang dilihat sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga dalam menghukum ahli parti sedangkan Islam mengajar semua pihak melaksanakan keadilan.

“Sedangkan sewaktu saya memperjuangkan isu penyelewengan Tabung Memali, saya dipecat. Mat Sabu (Mohamad) yang terpalit isu khalwat tiada tindakan, begitu juga dalam kes Mustafa hari ini. Apakah kerana mereka orang penting parti, maka boleh terlepas?” soalnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan Mustafa terus ‘mengunci mulut’ daripada memperkatakan isu video tersebut.

Sebaliknya, beliau mengulangi kenyataannya sebelum ini untuk menyerahkan kepada peguamnya, Asmuni Awi dan Hanifah Maidin melalui Tetuan Awi & Co. untuk tindakan lanjut berhubung rakaman video yang disebarkan sejak seminggu lalu itu.

“Itu saya serah kepada peguam. Tanya peguam, saya dah berjanji dengan peguam,” katanya.

Datuk Harun Taib Ketua Dewan Ulama Pas berkata, akan sampai masanya, Pas terpaksa membersihkan nama parti dan anggota dalam barisan kepimpinan daripada terus diselubungi isu persoalan moral itu.

“Ini untuk memastikan anggota kepimpinan tidak terlibat dalam sebarang skandal seumpama itu dan fitnah tidak tersebar merata, oleh itu parti, pemimpin dan semua orang perlu dilihat bersih.

“Dulu pernah terdapat pemimpin Pas yang dikaitkan dengan skandal digantung keahlian, namun setelah mahkamah membebaskan beliau, kita menerimanya semula sebagai ahli,” katanya kepada Utusan Malaysia

Menurut Harun, walaupun beliau mengharapkan isu itu tidak ditepis mudah dan perlu diselidiki, ini tidak bermakna beliau mempercayai apa yang disebarkan itu.

“Bukan saya percaya sebaran itu, tetapi Pas perlu bersihkan daripada angkara seumpama itu dan unsur-unsur negatif.

“Namun jika diragui berlaku dan boleh menjejaskan pandangan umum, maka perlulah dibuktikan beliau tidak bersalah dan apa yang disebarkan itu rekaan,” ujarnya.

Bekas Ketua Penerangan Pas Selangor, Hasan Basri Mohamad berkata jika tiada sebarang tindakan daripada Pas, imej parti itu akan rosak dan tidak mustahil parti tersebut akan ditimpa malapetaka kerana mempermainkan Islam.

“Antara tujuan Pas ditubuhkan berdasarkan Perlembagaan parti itu adalah untuk menjaga kesucian Islam berdasarkan al-Quran dan as-Sunah. Persoalannya mengapa kes ini tidak dirujuk berdasarkan al-Quran dan as-Sunah.

“Apa yang al-Quran perintahkan? Perintahnya ada dalam ayat 6 surah al-Hujurat iaitu jika datang satu berita hendaklah disiasat kebenarannya. Masalahnya kes yang melibatkan Mustafa ini langsung tidak disiasat,” katanya kepada Utusan Malaysia

Hasan Basri berkata, tuduhan yang dilemparkan kepada Mustafa itu amat berat dan sekiranya kes tersebut gagal ditangani kemungkinan juga Pas akan menerima hukuman daripada rakyat.

Dalam pada itu beliau mengimbau satu sejarah dalam Pas iaitu pada sekitar 1970-an seorang Ahli Parlimen Pas dari Perak, Hashim Gera telah menari dengan seorang wanita di lobi Parlimen.

“Jawatankuasa disiplin kemudian mengambil keputusan memecatnya kerana perbuatannya itu dilihat memalukan Pas dan tidak selari dengan kehendak Islam.

“Namun, dalam kes yang dikaitkan dengan Mustafa ini lebih teruk daripada itu. Hashim Gera hanya sekadar menari sahaja,” katanya lagi.

Menjawab satu soalan, beliau berkata, Lajnah Tatatertib serta Majlis Syura Ulama sepatutnya telah memulakan siasatan tanpa perlu menantikan Mustafa membuat laporan polis.

“Mereka perlu lebih proaktif. Mereka boleh memulakan siasatan untuk menentukan sama ada Mustafa terlibat atau tidak. Ini soal maruah sebuah parti Islam.

“Jawatan Setiausaha Agung merupakan satu jawatan yang amat penting dan jawatan ini juga melambangkan sesebuah organisasi ,” jelasnya.

Mustafa pula katanya, perlu membuat laporan polis sekiranya benar telah difitnah atau membuat sumpah laknat bagi membersihkan namanya.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE