Hu Pang Chaw : Pencalonan Hadi Sebagai PM Bukan Pendirian PAS

KOTA BHARU- Dewan Himpunan Penyokong Pas (DHPP) menyifatkan bantahan perwakilan Dewan Ulama Pas terhadap pengisytiharan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat (PR) menawan Putrajaya, tidak menggambarkan pendirian parti itu.

Pengerusinya, Hu Pang Chaw berkata, ia bukan isu besar, tetapi komponen (Dewan Ulama Pas), tanpa pengaruhi pendirian Pas Pusat.

“Ia tidak dibincang dalam muktamar kali ini, bermakna ia usul dewan itu sahaja,” katanya.

Pang Chaw berkata demikian mengulas bantahan perwakilan Dewan Ulama Pas susulan pengisytiharan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, yang mengumumkan Anwar sebagai Perdana Menteri ketujuh, jika PR berjaya tawan Putrajaya.

Perwakilan Dewan Ulama Pas seterusnya mahu mengangkat Presiden Pas, Datuk Abdul Hadi Awang, sebagai Perdana Menteri, yang disifatkannya lebih layak dari pemimpin lain.

Menurutnya, PR sebelum ini sudah mencapai persefahaman untuk melantik Anwar sebagai Perdana Menteri jika ia berjaya menguasai Putrajaya.

“Wujudnya perbezaan pandangan ini menggambarkan kebebasan bersuara dan membuat keputusan dalam muktamar ini, selain membuktikan Pas Pusat tidak campur tangan,” katanya.

Katanya, usul dikemuka perlu diangkat di muktamar sebelum diluluskan, tetapi dalam isu bantahan ini, ia terhenti di situ sahaja.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Pas Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz berkata, rakyat tentukan siapa akan jadi Perdana Menteri.

“Rakyat lantik Perdana Menteri nanti. Hari ini kita berjuang untuk menumbangkan kerajaan ditolak rakyat,” katanya – Sinar Harian

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE