Anwar Dakwa Majlis Syura Pas Setuju Allah Dalam Bible ?

AIDCNews – 25/01/13 – Portal media, selangorku.com melaporkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini membuat dakwaan baru iaitu Majlis Syura Pas telah bersetuju bahawa kalimah Allah boleh digunakan dalam Bible tetapi dengan beberapa syarat tertentu.

Majlis Syura (Pas) juga memutuskan bahawa penggunaan itu dibenarkan namun melalui beberapa syarat yang diperincikan.

“Perkara tersebut tidak dibentangkan dalam mesyuarat bersama sebelum itu, namun jelas ia tetap berlandaskan kepada pendirian yang sama,” tegas Anwar dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini tengah hari tadi, lapor selangorku.com.

Dengan tajuk “Anwar : Parti Komponen PR Sehaluan Dalam Isu Kalimah Allah” portal Selangorku.com yang merupakan media rasmi kerajaan Selangor melaporkan Ketua Umum PKR hari ini bertegas bahawa tiada perbezaan pandangan dalam isu kalimah Allah di antara Pakatan Rakyat (PR) dengan parti komponen PAS.

Jelas Anwar, pendirian yang diumumkan PR adalah berdasarkan kepada keputusan yang dicapai bersama dalam Mesyuarat Pimpinan Pakatan Rakyat yang dihadiri Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ini merupakan kenyataan kedua Anwar menjawab isu Majlis Syura Pas selepas kenyataan pertamanya pada 23 Januari lalu.

Namun begitu, kenyataan Anwar yang mendakwa Majlis Syura Pas ‘membenarkan’ jauh tersasar daripada keputusan sebenar sayap tertinggi parti Pas yang bermesyuarat pada 13 Januari itu.

Dalam kenyataan media yang ditandatangani oleh Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat
dan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din parti itu menolak sama sekali kalimah Allah digunakan untuk menterjemahkan ‘God’ atau ‘Lord’ dalam Bible versi bahasa Melayu.

Berikut disertakan lampiran lengkap kenyataan media itu :

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Rabiul Awwal 1434 bersamaan 13/1/2013 mengambil keputusan sebulat suara bersetuju untuk menyatakan perkara-perkara berikut:

1) Allah adalah kalimah suci yang merujuk kepada Tuhan yang diimani oleh umat Islam, iaitu Allah Yang Esa, Tunggal, tidak beranak dan tidak diperanakkan.

2) Kalimah Allah adalah alami (universal) kerana Allah Tuhan sekalian alam. Siapa pun boleh menyebut kalimah Allah seperti mana orang Arab Jahiliyah yang tidak Islam menyebut Allah lah yang menjadikan alam ini.

3) Kalimah Allah adalah kalimah khusus yang Allah menamakan diri-Nya Allah. Kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar dari kalimah ini. Demikian juga tidak boleh kalimah asing hendak diterjemahkan kepada kalimah Allah.

Oleh kerana itu, menterjemah kalimah God atau Lord dari mana-mana kitab agama bukan Islam kepada perkataan Allah tidak dibolehkan kerana ianya salah dari segi makna dan salah guna, tidak menepati kehendak sebenar yang boleh membawa kekeliruan yang nyata. Oleh kerana itu ia hendaklah dicegah.

Kenyataan media ini adalah memperjelaskan maksud kenyataan Al Mursyidul Am, Presiden dan seluruh kepimpinan PAS.

Mesyuarat Majlis Syura Ulamak PAS ini juga telah membincangkan isu sedutan ucapan Tuan Guru Presiden yang diangkat martabatnya menjadi amanat dan memutuskan untuk mendesak kerajaan supaya membenarkan Tuan Guru Presiden memperjelaskan isu tersebut sekurang-kurangnya satu jam secara langsung menerusi TV1 dan TV3.

Tuan Guru Datuk Bentara Setia
Hj Nik Abdul Aziz Nik Mat
Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Tuan Guru Datuk Dr Haron Din
Timbalan Al-Mursyidul Am, Parti Islam Se-Malaysia

Pendirian Anwar Isu Allah Dalam Bible Sudah Dicanang Di Sarawak 2011

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE