Islam Terus Dicabar Jika PAS Kekal Kerjasama DAP

Antarapos - PAS sekali lagi digesa untuk menilai semula kerjasama politiknya dengan DAP yang tidak henti-henti melakukan provokasi terhadap umat Islam.

Terkini apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, menggesa kerajaan membenarkan masyarakat Kristian menggunakan kalimah Allah berlandaskan prinsip kebenaran, kebebasan, keadilan, demokrasi serta integriti.

Reaksi keras yang ditunjukkan beberapa pemimpin PAS susulan gesaan Guan Eng itu bagaimanapun disifatkan Presiden Pertubuhan Muafakat Sejahtera Malaysia (Muafakat), Ismail Mina Ahmad, sebagai tidak memadai.

Katanya, ini kerana tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang itu nyata bertentangan dengan asas perjuangan PAS yang memperjuangkan kedaulatan Islam di negara ini.

“Oleh kerana isu kalimah Allah ini mulanya diputuskan oleh pemimpin tertinggi DAP, dan dalam masa yang sama ada reaksi yang keras terutamanya daripada Ketua Dewan Ulama PAS yang mengatakan penggunaan kalimah Allah adalah hak eksklusif umat Islam, maka saya mengharapkan sangat supaya PAS menilai semula kerjasama politik mereka dengan DAP kerana ternyata DAP berterusan memberi provokasi tidak henti-henti kepada umat Islam.

“Ini bertentangan dengan perjuangan PAS yang mahu mendaulatkan Islam dalam masyarakat Islam di negara kita,” katanya kepada Antarapos.

Guan Eng baru-baru ini di dalam perutusan khasnya sempena Krismas telah menggesa kerajaan pusat diterajui Barisan Nasional (BN) supaya membenarkan penggunaan kalimah Allah di dalam Kitab Bible versi bahasa Melayu untuk penganut agama Kristian di Semenanjung.

Mengulas lanjut, Ismail menegaskan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan sudah jelas dinyatakan di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Justeru katanya, sebarang perkara yang berkaitan dengan ajaran Islam adalah hak eksklusif kepada penganut-penganutnya sahaja.

“Perlembagaan Malaysia jelas menerangkan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan yang mempunyai implikasi yang cukup jelas bahawa semua urusan yang berkaitan dengan ajaran Islam adalah hak mutlak penganut Islam semata-mata,” jelas beliau.

Untuk itu, beliau menyeru rakyat negara ini yang bukan beragama Islam supaya tidak mudah terpengaruh dengan cubaan pihak luar yang mahu merosakkan keharmonian masyarakat pelbagai agama yang telah lama wujud.

“Saya ingin mengingatkan kepada orang-orang bukan Islam yang menjadi warganegara Malaysia, memahami benar-benar Perlembagaan Malaysia supaya mereka jangan terikut-ikut dengan rentak ‘tangan-tangan’ di luar daripada Malaysia yang mahu mewujudkan huru-hara dan ketidakstabilan masyarakat Malaysia yang selama ini cukup harmoni,” gesanya.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE