BTN: Dr. Halimah perlu tanya Anwar

KUALA LUMPUR 26 Nov. – Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk
Seri Anwar Ibrahim dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali
merupakan individu yang paling layak menjawab persoalan sama ada kursus
Biro Tata Negara (BTN) itu relevan atau tidak kerana mereka pernah
terlibat dalam menerajui kursus itu.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Mohd. Mustapha Ishak
berkata, Hassan Ali pernah menjawat sebagai Timbalan Ketua Pengarah
BTN, manakala Ketua Pembangkang itu pula pernah terlibat dengan BTN
ketika berada dalam kerajaan suatu ketika dahulu.

“Sehubungan itu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan
Modal Insan negeri, Dr. Halimah Ali itu sepatutnya tanyalah sendiri
mereka berdua, kalau mereka kata BTN perkauman bermakna mereka juga
perkauman.

“Mereka dulu pun jalankan tanggungjawab yang sama iaitu membangunkan
BTN, saya rasa BTN dulu dengan sekarang tiada beza, sama sahaja, suruh
sahaja mereka jawab,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas langkah Kerajaan Selangor yang memutuskan untuk
melarang kakitangan awam dan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT)
milik negeri Selangor daripada mengikuti kursus BTN kerana mendakwa
kursus itu merupakan proses doktrinisasi oleh Barisan Nasional (BN)
hingga mencetuskan fenomena perkauman.

Mohd. Mustapha berkata, beliau percaya kerajaan negeri sebenarnya
mahu mewujudkan program mereka sendiri sebagai proses doktrinisasi
berdasarkan selera pakatan pembangkang.

“Langkah mereka itu tidak bertanggungjawab dan bersifat liar, mereka
sengaja mahu memburukkan agensi kerajaan dan bermotifkan politik
semata-mata,” kata beliau.

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Selangor, Mohd. Faizal Mohd Salleh menyifatkan tindakan kerajaan negeri itu seperti mahu menjadikan BTN sebagai ‘kambing hitam’ dalam menutup kelemahan mereka.

Kata beliau, pakatan pembangkang berharap dengan menimbulkan isu itu ia menagih simpati daripada masyarakat.

Sementara itu, Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Sohaimi Shahadan
pula berkata, Kerajaan Negeri Selangor takut kepada Kerajaan
Persekutuan apabila mendapati BTN berjaya memberi kesedaran kepada
kakitangan awam di Selangor.

sumber – utusan

No comments.

Leave a Reply

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE