Mengapa PAS Tidak Mahu Anwar Jadi PM ?

Abdul Rahman Malik – Bukan isu. Siapa bakal jadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat (PR) berjaya menawan Putrajaya sudah terjawab; sekurang-kurangnya bagi PAS. Kini PR sudah ada dua calon untuk jawatan itu, bukan seorang sahaja seperti sebelum muktamar PAS ke-58.

Calon pertama ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau pilihan majlis perundingan Pakatan Rakyat. Seorang lagi calon kini ialah Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang.

Bagi PAS formula muktamad memilih Perdana Menteri bergantung kepada parti mana yang memenangi kerusi parlimen terbanyak. Hanya parti berkenaan yang berhak mencalonkan pemimpinnya untuk jawatan itu.

PAS mensasarkan akan menang sekurang-kurangnya 60 kerusi parlimen. Jika sasaran itu tercapai, PAS mahu Hadi jadi perdana menteri dan sekaligus menolak ketetapan awal Pakatan Rakyat bahawa Anwar tetap akan menjadi perdana menteri, biar apapun keputusan pilihanraya (asalkan Pakatan Rakyat menang).

Usul Dewan Ulama PAS dalam Muktamar PAS ke-58 menetapkan parti itu tidak mahu bergantung pada ihsan pihak lain, terutama DAP dan PKR untuk mengenengahkan Haji Hadi menjadi perdana menteri.

Sebab itu Dewan berkenaan mengisytiharkan bahawa Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang adalah calon terbaik untuk melaksanakan pemerintahan menurut syariat Islam jika Pakatan Rakyat menawan Putrajaya.

Ketetapan itu diambil walaupun Penasihat DAP, Lim Kit Siang, dengan berani dan galaknya di hadapan perhimpunan ribuan penyokong Pakatan Rakyat di Kota Baru sempena muktamar PAS ke-58 (termasuk Anwar Ibrahim sendiri) bahawa calon Perdana Menteri adalah Ketua Umum PKR itu.

Memang perkara ini boleh ditelah dari awal lagi. Inisiatif ini pada permukaannya agak menggemparkan kerana ia kelihatan seolah-olah PAS mahu membelakangi kerjasama dan persefahaman yang dicapai di kalangan pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini.

Namun PAS yakin DAP dan PKR akan faham mengapa ia bertindak demikian. Ia cuma bermaksud untuk membakar semangat perwakilannya supaya bekerja keras untuk “menguburkan” Umno dalam pilihanraya umum ke-13 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

Sebab itu, reaksi calon tunggal bagi kerusi perdana menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agak selamba. Itu semua boleh dirundingi. Tiada apa yang berubah. Parti mana dari Pakatan Rakyat yang menguasai kerusi parlimen terbanyak berhak mencalonkan pemimpinnya untuk kerusi itu.

Malah sebagai reaksi rasminya, PKR tidak berkecil hati dengan suara-suara yang makin lantang dalam PAS, mahukan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bukan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

“Tidak.. tidak timbul soal kecil hati, prejudis atau prasangka. Itu menunjukkan tahap kefahaman dan menghormati pandangan sesuatu parti. Inilah keunikan Pakatan,” kata Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail.

Apa lagi yang boleh dikatakan oleh Saifuddin selain cuba memberi reaksi positif terhadap perkembangan terbaru itu. Di peringkat ini tidak bijaksana untuk mencetuskan polemik baru di kalangan kerabat Pakatan Rakyat.

Mungkin Saifuddin dapat membaca apa yang tersirat. Peralihan selera politik Dewan Ulama PAS ini adalah satu lagi ikhtiar untuk meyakinkan ahli PAS bahawa ia tetap mahu memperjuangkan hegemoni Islam di Negara ini.

Ia mungkin merupakan satu “bisikan” kepada ahli-ahli PAS bahawa pihak pimpinan tetap tidak mahu meninggalkan isu akidah yang dikeruhkan oleh Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berhubung memberi kebebasan kepada orang Melayu-Islam memilih agama masing-masing, selain Islam.

Sebab itu Dewan Ulama “beralas cakap” bahawa untuk menerajui sebuah Negara (berkebajikan) yang berlandaskan syariat, ilmu dan ketokohan Haji Hadi menjadikannya calon terbaik untuk menjadi perdana menteri!

Ini dituruti dengan kenyataan media Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Harun Din yang menegaskan bahawa perjuangan PAS tidak berubah dari dahulu hingga sekarang; dan selamanya.

Lantas cadangan supaya Hadi menjadi calon perdana menteri haruslah dibaca sebagai satu ikhtiar PAS (terutama Dewan Ulama) untuk membuat penegasan konsep kepemimpinan ulama masih berlaku dan menjadi amalan dalam parti itu.

Ini sekaligus menafikan gerakan dan serangan dari dalam dan luar PAS bahawa parti itu sudah dipengaruhi oleh pengikut dan pengkagum Anwar Ibrahim yang dipanggil Anwarinas. Ini cara ulama menyatakan kenyataan orang seperti bekas Naib Presiden, Datuk Hasan Ali bahawa PAS kini dikuasai oleh parasit politik dan Anwarinas tidak benar.

Apapun kepentingan Dewan Ulama bertindak demikian, ia kini membuka satu lagi kotak tanda tanya di kalangan parti kerabat Pakatan Rakyat, apakah PAS sebenarnya jujur dalam kerjasama politik ini?

Adakah ini membayangkan jauh di lubuk hati politik PAS bahawa Anwar memang tidak layak menjadi perdana menteri kerana “masalah moral”?

Atau, apakah ini membayangkan bahawa PAS sedar bahawa soal akidah umat Islam Malaysia sukar dipertahankan jika Anwar dengan sikap liberalnya (seperti yang ditunjukkan dalam kes anaknya Nurul Izzah) diizinkan secara automatik menjadi perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat menang PRU ke-13?

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE