Hassan Ali : Kecelaruan Fikrah Pas Dalam Isu Kalimah Allah

Saya begitu terpanggil untuk memberi sedikit ulasan terhadap paparan beberapa portal yang menyentuh kenyataan Mat Sabu, Timbalan Presiden PAS mengenai kalimah Allah hari ini. Portal-portal berkenaan telah memetik kenyataan Mat Sabu bahawa PAS menyokong dan mengizinkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah.

Pandangan Mat Sabu tersebut dilihat sebagai pandangan rasmi Parti itu terhadap isu kalimah Allah. Pandangan PAS ini sekaligus merestui permintaan Lim Guan Eng dalam ucapan Sambutan Krismasnya baru-baru ini.

Seperti yang diketahui, hanya beberapa hari yang lalu pimpinan tertinggi PAS iaitu Setiausaha Agungnya Datuk Mustafa Ali, Ketua Penerangan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pesuruhjaya PAS Negeri Selangor Dr Rani Osman telah menjelaskan bahawa kalimah Allah hanya layak diguna oleh orang Islam sahaja. Bagi agama yang bukan Islam mereka seharusnya menggunakan “God” yang membawa makna tuhan. Pemakaian “god” untuk tuhan memang telah digunakan sejak awal tanpa menimbulkan apa-apa masalah.

Sebelum ini, waktu isu kalimah Allah hangat diperkatakan Timbalan Murshidul Am, Prof Datuk Harun Din telah membuat satu penegasan bahawa orang Islam yang mencadang dan menyokong penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat bukan Islam, mereka telah melakukan perbuatan syirik dan kufur. Ketua Dewan Ulamak PAS, Datuk Harun Taib juga dengan tegas melarang penganut bukan Islam menggunakan kalimah Allah kerana kalimah tersebut adalah hak mutlak orang Islam dan sama sekali tidak boleh digunakan untuk merujuk tuhan-tuhan yang lain selain daripada Allah Yang Maha Esa.

Sukar bagi kita menggambarkan bagaimana bercelarunya ahli dan penyokong PAS dan masyarakat Islam di negara ini. Tak cukup dengan kekeliruan Amanat Hadi Awang ditambah pula dengan kecamukan pandangan pimpinan tertinggi Parti tersebut dalam isu yang sangat besar yang melibatkan aqidah Umat Islam.

Jelas kepada kita bahawa pengaruh Anwarinas atau parasit begitu hebat. Apa sahaja permintaan DAP dan PKR seperti kalimah Allah diraikan sedemikian rupa. Sementara Presiden PAS yang setiap hari diasak untuk menarik balik Amanatnya pada tahun 1981 itu dibiarkan keseorangan. Sehingga kini tidak seorang pun pimpinan tertinggi PAS terutamanya kumpulan parasit yang tampil membela Presiden mereka.

Pimpinan tertinggi PAS yang dikuasai golongan parasit dilihat sentiasa bersedia memberi laluan kepada apa sahaja tuntutan DAP dan PKR termasuk perkara-perkara yang melibatkan aqidah. Tidak syak lagi pendekatan akomodatif parasit-parasit itu bermotifkan politik demi meraih keuntungan politik.

Ahli dan penyokong PAS mungkin sudah lama menyedari hakikat bahawa penguasaan parasit dalam PAS telah membawa satu budaya baru dalam parti itu. Kini penghormatan yang selama ini diberi kepada golongan ulama dalam parti itu sudah dicemari. Kesan budaya baru ini kepada keutuhan parti amat besar lantaran seperti yang diketahui, PAS masih mengekalkan slogan Kepimpinan Ulamanya.

YB DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI
TTDI, KL
4 JANUARI 2012

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE