Mencari Sebab Kenapa PKR & DAP Bersungguh Mahu Kalimah Allah

AIDCNews – 20/02/13 – Ramai yang bertanya kenapa PKR dan DAP bersunguh-sungguh mahukan kalimah Allah dibenarkan kepada bukan Islam meskipun mendapat tentangan daripada rakan sekutunya sendiri, Pas.

Menurut analisis Lee Way Loon, wartawan Malaysiakini, ia ada kaitan dengan sentimen pilihanraya Sabah dan Sarawak, di mana Ketua PKR Sarawak, Baru Bian berkata keputusan kontra Majlis Syura Ulama Pas itu sebagai ‘retorik politik’ semata-mata.

Menyentuh tentang penolakan Pas, Pengarah Merdeka Centre, Ibrahim Suffian berkata ia berkemungkinan memberi sedikit kesan, namun semasa Pas bersetuju pada tahun 2010, Pakatan tetap tewas dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak pada tahun 2011 walaupun menggunakan isu kalimah Allah.

“Ia mungkin mempunyai beberapa kesan pada PKR dan DAP di Sabah dan Sarawak, tetapi pilihanraya negeri Sarawak yang lepas menunjukkan bahawa BN masih memenangi kebanyakan undi orang asli walaupun hakikat bahawa pembangkang telah menggunakan isu yang sama sebagai kempen menentang mereka,” katanya.

Pensyarah Sains Politik, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Faisal Syam Hazis, berpendapat Pas melakukan perubahan keputusan pada tahun 2013 semata-mata untuk menyelamatkan undi Melayu-Islam yang masih berpihak kepada partinya di Semenanjung.

Sabah

Jadual di bawah adalah tentang kedudukan jumlah calon dan jumlah kemenangan Pakatan dalam Pilihanraya Umum ke-12 (PRU 12).

Khusus untuk Sabah, Pas hanya meletakkan 2 calon di DUN dan tidak meletakkan sebarang calon di kerusi Parlimen, namun kedua-dua calon Pas itu tewas.

DAP meletakkan 5 calon di Parlimen dan 10 calon di DUN. DAP menang, satu kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN.

Manakala, PKR meletakkan 21 calon Parlimen dan 55 calon DUN, walaupun parti itu mendominasi dari segi pencalonan, namun gagal mendapat sebarang kerusi sama ada di Parlimen atau DUN.

Sarawak

Di kerusi Parlimen Sarawak, PKR mendominasi rakan-rakan pakatan lain dengan meletakkan calon 12 calon, diikuti dengan DAP, 7 calon dan Pas, 1 calon.

Namun, keputusannya, hanya 1 calon DAP yang menang, manakala calon PKR dan Pas kalah di semua kerusi yang dipertandingkan.

Dalam pilihanraya DUN Sarawak 2011 yang disifatkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘pertarungan hidup-mati‘ itu, PKR seperti di Sabah mendominasi dari segi pencalonan.

PKR meletakkan calon seramai 49 calon; DAP, 15 calon dan Pas, 5 calon.

Namun, keputusannya berbeza, DAP mendahului dengan kemenangan 12 kerusi, sebaliknya PKR hanya mampu menang 3 kerusi sahaja.

Manakala Pas seperti biasa gagal mendapat kemenangan di semua kerusi yang dipertandingkan.

Akibat kekalahan itu, Rafizi Ramli, Pengarah Strategi PKR mengeluh kerana terpaksa menanggung beban bersendirian tanpa dikongsi dengan rakan-rakan parti komponen lain.

“Saya berpendapat beban ini sepatutnya dikongsi bersama (dengan parti lain dalam Pakatan),” katanya ketika ditanya pemberita berhubung perkara itu.

Ketua PKR Sarawak, Baru Bian mengakui pihaknya sengaja meletakkan ramai calon sebagai satu strategi untuk berhadapan dengan BN.

“Kita tidak boleh beri kemenangan percuma kepada pihak lain. Jika ia berlaku, ini akan mematahkan moral kami. Ini adalah strategi kami,” katanya.

Namun, Baru mengakui bahawa strategi berkenaan amat tinggi kosnya kepada PKR kerana kempen di kawasan pendalaman memerlukan sumber yang intensif.

Menyentuh tentang Pilihanraya Umum ke-13, Pengarah Strategi PKR berkata pembahagian kerusi di antara rakan-rakan Pakatan hampir sama dengan formula PRU 12.

“Pada 2008, PKR bertanding 97 kerusi, Pas (66 kerusi) dan DAP (47 kerusi). Besar kemungkinan ia tidak banyak beza dengan PRU 2008.

“Saya dimaklumkan, rundingan (pembahagian kerusi) telah 90 peratus siap,” katanya kepada Sinar Harian.

Daripada jumlah pencalonan pada PRU 12, PKR memenangi 31 kerusi, diikuti dengan DAP, 28 kerusi dan Pas, 23 kerusi Parlimen.

Namun, selepas 16 September 2008, kedudukan kerusi PKR semakin merosot apabila 5 orang Ahli Parlimennya bertindak keluar parti menjadi Ahli Parlimen Bebas.

Ini menjadikan DAP menjadi parti pembangkang terkuat dengan 28 Ahli Parlimen dan PKR jatuh di tempat kedua dengan 26 kerusi, manakala Pas kekal dengan 23 kerusi parlimen.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE