Ideologi Sekularisme & Liberalisme Penghalang Perpaduan Umat Melayu

Wan Noorhafizah binti Wan Ismail – Perpaduan adalah asas pembentukan kelompok permuafakatan, persepaduan dan penggabungan yang wujud daripada jaringan yang kuat dan kukuh sesama bangsa. Kewujudan perpaduan menjadi keutamaan dalam membentuk sebuah negara yang aman dan harmoni. Islam menekankan kepentingan menyeru kebaikan sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:

“Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berda’wah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji)………” (Surah ‘Ali Imran: 3:104)

Malaysia sebuah negara yang bukan sahaja pernah dijajah secara fizikal sebelum merdeka, tetapi turut dijajah oleh pemikiran barat. Pada era globalisasi penjajahan ini semakin berleluasa sehingga berjaya mengelirukan corak pemikiran orang Melayu. Pelbagai strategi diatur dengan cara yang tersembunyi tanpa disedari untuk melemahkan jiwa umat Islam. Tujuannya adalah untuk mengubah pendirian dan hala tuju pemikiran umat Islam.

Umat Islam sebagai sebagai umat yang berpegang pada agama yang mendapat tempat di sisi Allah S.W.T sewajarnya peka pada keadaan dan perkembangan semasa serta sentiasa berwaspada pada segala tindak tanduk pergerakan musuh-musuh Islam khususnya berkaitan dengan pengaruh ideologi mereka.

Impak daripada penjajahan pemikiran telah membawa pada permusuhan dan perpecahan yang merupakan perbuatan yang sangat dibenci oleh Islam. Perpecahan ini dikutuk kerana boleh melemahkan perpaduan umat dalam pelbagai aspek serta menjadikan mereka tidak mampu menghadapi cabaran yang sedia ada.

Akibat buruk yang disebabkan oleh perpecahan atau perbalahan menyebabkan keharmonian tidak dipelihara dan dijaga sebagaimana seruan dalam Al-Quran, iaitu:

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai……….” (Surah ‘Ali Imran: 3:103)

Terdapat pelbagai bentuk penjajahan pemikiran yang boleh mengundang pada kemusnahan perpaduan umat Melayu. Persoalannya, adakah kita mampu untuk mengatasinya? Cabaran ini perlu kita hadapi dan atasi dengan cara mengubah corak pendirian individu ke arah yang lebih positif. Ini adalah kerana perpaduan umat Islam di Malaysia pada masa kini merupakan agenda utama yang perlu diberikan perhatian sewajarnya.

Natijah daripada penularan kemasukan penjajahan pemikiran itu boleh menyebabkan masyarakat semakin keliru dan mudah terpedaya pada pembawakan pemikiran barat khususnya yang menyesatkan. Contohnya adalah melalui pemikiran sekularisme, iaitu fahaman yang memisahkan antara agama dengan keseluruhan kegiatan hidup bermasyarakat dan bernegara. Akibat daripada fahaman ini boleh mengundang pada kelemahan keimanan dan menggoyangkan aqidah umat Islam sehingga boleh menggugat perpaduan antara umat Islam itu sendiri.

Terdapat pemikiran yang menjurus pada kebebasan dan keterbukaan masyarakat dalam menerima apa sahaja fahaman tanpa had dan batasan yang dikenali sebagai pemikiran liberalisme. Ekoran daripada penularan tersebut, banyak ideologi telah menyimpang dari landasan yang sebenar menyebabkan umat Islam terpengaruh. Akibatnya, pemikiran mereka diracuni sekaligus membuat pendirian yang bertentangan dengan syariat dan prinsip Islam.

Selain itu, pemikiran kolonialisme juga merupakan salah satu ideologi pemikiran yang menafikan identiti dan budaya hidup masyarakat. Kesan daripada fahaman ini, mereka mudah dipengaruhi terutamanya segi penerimaan terhadap sesuatu pegangan di mana mereka hanya menerima tanpa berfikir akan akibatnya. Pada masa yang sama disebabkan tiada pendirian yang teguh, jati diri yang lemah serta daya fikir yang sempit dan terkongkong menyebabkan mereka mudah diperkotak- katikkan oleh pihak tertentu.

Berdasarkan pada beberapa contoh pemikiran di atas, jelaslah bahawa disebabkan kewujudan pelbagai bentuk aliran pemikiran menyebabkan perpaduan antara sesama umat menjadi semakin lemah. Untuk menjaga perpaduan, Islam melarang dari membiarkan perselisihan pendapat, pandangan atau sebagainya disebabkan pemikiran berbeza. Untuk mengatasinya, pendekatan yang berhikmah dan boleh diterima pakai oleh semua lapisan masyarakat perlu diambil bertujuan untuk mengelakkan jurang pemikiran tersebut.

Di samping itu, keyakinan diri dan semangat jati diri yang kental hendaklah dijadikan asas pada kekuatan dalam menangkis masalah keruntuhan perpaduan. Dengan adanya kekuatan tersebut maka dapatlah memurnikan dan membersihkan hati dan pemikiran daripada lumut-lumut dan selaput-selaput penjajahan pemikiran yang bercanggah yang masih membelenggu kehidupan umat masa ini.

Fikirlah ke hadapan dan renung sejenak apa yang akan berlaku sekiranya perpaduan kita musnah dan bertindaklah dengan segera demi memperjuangkan bangsa dan agama Islam itu sendiri.

Yakinlah bahawa Allah S.W.T tidak menyuruh umatnya melakukan perkara yang bertentangan dengan syariatNya. Manusia perlu berusaha berfikir untuk kebaikan dirinya dan masyarakat sekeliling dalam menerima sebarang bentuk pemikiran. Tujuannya adalah untuk menyelamatkan manusia daripada kebinasaan dan kehancuran sekiranya perpaduan yang telah wujud sekian lamanya tidak dipelihara dan dipertahankan.

Perpaduan boleh diumpamakan seperti seikat penyapu lidi. Satu bilah atau dua bilah penyapu lidi adalah mudah untuk dipatahkan-patahkan. Tetapi beratus-ratus bilah penyapu lidi yang dihimpun dalam satu ikatan sudah tentu tidak mudah untuk dipatah-patahkan. Perumpamaan ini mencerminkan kekuatan ikatan perpaduan di kalangan masyarakat. Perpaduan akan kekal terjamin sekiranya mereka tidak terlalu ta’sub atau cenderung pada pemikiran mana-mana pihak atau individu tertentu sebaliknya matlamat akhir adalah untuk mendapat rahmat dan keredhaan Allah S.W.T.

Kesimpulannya, Islam memandang berat terhadap penjajahan pemikiran-pemikiran yang cuba merosakkan persepaduan umat Islam. Ini penting kerana ia memberi kesan yang mendalam terhadap pemikiran umat Islam secara keseluruhannya. Bersatu-padulah demi untuk menyelamatkan perpaduan di kalangan umat di samping memartabatkan kedudukan agama Islam. Islam melarang umatNya berpecah-belah sebaliknya menyeru supaya semua ahli masyarakat bersatu padu bagi memastikan perpaduan umat Melayu terus kukuh dan dapat menjamin kesejahteraan serta kemakmuran negara.

“Dan taatlah kamu kepada Allah dan RasulNya, dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan sabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati); sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang sabar.”(Surah Al-Anfal; 8:46)

5 Responses to “Ideologi Sekularisme & Liberalisme Penghalang Perpaduan Umat Melayu”

  1. HAMSOR

    Nov 21. 2012

    melabelkan sesuatu aliran tu sebagai sesat adalah lebih sesat sebenarnya…

    Reply to this comment
  2. Wafi

    Nov 20. 2012

    Kalaulah ditakdirkan islam turun di nusantara bukan di tanah arab, selepas wafatnya Rasul-Nya … sah-sah golongan PAS akan memulakan ajaran sesat Syiah seperti berlaku di Iran sekarang. Sesuai dengan orang yang bajet dia bagus dan berkat serta dekat dengan Allah. Sesat-sesat takut nya…

    Reply to this comment
  3. al-Madani

    Nov 20. 2012

    umngok penganut tegar sekularisme

    Reply to this comment
    • al-Bunya

      Nov 21. 2012

      ahahahahahahahaha…..itu je? tak membina langsung… eh jap… ada gak yang membina…. pandai buat lawak….. umngok?? hahahahahahahahahah

      Reply to this comment
    • azre

      Nov 21. 2012

      better than islamic munafique

      Reply to this comment

Leave a Reply

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE