Bantuan Asing ‘Bantu’ Penularan LGBT

KUALA LUMPUR 12 Mac – Pihak berkuasa digesa memantau dengan teliti aktiviti bantuan asing ke atas parti politik tempatan kerana selain penyaluran dana, entiti kerajaan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa juga didapati ‘mengeksport’ nilai negatif seperti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Pensyarah Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohamad Faisol Keling berkata, keadaan itu menjejaskan system politik tempatan dan berupaya meruntuhkan nilai agama serta kehidupan masyarakat.

“Amalan politik Malaysia yang mengangkat Islam sebagai agama Persekutuan boleh terjejas dengan campur tangan asing dan ini adalah amat tidak sihat.

“Sepatutnya, pemimpin dan rakyat perlu menentukan sendiri nilai politik kita kerana apabila berlaku pergantungan kepada bantuan asing, mereka akan sentiasa mencari peluang mengeksport perkara lain termasuk LGBT yang semakin hangat diperkatakan di negara kita,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas pendedahan bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Rahimi Osman yang mendakwa kemenangan besar pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008 adalah hasil rancangan besar agensi perisikan antarabangsa yang membantu Anwar.

Rahimi mendakwa, antaranya, National Endowment for Democracy (NED) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) telah menghantar lima utusan ke negara ini pada pilihan raya umum lalu bagi membantu Anwar setelah dipohon Ketua Pembangkang itu sendiri.

Sementara itu, Mohamad Faisol menegaskan, penglibatan NED dalam politik Malaysia mungkin mengubah dasar luar negara ke atas Israel pada masa hadapan kerana badan itu dikesan bekerjasama rapat dengan pelobi Yahudi yang aktif di AS.

“Namun jika status quo pentadbiran negara kekal (ditadbir Barisan Nasional) pada pilihan raya umum akan datang, Malaysia akan tetap mengutamakan keselamatan rakyat Palestin berbanding rejim Zionis,” tegasnya – Utusan Malaysia.

No comments.

Leave a Reply

Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE