Mesej Jesuit John Esposito : ‘Anwar Ibrahim Adalah Global Convivencia’

AIDCNews – 23/03/12 – Seorang Kristian misionari dari universiti Jesuit terkemuka di Amerika Syarikat (AS), John Esposito mengklasifikasikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai seorang tokoh ‘Global Convivencia’.

Esposito yang juga merupakan pembangun Center for Muslim-Christian Understanding (CMCU), Universiti Georgetown AS membuat klasifikasi itu berdasarkan dari penyelidikan dan pemerhatiannya yang dibukukan, “Unholy War: Terror In The Name Of Islam“, Oxford University Press, 2002.

CMCU adalah salah satu Projek Pluralism dari Universiti Harvard dan bekerjasama dengan Universiti George Washington yang kedua-duanya berpangkalan di AS.

“Pemikiran Islam Anwar Ibrahim adalah dinamik, membangunkan tradisi selaras dengan tuntutan zaman. Dia (Anwar) menolak budaya peniruan yang konservatif (taqlid), lebih cenderung membuat analisis bebas dan penafsiran semula (ijtihad), mempercayai bahawa Islam adalah ‘agama yang pragmatik’ berpaksi kepada kekuatan dan dinamik pembaharuan semula Islam.

“Penyokong kuat dialog antara Timur dan Barat, dia mempercayai Islam adalah bersifat inclusive, dari dulu hingga sekarang Islam terbuka kepada semua budaya.

“Pluralisme dan toleransi yang berdasarkan saling menghormati dan memahami adalah tunggak visi Anwar Ibrahim berasaskan dialog ketamadunan ‘convivencia’”, kata John Esposito.

Itulah world view pemikiran Islam Anwar Ibrahim yang dirumuskan oleh ahli Jesuit, John Esposito dalam bukunya, bab : “Anwar Ibrahim : Global Convivencia“.

Sudah tentu John Esposito sudah lama mengkaji pemikiran Islam Anwar kerana sejak dari tahun 1996, ketika berjawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, tokoh ‘reformasi’, ‘renaissance’ dan ‘convivencia’ itu sudah dianugerahi ‘Presidential Medal’ oleh universiti Jesuit terbesar di AS, Universiti Georgetown.

Malah sekitar tahun 2006, sekali lagi Anwar diterima mengajar dan dilatih di universiti Jesuit AS itu di bawah seliaan John Esposito di CMCU.

Jika mahu diselidiki lebih jauh lagi, John Esposito adalah murid kepada mentor Anwar, Dr Ismail Faruqi dari Universiti Temple, Pennsylvania, AS.

“John Esposito menerima Phd dari Universiti Temple di bawah seliaan Dr. Al-Faruqi”, lapor laman campus-watch.org dan mendapat Phd daripada universiti itu pada tahun 1974 dalam penghususan ‘Islam dan Politik Islam, Dari Afrika Utara ke Asia Tenggara’.

Dalam temubual dengan UC Berkeley, John Esposito memberitahu sekitar tahun 1967, beliau telah mendapat ijazah dalam bidang agama dunia khususnya tentang agama Hindu dan Budhha.

John Esposito mengakui dua mentornya adalah Ismail Faruqi dan Hassan Hanafi.

“Ya, mentor utama saya ialah Ismail al Faruqi, seorang sarjana Islam Palestin. Kami juga mempunyai pada masa itu, Hassan Hanafi, sarjana Mesir yang kembali mengajar di Universiti Kaherah”, katanya.

Menurut kajian Profesor Madya Mohamad Kamil Ab Majid dari Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, nama Dr Hassan Hanafi adalah salah seorang tokoh Islam Liberal di Mesir.

“Sama dengan Nasr Abu Zaid dan Arkoun, Hassan Hanafi menolak Al Quran sebagai mukjizat. Malah Nabi Muhammad SAW pun dipandang bukan sebagai seorang Rasul, tetapi seorang politikus yang mampu memcapai kepentingannya pada masa yang diingininya”, katanya.

Bacaan lanjut sila baca “Kaitan Anwar Ibrahim & Missionari Jesuit” dan “Merungkai misteri pembunuhan Dr Ismail Faruqi” dan “Kekeliruan Ideologi Islam Liberal – Profesor Madya Mohamad Kamil Ab Majid

Makna ‘Convivencia’

Menurut John Esposito, ‘Convivencia’ bermaksud ‘tinggal bersama’ yang merujuk kepada pemerintahan Roger II, Raja Kristian di Sicily, pada abad ke-12 dan pemerintahan Islam di Semenanjung Iberia seperti Toledo, Cordoba dan Granada.

“Di Iberia, Kristian, Muslim dan Yahudi tinggal bersama-sama dalam konteks hubungan sosial dan pertukaran budaya. Ia merupakan zaman kemakmuran dan pencapaian yang memberangsangkan dalam bidang seni, sastera, puisi, astronomi, dan perubatan.

“Ramai orang Kristian dikenali sebagai Mozarabs kerana mereka menggunakan unsur-unsur pakaian, budaya, dan bahasa Arab, termasuk nama-nama Arab. Sebahagian ulama Kristian menulis dalam bahasa Arab dan bukan bahasa Latin”, kata John Esposito.

Menurutnya lagi, ‘Convivencia’ menurut kaca mata Anwar Ibrahim adalah satu bentuk Islam pluralisme, visi yang berbeza dengan program tipikal Islam menempatkan hak bukan Islam dalam masyarakat tradisional Islam.

Ia berasaskan keutamaan keadilan dan kesaksamaan dalam sosial dan ekonomi, mengiktiraf hak agama-agama lain, sepertimana pengiktirafan terhadap Islam.

Visi pluralis ini adalah asas terhadap dialog ketamadunan.

John Esposito berkata ‘Convivencia’ yang diperjuangkan Anwar itu selaras dengan tuntutan Al Quran, iaitu manusia dicipta dalam pelbagai bangsa, negara dan agama, untuk tujuan ‘lita’arafu’ – berkenal-kenal antara sesama manusia.

Rumusan yang dilakukan oleh John Esposito itu diakui sendiri oleh Anwar yang terpancar dalam Perutusan Hari Natal 2008.

“Saya kira perlulah kita kembali merenung bagaimana masyarakat convivencia di Andalusia yang menyaksikan tiga umat; Islam, Kristian dan Yahudi hidup dalam kerukunan dan membuahkan tamadun gemilang.

“Sebagai contoh di Andalusia terutamanya di Cordoba waktu itu, bahasa Arab dimartabatkan sebagai bahasa rasmi dan bahasa pengantar kepada wacana-wacana ilmu, malah penyair Yahudi yang mashyur, Sulaiman Ibnu Gabirol menulis dalam bahasa Arab tanpa perlu dipaksa oleh pemerintah.

“Benarlah kata Mahmoud Darwish, penyair terkenal asal Palestin, Al-Andalus adalah penyempurnaan impian sebuah puisi. Ianya bukan sahaja tempat yang meraikan kemajmukan malah menjadi pentas percambahan ilmu dan ketinggian budaya”, kata Anwar dalam perutusan itu.

‘Convivencia’ & Keruntuhan Kerajaan Islam Andalusia

Konsep ‘Convivencia’ yang diimpikan Anwar itu sebenarnya sudah terpadam dalam lipatan sejarah.

Jika dahulu, munculnya, kerajaan Islam Andalusia, dan kini simbol-simbol kerajaan Islam di Andalusia, semuanya telah dihapuskan apabila kerajaan Kristian memerintah.

Andalusia berasal dari bahasa Arab “Al Andalus” yang merujuk kepada Semenanjung Iberian, Sepanyol, nama yang diberikan oleh Tariq ibni Ziad ketika berjaya mendarat di Gibralta pada 30 April 711.

Kejayaan Tariq itu menyebabkan lapan ibu kota Andalusia berjaya ditakluki iaitu Cardoba, Granada, Almería, Cádiz, Huelva, Jaén, Málaga dan Sevilla.

Kerajaan Islam berjaya berkuasa di Andalusia selama 800 tahun dari tahun 711 hingga 1492 M, berpusat di Cordoba yang berjaya melahirkan para ilmuwan seperti Ibnu Thufail (1107-1185), Ibnu Baitar (1190-1248), Ibnu Arabi (1164-1240), Ibnu Bajjah (1082-1138), dan Ibnu Rusyd (1126-1198).

Namun pada 1492 M, kerajaan Islam Andalusia berjaya dihancurkan oleh tentera Kristian Katholik yang dipimpin oleh Raja Ferdinand dan Ratu Isabella dari Castile.

Saat-saat kejatuhan kerajaan Islam di Andalusia berakhir di Kota Granada, di bawah Raja Abu Abdullah daripada puak Bani al-Ahmar.

Sebelum turun takhta, Raja Abu Abdullah telah ‘memeterai perjanjian’ dengan kerajaan Kristian Sepanyol, Raja Ferdinand dan Ratu Isabella yang melibatkan 67 perkara itu termasuk jaminan keselamatan masyarakat Islam di Sepanyol.

Namun perjanjian itu telah dimungkiri, ribuan umat Islam yang dijanjikan keselamatan untuk berlayar ke Afrika telah dibunuh beramai-ramai secara kejam dan tidak berperikemanusiaan.

Detik menyayat hati itu diceritakan secara terperinci dalam buku “al-Ihatah fi Akhbar Gharnatah” (Berita Menyeluruh Mengenai Granada) dan “al-Muqtabas min Akhbar al-Andalus” (Sekelumit Sejarah Andalus) dan “al-Fisal fi al-Milal wa al-Nihal”.

Kisah ketakutan dan ancaman keselamatan umat Islam di Sepanyol di bawah kerajaan Kristian digambarkan secara terperinci.

Ketika umat Islam bersembunyi di dalam rumah masing-masing, dengan lantang tentera Kristian membuat pengumuman bahawa orang Muslim Granada boleh keluar dari rumah mereka dengan aman bagi membolehkan mereka menaiki kapal untuk berlayar keluar dari Sepanyol.

Tentera Kristian memberi jaminan keselamatan kepada umat Islam yang ingin meninggalkan Sepanyol.

Ramai umat Islam yang meragui tawaran tentera Kristian itu, bagaimanapun, selepas umat Islam melihat sendiri kapal yang akan membawa mereka berlabuh di pelabuhan, mereka kemudian mengambil keputusan menerima tawaran itu.

Keesokan harinya, ribuan penduduk Muslim Granada keluar beramai-ramai membawa seluruh barang keperluan mereka pergi ke pelabuhan itu, bagaimanapun, terdapat juga umat Islam yang tidak mempercayai tawaran tentera Salib itu dan masih bersembunyi.

Selepas ribuan umat Islam Sepanyol berkumpul di pelabuhan, dengan pantas tentera Kristian menggeledah rumah yang mereka tinggalkan dan membakarnya.

Ribuan umat Islam yang berada di pelabuhan pula tergamam apabila tentera Kristian membakar kapal yang dikatakan akan mengangkut mereka keluar dari Sepanyol. Kapal itu kemudian tenggelam dan umat Islam tidak dapat berbuat apa-apa kerana mereka tidak bersenjata.

Kebanyakan di kalangan umat Islam itu adalah wanita dan kanak-kanak.

Kemudian, tanpa perasaan belas kasihan, ribuan tentera Kristian itu kemudian membunuh umat Islam yang sedang berkumpul tersebut. Jerit tangis dan takbir terdengar tetapi dengan buas tentera Kristian terus membunuh mereka yang tidak berdaya. Seluruh Muslim Sepanyol di pelabuhan itu habis dibunuh dengan kejam.

Darah melimpah di mana-mana. Laut yang biru berubah menjadi merah kehitam-hitaman. Itulah kisah menyedihkan dalam sejarah umat Islam di Sepanyol yang tidak boleh dilupakan.

Selepas kerajaan Kristian memerintah Sepanyol selama 300 tahun, tidak ada lagi tanda atau simbol Islam yang dikekalkan.

Umat Islam juga diugut dan diseksa oleh tentera Kristian Sepanyol. Orang Kristian tidak mahu Islam wujud lagi di negara itu. Oleh itu, terdapat umat Islam sangat tersepit sehingga ada yang terpaksa mengaku Kristian padahal mereka seorang Muslim semata-mata untuk menyelamatkan diri.

Selain kekuatan tentera Kristian, kejatuhan kerajaan Islam di Andalusia berpunca daripada perbalahan dan permusuhan sesama sendiri sehingga terpecah kepada lebih daripada 20 puak. Antaranya Bani Jahur, Bani ‘Ibad, Bani al-Aftas, Bani Nun dan lain-lain.

Dengan wujudnya puak-puak ini, mudahlah musuh Islam merebut kembali tanah mereka kerana mereka mengetahui kelemahan umat Islam. Apa yang menyedihkan terdapat juga umat Islam yang sanggup menjual agama dan negara demi kepentingan peribadinya.

Misalnya, Abu Zaid, Gabenor daerah Balansiah. Dia telah berpakat dengan Raja Kristian Choinawi. Bukan setakat pakatan itu, Abu Zaid juga telah memberikan beberapa kawasan kepada Choinawi serta membayar ‘jizyah’ tahunan kepadanya.

Dalam Islam, jizyah mesti dibayar oleh bukan Islam kepada pemerintah Islam, tetapi apa yang dilakukan Abu Zaid terbalik apabila beliau berjanji membayar jizyah kepada Raja Choinawi yang beragama Kristian.

Inilah contoh manusia Muslim yang hanya mahu menyelamatkan dirinya dan sanggup memperjudikan nyawa rakyat di bawah jagaannya kepada pihak musuh.

Hari ini, kerajaan Andalusia, Cordoba hanya tinggal dalam lipatan sejarah Islam. Ramai umat Islam tidak mengetahui apa yang telah berlaku di Andalusia. Pihak musuh telah memadamkan sejarahnya. Pihak Islam yang pro musuh pula berusaha membangkitkan sejarah Andalusia versi pluralisma.

Kerajaan itu telah hancur dan saki baki kerajaan Islam telah dimusnahkan. Hari ini juga menyaksikan Sepanyol muncul sebagai antara negara Kristian yang terkuat di dunia.

2 Responses to “Mesej Jesuit John Esposito : ‘Anwar Ibrahim Adalah Global Convivencia’”

  1. kay

    Mar 25. 2012

    Anwar Ibrahim adalah wakil dajal bagi rakyat Malaysia.

    Reply to this comment
  2. SEMAKIN JELAS

    Mar 24. 2012

    Sanjungan Esposito terhadap Anwar sebagai “convevencia” tidak memelikkan. Sebagai seorang Kristian, Esposito tahu apa yang berlaku di Andalusia selepas pihak Kristian mengambil alih kuasa agak menyayat hati. “Convevencia” atau hidup bersama hanya sifatnya superficial – tidak tulin. Pada prinsipnya pluraliti dalam beragama tidaklah salah. Yang ditegah ialah pluralisme agama yang menyamakan semua agama mendukung kebenaran. Kebenaran tertinggi dalam Islam ialah Aqidah Tauhid – sedangkan Kristian kini mendukung faham Triniti. Nabi Isa (jesus) dianggap sebagai anak Tuhan sedangkan Islam menganggapnya sebagai Nabi kepada umat manusia. Ini isu pokok dalam binaan aqidah tauhid. Dialog antara agama yang penulis pernah ikuti tidak membincangkan isu aqidah. Ia membincangkan isu-isu dan nilai-nilai interaktif untuk maksud hubungan sosial. Nilai-nilai paling Utama (Supreme Values) yang menyangkut tentang aqidah tetap berbeza. Yang berbeza tetap berbeza.Etika dalam berbeza perlu ada. Nilai Interaktif yang membolehkan manusia bekerjasama biarkan ia bekerjasama. Itu cara terbaik. Bukan menyamakan kebenaran itu dalam akidah seperti yang dilakukan oleh Anwar Ibrahim dalam ucapannya di London School of Economics.

    Reply to this comment

Leave a Reply

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE