Sikap PAS Tentang Murtad : Dulu Lain, Sekarang Lain

Dr Rahman Kadir – Saya mula didedahkan dengan isu murtad seawal tahun 1997 iaitu semasa masih di Asasi Sains Universiti Malaya lagi. Ketika itu, saya didedahkan dengan forum-forum yang diadakan oleh Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM).

Saya pernah menyaksikan di dalam salah satu forum tersebut, wakil UMNO dibelasah teruk oleh wakil PAS, seorang ADUN dari Kelantan. Wakil UMNO tersebut ada hati menafikan wujudnya isu murtad. Saya melihat UMNO seperti tidak serius dengan isu murtad, dan hanya PAS sebagai sebuah parti Islam yang mampu mempertahankan aqidah umat Islam.

Ini ditambah lagi dengan kes Aishah Bukhari, seorang yang hafal Yasin dan mempunyai asas agama yang baik, tetapi boleh murtad ke agama Kristian Katolik hanya kerana bisikan cinta. Dia dikatakan lari ke Australia bersama kekasihnya tersebut meninggalkan ibu-bapa dan sanak-saudara.

Ditambah pula dengan pendedahan bekas Paderi Joseph tentang usaha sulit gereja memurtadkan orang Melayu di Malaysia yang terkandung dalam kaset-kaset yang dijual di pinggir Masjid Ar Rahman.

Selepas saya berbai’ah dengan PAS, isu ini semakin hangat. Amir ketika itu Ustaz Zaharuddin Abd Rahman telah berjaya mempakejkan isu murtad sinonim dengan dirinya kerana kehebatannya berpidato dan juga pandai menulis artikel-artikel serta berani berjumpa dengan pimpinan negara untuk bercakap tentang isu murtad.

Di zamannya, beberapa siri demonstrasi diadakan berkenaan isu murtad. Kami mahu kerajaan melihat isu murtad dengan serius. Ikutkan kami, jika kerajaan tidak mahu laksanakan hukum murtad yakni faqtuluh (bunuhlah si murtad) itu, kerajaan yang ada ini tidak layak kerana tidak menjalankan hukum Allah.

Sudah berapa kali saya berdemo dan bersabung nyawa berhadapan dengan polis dan pihak keselamatan Universiti Malaya bersama-sama rakan-rakan. Ini tanda kami benar-benar serius dalam isu ini.

Bertambah parah, apabila seorang sahabat tuisyen saya mengajak saya masuk agama Kristian dan bermulalah siri debat saya dengan dia. Mungkin dia menyangka bahawa orang Islam ini lemah dan tidak tahu apa kandungan dalam agamanya.

Kami berdebat melalui tulisan dan dari situ kami menggunakan fakta-fakta dari Syeikh Ahmad Deedat dalam perbandingan ugama. Saudara Nashrul banyak membantu dalam debat tersebut.

Nashrul telah dilantik menjadi Exco PMIUM disebabkan isu murtad ini, kerana kebolehannya mencanai maklumat dalam Bible dan juga dia pernah berdebat secara semuka dengan Presiden Persatuan Kristian Varsiti sebanyak 3 kali.

Isu murtad semakin dimainkan di dalam jemaah. Malah, Ustaz Zaharuddin melalui Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung (GAMIS) telah berjaya menjadikan isu ini sebagai panji utama PAS memalukan UMNO dan BN sebelum berlakunya kes pemecatan Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim sewaktu baru dipecat menyalahkan Tun Abdul Hamid Othman kerana gagal dalam isu murtad kata Ust Zaharuddin. Benar atau tidak, hanya Allah, Anwar Ibrahim dan Hamid Othman sahaja yang mengetahui.

Apabila timbul reformasi, isu murtad hilang serta merta. Yang utama sekarang ini bagi jamaah, ialah menyambut mereka yang baru murtad dari UMNO dan memeluk PAS dan Keadilan.

Tetapi, saya dan sahabat-sahabat saya masih beristiqamah dengan isu murtad.

Program Ziarah Mesra (PZM) telah diadakan di mana saya terlibat secara langsung dalam penubuhannya. PZM diadakan untuk mengimbangi gerakan missionary Kristian yang cuba berdakwah kepada pesakit-pesakit terutamanya pesakit Islam.

Pihak PPUM (Pusat Perubatan Universiti Malaya) cuba menghalang aktiviti kristianisasi dijalankan secara termampu tetapi sokongan perlu diberikan oleh kakitangan, pelajar dan juga pesakit (serta keluarga). PZM dianjurkan bersama PMI (Persatuan Mahasiswa Islam) dan juga SAHABAT PPUM setiap minggu. Oleh itu, terubat hati pesakit-pesakit menerima kunjungan kami.

Isu murtad kembali hangat apabila Mufti Perak kembali bising tentang hal ini. Ketika ini, PAS dalam keadaan lemah. Terengganu ditawan kembali oleh UMNO dan Abdullah Badawi yang membawa imej sebagai anak cucu ulamak dari Pulau Pinang menyebabkan bekas jemaah saya itu bertambah sakit. Tiada isu untuk PAS, dan isu murtad ini kembali dimainkan sebagai ubat kuat parti tersebut yang sudah mandul pada saat itu seolah-olah meminta nyawa pada pengundi sekitar tahun 2006-2007.

Oleh itu, umat masih menaruh harapan bahawa PAS mampu menjaga umat jika berpeluang memerintah. Saya dengan hukum yang saya belajar, tidak ada masalah. Kita wajib taat kepada pemerintah tidak kisah siapa yang naik, selagi mana Muslim dan masih bersolat. Ini kepercayaan Ahli Sunnah Wal Jamaah bukan khawarij.

Namun, selepas tahun 2008, semuanya sudah terbalik.

PAS sudah menjadi Parti cinta dunia dan takut mati. Jika UMNO dan Utusan buat salah, hatta tersilap masuk masjid dengan kaki kiri pun sudah dianggap menghina Islam. Tetapi, jikalau DAP mengarahkan arak dipulangkan, malam-malam Ramadhan dihidupkan dengan kelab malam, itu tidak menghina Islam.

Malah, apa yang kami perjuangkan yakni penubuhan negara Islam cuma tinggal negara berkebajikan. Dahulu menegakkan negara Islam itu wajib, tetapi sekarang tidak wujud istilah negara Islam di dalam Al Quran. Nanti, apabila jadi kerajaan, tidak ada pula istilah negara kebajikan dalam sunnah pula alasan yang mungkin diberikan.

Tercatat dalam sejarah, Damansara Utama Methodist Church(DUMC) telah mengadakan upacara Thanksgiving. 12 orang Islam berada di dalam majlis itu. Berikutan dengan itu, pihak JAIS telah melakukan pemeriksaan.

Pihak JAIS mendapati ada dokumen-dokumen seperti kuiz kefahaman Islam, nyanyian Alhamdulillah dan Allahuakbar di gereja tersebut.

Pihak JAIS telah melakukan tuntutan dalam ugama, iaitu cuba menyelamatkan aqidah umat Islam. Dr Hassan Ali telah dikritik kerana berdiri teguh di belakang JAIS oleh MB Selangor dan PAS Selangor yang berjaya menggulingkan Dr Hassan mula membedil beliau. Malang sekali, yang giat membedil usaha menyelamat ugama ini, seorang yang masa mudanya mengetuai gerakan pelajar Suara Islam di UK katanya. Sekarang bunyinya seperti Suara Kafir.

Saya berasa sedih. Dahulunya, kita bermati-matian tentang isu murtad. Dahulu, kita tidak pernah dengar bunyi-bunyi hendak mendengar keterangan gereja, pakwe Aishah Bukhari dan sebagainya, kita terus berdemo di jalan raya. Faqtuluh, faqtuluh dan faqtuluh, bunuhlah orang yang murtad itu kata mereka suatu masa dahulu.

Tetapi, hari ini kita pandai pula menggunakan perkataan kita akan rujuk kedua-dua belah pihak. Fatabayyanu kata mereka, seolah-olah baru sahaja perkataan itu mereka jumpa dan diwahyukan dalam Al Quran. Tidak pula mereka rujuk dan bertanya kepada Saiful Bukhari, Datok Eskay, Utusan dan sebagainya dalam pelbagai isu atas dasar fatabayyanu.

Soalnya, adakah begitu murah aqidah Islam hanya untuk mendapatkan undi? Di manakah ustaz-ustaz anti murtad di kampus dahulu? Di manakah mahasiswa Islam? Bolehkah mereka berdiri sendiri dengan tulang belakang mereka tanpa diremote control?

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE