Kalimah Allah : Anwar Bersilat…Hadi Tersepit

Agendadaily – Datuk Seri Anwar Ibrahim nampaknya terus beri tekanan kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu kalimah Allah.

Ketua Pembangkang itu terus ding dong bila ditanya pendiriannya sama ada beliau bersetuju dengan keputusan Majlis Syura Ulamak PAS bersabit larangan penggunaan kalimah Allah dalam kitab Bible versi bahasa Melayu.

Selain menuduh media ada kaitan dengan UMNO memutar belit kenyataannya berhubung isu itu, Anwar berkeras memegang perakuan 8 Januari oleh Hadi bahawa kalimah itu boleh digunakan oleh bukan Muslim asalkan ia tidak menghina Islam.

Anwar seolah-olah tidak menerima keputusan PAS mengubah pendirian itu apabila Majlis Syura parti itu melarang penggunaan kalimah Allah dalam kitab bukan Islam.

“Kalau ada isu selepas (keputusan) Majlis Syura itu, (ia) perlu dibawa dalam mesyuarat Pakatan…tapi Hadi tidak timbulkan perkara itu untuk bincang semula tentang keputusan kalimah Allah.

“Saya hormati keputusan Majlis Syura tetapi tetap dengan pendirian Pakatan,” katanya.

Di sinilah Hadi terbelit kerana pimpinan atau majlis Pakatan Rakyat belum bermesyuarat bagi membolehkan beliau menyatakan pendirian PAS sama ada kekal dengan perakuan 8 Januari atau dibuat Majlis Syura.

Melihat cara Anwar bersilat dalam isu ini, Hadi tentu tersepit apatah lagi kepimpinan tertinggi PAS termasuk Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga akur dengan pandangan majlis tersebut.

Hadi dilihat tidak ada ruang untuk bersilat macam Anwar kerana Ketua Dewan Ulama Datuk Harun Taib juga sudah menegaskan pendirian majlis syura lah dipegang ulama PAS.

Beliau sebaliknya menyerahkan kepada Hadi menyelesaikan isu itu dalam pakatan pembangkang.

“Saya tidak boleh komen, itu kena tanya Presiden PAS,” kata Harun.

Malangnya, Hadi masih membisu barangkali terpaksa menuggu Majlis Pimpinan PR bersidang.

Cuma yang menangguk di air keruh dalam isu ini adalah DAP.

Selepas Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng cetuskan api kontroversi mencadangkan kalimah Allah boleh digunakan dalam Bibble Bahasa Melayu, beliau berdiam diri setelah perkara itu bangkitkan kemarahan umat Islam.

Inilah dilema Hadi sama ada mahu menjaga kepentingan PAS dalam pakatan rakyat atau patuh keputusan majlis syura – badan tertinggi parti yang mendakwa memperjuangkan Islam itu.

Tidak mustahil juga, Hadi akan terus membisu sama seperti dalam isu Amanat Hadi.

Maklumlah, dengan pilihanraya umum ke 13 sudah hampir, Hadi tentu tidak mahu merosakkan perancangan PAS,PKR dan DAP untuk menawan Putrajaya.

Mungkin juga akhirnya Hadi sendiri terpaksa buat pendirian ‘politik suku-agama suku’ demi survival perjuangan pembangkang.

Jika ini berlaku, Hadi boleh mengucapkan selamat tinggal kepada PAS manakala jika Hadi pertahanan keputusan majlis syura dan merubah perakuan 8 Januari, mungkin PAS pula kena ucapkan selamat tinggal pada PKR dan DAP

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE