Kalimah Allah : Puad Cabar Anwar Buat Pendirian

KUALA PILAH – Anggota Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi mencabar Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan pendiriannya terhadap pemimpin Pas yang tidak berganjak daripada keputusan Majlis Syura dalam isu penggunaan kalimah ALLAH dalam Bible bahasa Melayu walaupun bertentangan dengan pendirian pakatan pembangkang.

“Saya nak tanya, apa pendirian dia sekarang, nak berlakon lagi dengan menyatakan kami (pakatan pembangkang) ini bersatu padu, mantap dan sebagainya.

“Saya nak tanya dia, tolong jawab apa pendiriannya dengan keputusan terbaru pemimpin Pas iaitu bahawa mereka akan ikut (keputusan Majlis) Syura (Ulama).

“Jangan membohongi rakyat kerana rakyat nampak semua ini, rakyat nampak mereka ini berlakon dan jangan cari alasan lain dan sebagainya,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Beliau ditemui ketika melakukan lawatan kerja di Kolej Matrikulasi Negeri Sembilan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Abdul Samad, Tanjung Ipoh, dekat sini, hari ini.

Isu kalimah ALLAH ini dibangkitkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menggesa kerajaan membenarkan Bible bahasa Melayu menggunakan kalimah ALLAH, dan beberapa portal kemudian melaporkan pada 8 Januari bahawa majlis pimpinan pakatan pembangkang memutuskan kalimah ALLAH boleh digunakan penganut semua agama.

Bagaimanapun, Pas melalui mesyuarat Majlis Syura pada Ahad menukar keputusan dengan mengatakan kalimah ALLAH adalah khusus untuk agama Islam dan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bukan sahaja menukar pendirian, malah menyifatkan pengunaan nama Allah dalam Bible sebagai mengarut.

Mohd Puad yang juga Timbalan Menteri Pelajaran berkata, pemimpin Pas sepatutnya lebih awal membuat keputusan berhubung isu itu -Sinar Harian

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE