Hasan Ali Hairan Kenapa Anwar Masih Berkeras Beri Kalimah Allah

AIDCNews – 24/01/13 – Presiden Jalur Tiga (Jati), Datuk Hasan Ali mempertikaikan sikap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang masih berkeras dan mempertahankan keputusan mesyuarat majlis Pimpinan PR 8 Januari membenarkan penggunaan kalimah Allah dalam Bible versi Bahasa Melayu.

Menurutnya, sikap Anwar itu bertentangan dengan keputusan Majlis Syura Pas yang bermesyuarat pada 13 Januari.

“Adakah ini pemimpin yang mahu dianggat sebagai ketua. Jika isu kalimah ALLAH pun tidak mampu ditangani dan diperjelaskan kepada rakan PR lain, inikan pula nak mentadbir negara.

“Adakah kita mahu memberi sokongan kepada pemimpin yang mengamalkan pluralisme agama dan LGBT (lesbian, biseksual, gay dan transeksual) untuk memerintah Malaysia,” katanya kepada media selepas menyertai forum sempena Maulidur Rasul di Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) di Bandar Perda, Bukit Mertajam.

Menurutnya, media luar sudah mengangkat Anwar sebagai “penghulu” untuk menjayakan agenda pluralisme dan LGBT di negara ini dan maklumat mengenainya sudah tersebar luas di merata tempat.

Sehubungan itu, rakyat negara ini perlu menolak fahaman ini dan pengamalnya agar akidah umat Islam tidak terus terpesong dengan amalan karut dan dimurkai Allah.

“Kita kena tentang habis-habisan dakyah jahat ini. Kita kena fikir nasib anak cucu kita pada masa akan datang. Jika kita lalai, maka masa depan mereka akan dipenuhi dengan gejala yang menyimpang jauh dari ajaran Islam,” katanya.

Hasan juga turut memuji pendirian Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Harun Din yang konsisten sejak dua tahun lalu hingga hari ini yang berpendapat menyokong penggunaan kalimah Allah untuk penganut agama lain atau menggantikannya dengan nama tuhan adalah satu perbuatan syirik.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE