DHPP Nafi PAS Tolak Anwar Jadi PM

AIDCNews – 24/11/12 – Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) seperti dilaporkan Antarapos menafikan parti itu menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri ke tujuh sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan Putrjaya dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 13 akan datang.

Sebaliknya, menurut Ketua DHPP, Hu Pang Chaw cadangan dikemukakan oleh perwakilan Dewan Ulama, Hairun Nizam dalam Muktamar Tahunan PAS ke 58 baru-baru ini hanyalah sekadar usul bagi menghargai kepimpinan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menurutnya, sehingga ke hari ini, PAS masih lagi berpegang teguh pada kesepakatan yang dicapai bersama iaitu menobatkan Ketua Umum PKR itu sebagai Perdana Menteri.

“Muktamar merupakan perwakilan diberi kuasa menyuarakan sesuatu. Usul itu hanya daripada mereka.. tetapi bukan daripada PAS sendiri. PAS masih berpegang teguh persefahaman yang dicapai dalam Pakatan Rakyat, bahawa Datuk Seri Anwar adalah calon yang terbaik untuk memegang jawatan Perdana Menteri.”

Tambahnya, PAS sedar bahawa parti itu perlu memenangi kerusi Parlimen terbanyak demi menuntut jawatan itu.

“Usul yang dibawa dewan ulama tidak menjejaskan hubungan antara 3 parti ini. sehingga hari DAP PAS, PKR masih duduk (bersepakat) sama.

“Kita kena balik pada hakikat real world (dunia sebenar) dalam politik di mana kerusi paling banyak berhak menyuarakan sesuatu. Walaupun mereka berhak menyuara, itu tidak bermakna mereka berhak menuntut.. Dalam Pakatan Rakyat, tiga parti ini mempunyai suara dan hak yang sama rata,” ujarnya.

Beliau mengulas ketegasan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mahukan Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri susulan desakan lantang dalam Muktamar PAS, mahukan Hadi mengisi jawatan itu.

Guan Eng Ahad lalu menegaskan partinya tidak boleh menerima Hadi sebagai Perdana Menteri kerana itu bukan persetujuan yang dicapai oleh pimpinan PR.

Penegasan DHPP senada dengan PKR, di mana Setiausaha Agung parti itu, Datuk Saifuddin Nasution Ismail mendakwa sejak dari awal kelahiran PKR iaitu pada tahun 1999, PAS dan DAP sudah bersetuju menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Ianya sudah pun bermula (sejak) parti keadilan lahir. Kedudukan Datuk Seri Anwar itu pernah diputuskan pada waktu PAS, PKR, DAP dan Parti Rakyat (PRSM) bergabung di bawah pakatan politik, iaitu barisan alternatif. Sudah pun ada ketetapan pada waktu itu diperingkat kepimpinan PAS sendiri, (untuk) meletakkan Datuk Seri Anwar sebagai calon PM,”katanya kepada Antarapos.

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE