PPMM Sokong Malaysia Tolak Hak LGBT Deklarasi ASEAN

Azril Mohd Amin - Pada 19 November 2012, beberapa media perdana tempatan telah melaporkan tentang perisytiharan Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN yang telah disepakati dan ditandatangani seluruh kepimpinan Negara-negara ASEAN.

Sangat menarik khususnya apabila media turut melaporkan pendirian pucuk kepimpinan Malaysia yang menolak perkara mengenai hak Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) di dalam Deklarasi tersebut.

Pendirian Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak tersebut sangat jelas dan mencerminkan semangat dan inspirasi deklarasi itu sendiri. Prinsip utama yang mendasari usaha-usaha ASEAN untuk menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia ialah keberanian menentukan acuan rantau ini diiktiraf dan dijadikan panduan di dalam mendepani instrumen-instrumen serta undang-undang hak asasi manusia, dengan mengambil kira realiti budaya tempatan, agama serta sejarah dan kedaulatan undang-undang yang membentuk ciri-ciri kepelbagaian Negara-negara anggota.

Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) ingin mengalu-alukan penegasan sikap yang rasional tersebut, dan mengulangi kritikan serta penentangan kami terhadap sebarang usaha untuk memperjuangkan hak asasi manusia berdasarkan ketaasuban ideologi hak asasi manusia berteraskan acuan sekular semata-mata.

Khususnya di dalam konteks Malaysia, wujud semakin banyak pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) Hak Asasi Manusia yang kononnya mendakwa memperjuangkan nilai-nilai universal, tetapi pada hakikatnya menjadi boneka bagi musuh-musuh yang anti-kehidupan beragama dan bertekad menghapuskan budaya serta nilai-nilai setempat dan menangani permasalahan berkaitan isu-isu hak asasi manusia.

Yang lebih merunsingkan ialah NGO-NGO yang menggunakan label Islam sebagai nama pertubuhan masing-masing, tetapi hidup dengan roh dan pemikiran liberal-sekular di dalam niat dan pendekatan mereka, serta segelintir NGO-NGO Islam yang cenderung serta menyokong insiaitif-inisiatif untuk mencapai hak asasi manusia dan kebebasan mutlak dan tanpa batasan tanpa memikirkan implikasi dan kesan terhadap aqidah dan kemaslahatan umat Islam secara keseluruhannya.

PPMM seterusnya menganjurkan pelbagai pihak, sama ada kerajaan mahupun pertubuhan-pertubuhan Islam yang memahami benturan isu LGBT ini terhadap kesejahteraan dan kelangsungan tamadun manusia, untuk meneruskan usaha strategik dan konsisten bagi menghalang ideologi dan budaya berteraskan LGBT ini dari terus menular di kalangan masyarakat Malaysia khususnya, dan masyarakat dunia amnya.

Saban tahun, Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) akan menjalankan sessi “Universal Periodic Review“, dan tahun 2013 merupakan giliran Malaysia dinilai berkenaan status dan komitmen Hak Asasi Manusia.

Antara isu yang bakal ditimbulkan termasuklah komitmen Malaysia terhadap jaminan kebebasan beragama (freedom of religion) dan hak-hak LGBT.

PPMM member peringatan bahawa wujud usaha berterusan dan terselindung di kalangan NGO-NGO anti-Islam dan anti-fitrah untuk melobi agar tekanan dikenakan terhadap Malaysia supaya tunduk dan patuh pada ideologi serta kesongsangan prinsip-prinsip hak asasi manusia yang mutlak dan tanpa batas.

Harapan jangka panjang NGO-NGO tersebut adalah agar Malaysia menghapuskan undang-undang anti-liwat serta mewujudkan ruang legislatif serta suasana kondusif yang membenarkan perkahwinan sejenis yang kini semakin menular di kalangan masyarakat sekular Barat.

Sesungguhnya Malaysia perlu konsisten dalam pendiriannya yang telahpun dinyatakan bersama-sama dengan Kumpulan OIC bagi Hak Asasi Manusia melalui surat bertarikh 14 Februari 2012 yang menggambarkan kegusaran yang mendalam terhadap usaha-usaha berterusan untuk mengiktiraf secara terbuka hak-hak yang berlawanaan dengan keadaaan dan sifat fitrah semulajadi manusia.

Hal ini demikan oleh kerana Negara-negara Islam sedar bahawa tuntutan terhadap hak-hak sedemikian melampaui garis normal kemanusiaan yang akhirnya akan membawa pada kebinasaan tamadun manusia. Amaran Qur’ani yang sangat jelas seperti pembalasan yang dikenakan terhadap kaum Nabi Luth (a.s) yang mengingkari panduan hubungan manusia secara sejahtera menjadi peringatan yang tetap relevan hingga ke akhir zaman.

Melalui Kumpulan Negara-negara OIC bagi Hak Asasi Manusia, Malaysia telahpun menyatakan undian bantahan terhadap Resolusi 17/19 berkenaan hak-hak LGBT. Malaysia sendiri menghadapi arus kempen yang kuat di dalam Negara yang menunjukkan bibit-bibit sokongan terhadap hak-hak LGBT ini telahpun dipengaruhi Prinsip-prinsip Yogyakarta.

Dengan penegasan YAB Perdana Menteri yang sejajar dengan prinsip bahawa sebarang usaha ASEAN untuk menggalakkan dan melindungi hak asasi manusia mengikut acuan rantau ini perlu mengambil kira realiti dan ciri-ciri kepelbagaian di peringkat negara dan serantau, maka pendirian Malaysia semasa menjalani “Universal Periodic Review” kelak perlulah menyerlahkan sikap yang kukuh dan konsisten dalam berdepan serangan pemikiran liberal-sekular yang ingin memberikan kebebasan tanpa batas dalam kedua-dua isu kebebasan beragama dan LGBT.

Hal ini bukan sahaja yang menyerlahkan kepimpinan Malaysia yang berwibawa di kalangan Negara-negara ASEAN dan OIC, tetapi memberikan panduan yang dapat dicontohi masyarakat dunia yang masih mempercayai peranan agama dan nilai-nilai baik di dalam membentuk kesejahteraan tamadun manusia.

AZRIL MOHD AMIN ialah Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)

One Response to “PPMM Sokong Malaysia Tolak Hak LGBT Deklarasi ASEAN”

  1. Anwar Ibrahim

    Nov 20. 2012

    Ini ternyata suatu konspirasi untuk menjatuhkan aku sebagai PM pemimpin ulung dunia. Mereka hasad dengan kemampuan aku yang berkelayakan lulusan ijazah am Pengajian Melayu. Tapi sekurang-kurangnya aku boleh beri ucapan bahasa tinggi tahap Shakespeare super duper sampai ke World Bank dan IMF pun aku dah kuasai. Nantilah aku jadi PM selesai semua masalah LGBT ni. Tunggulah aku jadi PM selesai semua masalah.

    Reply to this comment

Leave a Reply

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE