Zul Noordin Sahkan Wujud Perjanjian Sulit PAS, DAP & PKR Gugurkan Hudud, Negara Islam

AIDCNews – 16/11/12 – Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Nordin mengesahkan beliau menjadi saksi wujudnya perjanjian sulit Pakatan Rakyat (PR) pada 18 Disember 2009 untuk membuang perjuangan hudud dan Negara Islam yang menjadi tunggak PAS.

“PAS sendiri sanggup korbankan perjuangannya..Pada 18 Disember 2009, secara sedar, pimpinan PAS menandatangani perjanjian persefahaman pakatan DAP dan PAS, jika membentuk kerajaan, Negara Islam, hudud, Qisas dan takzir tak ada dalam agenda.

“Dia (PAS) tahu tu, bukan dia tak tahu, tapi dia tandatangan juga,”katanya ketika ditemui media UMNO hari ini.

Zulkifli melihat PAS berbohong kepada ahli-ahlinya, apabila mendakwa parti itu masih meneruskan agenda hudud dan Negara Islam, sedangkan telah menandatangani perjanjian dengan rakan sekutu PR untuk menggugurkan kedua-dua asas perjuangan itu.

“Nak cakap pasal hudud, nak bohong siapa ? Awak sudah tandatangan dengan DAP dan PKR tak mahu hudud, dekat luar awak kata nak hudud. Kan bohong namanya itu.

“Saya antara orang yang menyaksikan perjanjian tersebut. Saya tahulah tentang perkara itu. Bahkan ini dikuatkan lagi dengan kenyataan Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang yang berulang kali mengatakan bahawa persepakatan antara PAS, DAP dan PKR tidak termasuk agenda Islam dan perlaksanaan undang-undang jenayah Islam!,” tegasnya.

Beliau juga turut menggesa kepimpinan PAS memberitahu secara telus kepada ahli-ahlinya tentang pengguguran kedua teras perjuangan parti itu.

“Kepimpinan PAS perlu dedahkan kepada ahli akar umbi bahawa di dalam Pakatan Pembangkang bahawa hudud dan negara Islam tidak ada dalam agenda sekiranya Pakatan Pembangkang memenangi PRU yang akan datang ini.

“Beritahu pada ahli, bahawa Anwar sebagai ketua pembangkang, berpendirian bahawa tidak akan melaksanakan hudud dan negara Islam sekiranya mereka berkuasa,” tegasnya lagi.

Semalam, AIDCNews menyiarkan pendedahan seorang ahli seumur hidup PAS, Zainon Ismail yang mendakwa PAS telah menandatangani satu perjanjian sulit dengan DAP dan PKR untuk menggugurkan perjuangan kedua asas perjuangan parti itu.

Zainon Ismail yang lebih dikenali sebagai CN Al-Afghani mendedahkan perjanjian sulit itu diadakan pada 18 Disember 2009 yang ditandatangani oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Apa yang ditandatangani, di antara kandungannya, apabila PR berkuasa di Putrajaya, pemerintahan ini tidak akan menyentuh tentang hudud dan Negara Islam,” dedahnya dalam Wacana Mengembalikan Pas ke Landasan Asal, 10 November.

Menurutnya, ahli-ahli PAS telah dibohongi dengan retorik hudud dan Negara Islam, sedangkan dalam diam-diam Presiden PAS telah menandatangani perjanjian sulit dengan DAP dan PKR untuk menggugurkan kedua-dua slogan itu jika berjaya menawan Putrajaya.

“Tetapi pimpinan kita menandatangani..tidak akan laksanakan hudud. Ini kita tidak tahu perkara ini. Ini kesilapan pemimpin-pemimpin kita, buat sesuatu tidak hebah kepada rakyat,” katanya.

One Response to “Zul Noordin Sahkan Wujud Perjanjian Sulit PAS, DAP & PKR Gugurkan Hudud, Negara Islam”

  1. myvi23

    Nov 17. 2012

    Reply to this comment

Leave a Reply

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE