Sebab ISMA Tidak Boleh Bersama Pakatan

AIDCNews – 06/03/13 – Pengarah Penerangan Biro Politik ISMA, Ustaz Hj. Abdul Halim Abdullah berkata, ISMA tidak dapat bersama Pakatan Rakyat kerana jelas agenda yang dibawa oleh ISMA sangat bertentangan dengan agenda parti pembangkang itu.

“Agenda ISMA di dalam PRU-13 ini dan agendanya secara umum adalah untuk mempertahankan kedudukan agama Islam, hak-hak Melayu dan institusi raja.

“ISMA juga konsisten menyedarkan umat terhadap ancaman-ancaman seperti Kristianisasi, liberalisme, pluralisme, Syiah, LGBT dan pelbagai lagi sedangkan ini bukan agenda yang diperjuangkan oleh PR,” katanya kepada ismaweb.net

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Pemuda PAS Puchong, Mohd Roshrizan Mohd Rozlan baru-baru ini supaya ISMA bersama-sama dengan Pakatan yang di dalamnya ada PAS seandainya mahu membawa kesejahteraan ummah.

Halim memetik beberapa contoh tindakan Pakatan yang bertentangan dengan agenda ISMA seperti tetap berkeras untuk membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah, keputusan untuk melantik seorang Kristian memerintah negeri Sarawak, cadangan melantik orang bukan Islam sebagai Timbalan Perdana Menteri dan pelbagai lagi agenda lain.

Oleh itu katanya, sangat tidak wajar ISMA hendak menyertai Pakatan dalam keadaan agenda kedua-duanya yang jelas bertentangan.

Sementara itu, Ustaz Abdullah Zaik Abdul Rahman, Presiden ISMA pula turut membidas kenyataan Adun PKR Taman Medan, Haniza Talha sebagai dangkal apabila menuduh kemasukan NGO Islam itu bertanding dalam Pilihanraya Umum ke-13 sebagai kuda tunggangan Barisan Nasional.

“Ini merupakan strategi lama orang politik, adakah dia berfikir dengan mengaitkan Isma dengan Barisan Nasional dia telah berjaya membina perpsepsi negatif masyarakat terhadap Isma?

“Tuduhan itu adalah satu pembohongan orang politik yang mahu menutup kelemahan sendiri, ” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya lagi kenyataan ADUN PKR itu bertentangan dengan amalan demokrasi yang memberi hak dan peluang kepada setiap warganegara Malaysia.

“Kenyataan yang beliau keluarkan dilihat cuba menyempitkan penglibatan politik kepada persaingan antara dua parti sahaja. Ini menghalang mana-mana pihak untuk terlibat secara sihat dan mengambil hak rakyat Malaysia untuk terlibat dalam proses demokrasi.

“Sekiranya beliau tidak mahu sebarang perpecahan undi berlaku, lebih baik satu parti sahaja yang bertanding. Saya melihat sistem dua parti yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat tidak menguntungkan perjuangan agama, bangsa dan negara,” katanya lagi.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE