Kes Kondo Batu Caves, MB Selangor Arah YDP MPS Ditukar

AIDCNews – 17/11/12 – Penamatan peminjaman Datuk Zainal Abidin A’ala sebagai Yang Dipertua (YDP) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mulai Khamis adalah dibuat atas cadangan kerajaan negeri Selangor sendiri, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr Ali Hamsa.

Menurutnya, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menghantar surat bertarikh 15 Oktober bagi memohon Zainal Abidin digantikan dengan pegawai lain.

“Mengambil kira keputusan Menteri Besar serta hasrat pihak berkuasa negeri Selangor tersebut, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada 6 November lalu telah mengemukakan surat memaklumkan persetujuan ke atas cadangan penamatan khidmat Zainal Abidin sebagai YDP MPS berkuatkuasa 15 November.

“Notis pertukaran Zainal Abidin dikeluarkan pada 9 November lalu di mana beliau ditempatkan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) berkuatkuasa semalam (Khamis) selaras dengan permohonan pihak berkuasa negeri Selangor,” katanya kepada pemberita, Jumaat.

Sehubungan itu, Ali berkata, keputusan menggantikan Zainal Abididn bukan dibuat Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) seperti yang didakwa sesetengah pihak.

Zainal Abidin yang mengetuai MPS merupakan pihak yang terlibat dalam perancangan projek 29 Tingkat kondominium (Projek Dolomite Park Avenue) di Batu Caves yang diluluskan kepada pemaju Dolomite Properties Sdn Bhd.

Projek itu menjadi kontroversi apabila ratusan penganut agama Hindu dan aktivis badan bukan kerajaan (NGO) menyertai himpunan bantahan di perkarangan Batu Caves baru-baru ini kerana projek itu bakal memberi ancaman kepada alam semulajadi bukit itu.

Bukit yang menempatkan kuil Sri Maha Mahamariamman dianggap sebagai kawasan sensitif kerana kawasan tersebut merupakan tumpuan kira-kira 170,000 orang masyarakat Hindu beribadat setiap tahun.

Projek Batu Caves : Datuk N. Sadasivan Tolak Tawaran Kerajaan Selangor

No comments.

Leave a Reply

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE