ISMA Bertanding Atas Tiket BERJASA

Antarapos – Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), sebuah pertubuhan bukan kerajaan hari ini mengesahkan akan bertanding atas tiket Barisan Jamaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) nanti dengan menyenaraikan 11 kerusi sebagai sasarannya buat masa ini.

Presidennya Abdullah Zaik Abdul Rahman bagaimanapun menegaskan penglibatan ISMA pada pilihan raya kali ini adalah bertujuan mengangkat martabat perjuangan Islam secara tuntas, jelas dan terang sekali gus memperjuangkan kepentingan bangsa Melayu sejajar dengan peruntukan Perlembagaan Negara.

“ISMA telah mengambil keputusan untuk bekerjasama dengan Barisan Jamaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA).

“Calon-calon daripada ISMA akan bertanding pada pilihan raya ke 13 di atas tiket BERJASA,” katanya dalam satu kenyataan media.

Selain itu Abdullah Zaik berkata pihaknya juga akan mengemukakan pilihan calon-calon muslim yang berwibawa yang boleh membawa amanah dan kepercayaan perjuangan ummah yang kini menjadi antara isu yang kritikal dikalangan parti-parti politik di negara ini.

Katanya, ini adalah penting bagi memastikan perjuangan kepada kestabilan negara, perjuangan bangsa dan masa depan ummah terjamin dan berada di landasan yang betul.

“Masa depan Islam dan orang-orang Melayu selepas PRU13 dijangkakan akan terus berada di dalam keadaan tidak menentu.

“Calon-calon ISMA masuk bertanding untuk menang, dan berharap dapat memainkan peranan Kuasa Ketiga sebagai pendesak, penentu dan pengimbang kuasa yang paksi politiknya ialah nasib dan masa depan umat Melayu Islam di Malaysia tanpa mengambil kira blok politik mahupun sempadan kepartian,” ujarnya.

Sebelum itu pada sebelah pagi tadi, ISMA melancarkan jentera pilihan raya dan mengumumkan parti yang akan dijadikan platform untuk menurunkan calonnya iaitu BERJASA.

Akhir tahun lalu, ISMA mengumumkan penubuhan biro politik sebagai persiapan menyertai dengan aktif dalam PRU13.

Mengulas lanjut, Zaik berkata ISMA bercadang untuk bertanding di 20 buah kawasan Parlimen dan DUN.

Sehubungan itu, kepimpinan ISMA dan BERJASA akan mengeluarkan satu manifesto standard dalam waktu terdekat.

Daripada 11 kerusi itu, sembilan melibatkan peringkat parlimen dan baki adalah bahagian Dewan Undangan Negeri (Dun).

Dan pihaknya akan meletakkan calon di Subang, Puchong, Seremban, Tapah, Wangsa Maju, Segamat dan Gurun.

Kerusi-kerusi itu ditandingi oleh calon bukan dari Umno dan PAS lima tahun lalu.

Pada 8 Februari lalu, BERJASA berkata akan meletakkan calon di 150 kerusi pada PRU13 dengan tujuan mahu menambah suara orang Melayu di Parlimen dan Dun.

Pengarah Eksekutif Markas Pilihan Raya BERJASA, Datuk Hashim Abdul Karim berkata, dari 150 kerusi itu, 50 adalah bahagian Parlimen manakala baki 100 melibatkan peringkat Dun.

Menurutnya, BERJASA mengambil keputusan untuk kembali bertanding pada PRU13 demi memperkasakan kembali hak orang Melayu dan agama Islam.

Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun akan dipertandingkan pada PRU13.

Beliau juga berkata, langkah meletakkan calon kali ini bukan bertujuan memecahkan undi orang Melayu, sebaliknya mahu meramaikan wakil kaum itu di Parlimen.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE