PARADIGMA POLITIK BARU

JAIS Akan Panggil Nurul Izzah & Saksi Lain Untuk Siasatan Penuh…

Jika Nurul Izzah Anwar fikir pertemuannya dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jumaat minggu lalu berhubung isu kebebasan agama adalah yang terakhir, lupakan saja kerana pertemuan itu, hanyalah yang permulaan.

Ini kerana JAIS akan memanggil ahli parlimen Lembah Pantai itu serta saksi-saksi lain termasuk portal yang melaporkan kenyataan berhubung kebebasan beragama yang dibuat Nurul Izzah pada sebuah forum di SubangJaya baru-baru ini, untuk siasatan lebih lanjut.

Jumaat lalu, Naib Presiden PKR itu bertemu Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Hussin membuat aduan mengenai laporan akhbar Utusan Malaysia yang didakwa beliau memfitnahnya berhubung apa dikatakan ketika forum tersebut.

Terdahulu Malaysiakini pada 3 Nov lalu memetik Nurul Izzah sebagai berkata: “Rakyat tidak seharusnya dipaksa menganut agama tertentu dan perkara ini juga patut terpakai kepada orang Melayu.

“Apabila anda bertanya saya, tiada paksaan dalam beragama…bagaimana seseorang itu boleh berkata, maaflah, ini (kebebasan beragama) hanya terpakai kepada orang bukan Melayu, ia sepatutnya diguna pakai secara sama rata,” katanya pada forum bertajuk “Negara Islam: Versi Mana; Tanggungjawab Siapa?”.

Sumber memberitahu Agendadaily, JAIS sudah membentangkan laporan awal isu Nurul Izzah kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pagi Jumaat (semalam).

Laporan itu katanya turut mengandungi aduan Nurul Izzah pada Jumat lalu.

Ditanya sama ada, JAIS dan MAIS berpuashati dengan laporan berkenaan, sumber itu menjelaskan, itu hanya laporan awal dan siasatan sebenar berhubung apa dikatakan Nurul Izzah akan bermula berdasarkan bukti-bukti yang dikumpulkan jabatan tersebut.

Katanya, saksi-saksi terbabit termasuk pihak yang menyiarkan berita forum akan dipanggil.

Menurut sumber lagi, Nurul Izzah juga akan dipanggil bagi melengkapkan siasatan sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Ketua Pembangkang sebelum ini menuduh JAIS sebagai bersekongkol dengan UMNO untuk mengaibkan anaknya dengan mendakwa jabatan agama itu menerima panggilan telefon parti itu bagi menyiasat anaknya .

Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim selaku Exco Agama, menolak dakwaan Anwar itu dan berkata tindakan Jais mendapatkan penjelasan daripada Nurul harus disokong.

Kenyataan Nurul Izzah turut mengundang rasa terkejut Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan mahu perkara itu disiasat.

Pihak-pihak lain turut mengeluarkan pelbagai komen berhubung kenyataan Nurul Izzah termasuk Dewan Ulama PAS apabila ketuanya Datuk Harun Taib menyifatkan anak Anwar itu kebudak-budakkan.

“Kalau dia rasa bersalah, dia kena tarik balik kenyataannya itu. Tapi kalau dia rasa tidak bersalah, itu hak dia kalau dia tidak mahu tarik balik,” katanya.

Beliau berpendapat Nurul Izzah kurang arif menggunakan ayat Surah Al-Baqarah ayat 256 itu.

“Mungkin ketika dia bercakap, dia kurang ilmu dalam perkara itu. Ayat itu hanya terpakai kepada orang bukan Islam, bukan untuk orang Islam,” katanya.

Pendirian badan tertinggi dalam PAS itu yang enggan menyatakan pendapat ilmiahnya, memeranjatkan Presiden Perkasa Datuk Ibrahim Ali apatah lagi kenyataan tersebut dikeluarkan Dewan Ualama.

“Apakah kenyataan Harun melambangkan dia dan partinya sudah mengamalkan Islam liberal?,” kata ahli parlimen Pasir Mas itu kepada Agendadaily.

Menurut Ibrahim, Dewan Ulama sepatutnya menyatakan pendirian terhadap isu dibangkitkan Nurul Izzah.

“Mereka patut menasihati Nurul Izzah, suruh tarik balik dan bertaubat kalau Dewan Ulama mendapati apa dikatakannya salah,” ujar beliau.

Ibrahim berpendapat, itu adalah kenyataan untuk menyelamatkan diri Harun serta Dewan Ulama selepas Nik Aziz ‘tak kisah’ isu berkenaan.

Beliau menyatakan kecewa kerana Dewan Ulama PAS tidak berperanan sebagai tulang belakang ulama sebagai tempat merujuk kebenaran serta membimbing umat sesat ke jalan benar -agendadaily

No comments yet... Be the first to leave a reply!

Leave a Comment

 

— required *

— required *