PARADIGMA POLITIK BARU

‘Money Boy’ di Kuala Lumpur..

MONEY Boy berurusan dengan pelanggan di sekitar Jalan Raja Laut.
MONEY Boy berurusan dengan pelanggan di sekitar Jalan Raja Laut.

Lelaki tawar khidmat seks berkeliaran di Jalan Raja Laut

KUALA LUMUR: Kegiatan ‘Money Boy’ atau lelaki yang menawarkan khidmat seks kepada golongan sejenis di sekitar ibu negara masih berleluasa apabila mereka kini menjadikan kawasan kaki lima sekitar Jalan Raja Laut untuk ‘memancing’ pelanggan melakukan seks songsang. 

Walaupun beberapa tahun lalu kegiatan itu didedahkan media, tetapi golongan itu didapati masih menjalankan kegiatan terkutuk itu. Modus operandi dijalankan ialah Money Boy akan melepak sekitar kaki lima Jalan Raja Laut bermula dari Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hingga ke kawasan sekitar Bangunan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) antara jam 9 malam dan 2 pagi sambil menunggu kereta yang akan berhenti di kaki tepi jalan. Golongan itu yang berumur antara 20 hingga 30 tahun akan datang ke kereta yang berhenti di tepi jalan dan menjalankan aktiviti tawar menawar sebelum mereka dibawa ke rumah sendiri atau hotel murah sekitar Kuala Lumpur. 


Seorang pengunjung di Dataran Merdeka, Mohd Ilham Mohd Nor, 27, berkata kegiatan songsang itu sukar dikesan kerana kebanyakan Money Boy kelihatan seperti mereka yang menunggu kenderaan awam atau melepak bersama rakan di kawasan itu. 

Katanya, pada mulanya dia agak hairan kerana ramai lelaki melepak di kawasan itu seperti menunggu bas sedangkan kebanyakan orang ramai menjadikan kawasan Dataran Merdeka untuk melepak. 

“Selepas diberitahu rakan, baru saya tahu kebanyakan mereka terdiri daripada pengamal seks sejenis yang dikenali Money Boy. 
“Sepatutnya kegiatan seperti ini dibendung hingga ke akar umbi supaya ia tidak menjadi barah dalam masyarakat,” katanya. 

Seorang lagi pengunjung, Sharif Ahmad Nazri Sharif Nordin, 25, berkata dia berharap pihak berkuasa terutama Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) dapat mengambil tindakan tegas agar masalah seks sejenis tidak terus berleluasa. 

“Beberapa tahun lalu kes hubungan seks songsang ini pernah dibongkar sebuah stesen televisyen tetapi kini kegiatan itu didapati masih berterusan. 

“Tindakan tegas perlu diambil bagi memastikan aktiviti seks songsang ini dapat dibendung,” katanya. 

Tinjauan Sentral selama empat malam mendapati dakwaan orang ramai itu ada kebenarannya apabila kira-kira 20 Money Boy menunggu pelanggan di sekitar Jalan Raja Laut yang lebih dikenali golongan itu sebagai ‘Jurassic Park’. 

Dalam menjalankan urus niaga hanya Money Boy yang akan mendekati kenderaan pelanggan selepas mereka percaya kereta yang berhenti di tepi jalan mahu mendapatkan khidmat seks. Money Boy agak licik kerana tidak akan melayan pemandu yang memanggil mereka untuk mendapatkan khidmat seks songsang. 

Dalam tinjauan itu Money Boy didapati akan menaiki kenderaan yang berhenti di tepi jalan dan akan pulang beberapa jam kemudian. 

Usaha pemberita mendekati golongan ini berhasil selepas seorang Money Boy dikenali Rizal dalam lingkungan 28 tahun memasuki kenderaan yang diletakkan kira-kira lima minit di tepi Jalan Raja Laut. 

Lelaki itu kemudian mendekati kereta dan bertanyakan sama ada menunggu kawan dan kemudian menawarkan khidmat seks songsang dengan bayaran RM80. 

Menurut Rizal dia hanya ‘bekerja’ sebagai Money Boy pada masa tertentu dan menjadikan hotel murah sekitar ibu negara untuk menjalankan aktiviti terkutuk itu atau mengikut pelanggan ke rumah mereka. 

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali, ketika dihubungi enggan mengulas lanjut berhubung kegiatan songsang itu. 


No comments yet... Be the first to leave a reply!

Leave a Comment

 

— required *

— required *