PARADIGMA POLITIK BARU

Allahyarham Dr Muhammad Uthman El-Muhammady Cendekiawan Islam Hebat

Dr Mashitah Ibrahim – Allahyarham Dr Muhammad Uthman El-Muhammady memiliki aura hebat. Serban putih besar, jubah kelabu labuh serta rambut dan janggut berwarna oren adalah imej yang kita ingati.

Namun, beliau tidak memiliki atau guna handphone. Untuk temu janji atau berpesan, hanya dengan menelefon beliau di rumah.

Apabila beliau tidak hadir di mesyuarat Lembaga Mustasyar Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) pada 14 Mac lalu, pengerusi lembaga Tan Sri Prof Ulung Dr Kamal Hassan memberitahu Dr Uthman masih berehat kerana keletihan dan beliau mengambil alih sementara beberapa kelas yang diajar Dr Uthman di ISTAC, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Justeru, pemergiannya ke Rahmatullah pada Isnin lalu begitu mengejutkan.

Mereka berdua adalah tokoh agama dan pemikir Islam yang menyokong penubuhan YPPM pada Julai tahun lalu. Peranan mereka sebagai mustasyar, bersama dua bekas mufti dan seorang lagi tokoh agama, memberi kredibiliti dan integriti kepada yayasan yang dinaungi Perdana Menteri.

Justeru, pemergian Dr Uthman adalah satu kehilangan amat besar kepada YPPM, negara dan dunia Islam. Bagi pihak Lembaga Mustasyar, Lembaga Pengarah dan warga kerja YPPM, saya mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar ALLAH SWT menempatkan rohnya bersama roh orang-orang soleh. Al-Fatihah.

Sepanjang pembabitan beliau di YPPM, Dr Uthman banyak berkongsi idea, memberi pandangan bernas dan menurunkan ilmunya yang luas dalam bidang dakwah, perbandingan agama, sejarah, tamadun, pendidikan dan pemikiran Islam serta berkaitan institusi pondok.

Beliau telah muncul beberapa kali di TV Al Hijrah bagi pihak yayasan. Beliau cukup teruja dengan hasrat YPPM mengadakan ijtimak ulama pondok yang dicadangkan pada hujung tahun ini.

Bersandarkan pengetahuannya daripada karya-karya tokoh besar seperti Ibnu Khaldun, Iqbal, Imam al-Ghazali, Muhammad Natsir, al-Nadawi, Hamzah Fansuri dan Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjuri, Dr Uthman mengemukakan pendapat dengan bernas, jelas dan tertib setiap kali berjumpa atau bermesyuarat. Beliau tidak kedekut dengan ilmu.

Beliau juga boleh membaca, bertutur dan menulis dalam tiga bahasa. Kesabaran, adab dan akhlaknya terhadap ilmu pengetahuan amat tinggi. Keupayaannya menerangkan konsep yang kompleks dengan mudah dan jelas sangat mengagumkan. Ini mencerminkan sifat seorang ilmuwan hebat.

Sepanjang hayatnya selama 70 tahun, Dr Uthman sangat produktif dan prolifik kerana menghasilkan banyak buku agama dan akademik bermutu tinggi, ratusan kertas kerja dan artikel serta terjemahan al-Quran. Beliau seorang pendakwah dan speaker yang popular.

Walaupun beliau seorang yang tiada kecondongan politik, Dr Uthman amat kecewa dengan kenyataan, sikap dan perbuatan pemimpin parti yang menyalahgunakan nama Islam atau bertopengkan agama.

Pendirian beliau mengenai perbuatan mentakfir, salah tafsir konsep sekularisme, kebebasan mutlak, rasionalisme tanpa had, liberalisme, LGBT, ajaran sesat dan Syiah diketahui umum.

Dr Uthman mengetahui, memahami dan mempertahan nilai dan kehidupan Melayu-Islam Nusantara yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah. Beliau dengan tegas mempertahan institusi pondok dan mufti. Beliau juga melawan hujah orientalis Barat, termasuk falsafah agama John Hicks yang membawa aliran pluralisme.

Saya nampak beliau begitu teruja dengan isi kandungan ucapan Perdana Menteri semasa pelancaran YPPM pada 8 November 2012 yang mengupas isu-isu tersebut.

Telah ditakdirkan bahawa kehidupan seorang cendekiawan Islam hebat yang bermula dengan ayat pertama al-Quran ‘Iqra’ (‘Bacalah’), Dr Uthman di akhir hayatnya meninggal dalam keadaan tidur, setelah membaca buku dan menelaah ilmu.

Saya menyeru orang ramai, terutama pelajar universiti dan warga pondok, untuk mengkaji dan mempelajari kehebatan khazanah ilmu Allahyarham Dr Uthman, ulama dan ilmuwan tersohor ini. Antara karyanya boleh diperoleh di www.pondok1msia.org.my atau layar carian Google Traditional Islam.

5 Comments

  1. Ukhti Asrar says:

    Moga segala kebaikannya dibalas dengan nikmatMu.Al Fatihah.

  2. taufan says:

    Saya sangat menghormati beliau. Sangat hebat. Berjumpa sewaktu beliau memenuhi satu majlis undangan surau kami. Berilmu sangat tinggi dan sangat merendah diri. Al Fatihah.

  3. abg kacak says:

    Bagi aku, jasa terbesar Dr. Muhd. Uthman ialah mengajar kitab aqidah Fiqh Akhbar karya Imam Syafi’i kepada rakyat jelata. Ini sangat penting atas dua sebab. Pertama, Mazhab Syafi’i sudah dimasukkan kedalam perlembagaan Malaysia sebagai Mazhab resmi negara.

    Kedua, terdapat pelbagai percubaan daripada puak2 Salafy Wahhaby, yang cuba membelitkan fakta sebenar tentang aqidah Imam Syafi’i. Kononnya Imam Syafi’i bukan menggunakan kaedah tafwidh, dalam menerima nas2 tentang sifat2 Allah. Sebaliknya Imam Syafi’i mengatakan nas2 mutasyabihat itu sebagai muhkamat, perlu diambil makna zahirnya.

    Kita mencabar puak2 Salafy Wahhaby disini, kemana hilangnya segala tangan, mata, kaki, betis malah langit dan Arasy Allah, dalam surah al-Qashash 88 itu? Akhirnya puak2 Wahhaby terpaksa mentakwil sekaligus mengaku kafir, padahal mereka sendiri mengkafirkan para Ahlu Takwil, tentang nas2 mengenai sifat Allah. Jelaslah kaedah tafwidh Imam Syafi’i ternyata benar dan tepat, dalam kitab aqidah beliau, Fiqh Akhbar.

    Dan kita juga amat berterimakasih kepada Imam Abu Hanifah, kerana menulis kitab aqidah dengan judul yang sama, iaitu Fiqh Akhbar juga. Imam Abu Hanifah dalam kitabnya, menerima kedua2 kaidah tafwidh dan takwil, tentang nas2 mengenai sifat2 Allah, yang merupakan nas2 mutasyabihat.

    Sesungguhnya Dr. Muhd Uthman sangat besar jasanya kepada kita semua dalam mengajar umat Islam di Malaysia tentang kitab aqidah Fiqh Akhbar karya Imam Syafi’i ini.

  4. Anonymas says:

    Hujah-hujah dia melawan LGBT, pluralisma dsb memang padu dan kuat. Cara dia cakap pun sesuai dengan keadaan zaman sekarang yang moden. Dia pernah cerita yang ketika muda dulu dia digelakkan kerana cuba bercakap bahasa Inggeris, tengok-tengok bila dewasa dia dapat kuasai banyak bahasa. Semua kerana ilmu.

  5. chloe says:

    Innalilla wainna ilaihi rojiun. Saya suka dia bila beri pendapat begitu bernas dan direct to the point. Semoga Allah tempatkan beliau d syurga firdaus. Ameeenn

Leave a Comment

 

— required *

— required *