Zahrain Dedah Lapan Anggota Parlimen 'Lompat Parti'

| 0 Comments | 0 TrackBacks
KUALA LUMPUR, 18 Mac - Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim Khamis mendedahkan nama lapan anggota Parlimen yang disebut-sebut akan melompat parti ke PKR bagi menjayakan rancangan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan pusat pada 16 Sept 2008.
Mereka ialah Datuk Seri Abdul Ghapur Salleh (BN-Kalabakan), Datuk Seri Anifah Aman (BN-Kimanis), Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan), Datuk Chua Soon Bui (Bebas-Tawau), Datuk Eric Majimbun (Bebas-Sepanggar).

Nama lain yang disebut ialah Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN-Jerantut), Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang), katanya menyambung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Zahrain juga mendedahkan seorang Timbalan Speaker juga dikatakan akan menyertai PKR.

Kenyataan itu menyebabkan Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mencelah bertanya "Timbalan Speaker yang mana (Zahrain maksudkan)?" menyebabkan Dewan diselubungi gelak ketawa anggota Parlimen.

Semalam, tindakan Zahrain mendedahkan kepincangan PKR dan pakatan pembangkang yang diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim menyebabkan ketua pembangkang itu bertindak keluar dewan.

Zahrain berkata beliau yakin tindakannya keluar parti adalah tindakan tepat kerana tidak mahu sejarah menghukumnya kerana tidak berbuat apa-apa ketika perjuangan PKR dan pakatan pembangkang semakin terpesong menjadi perjuangan peribadi yang sempit.

Dalam ucapannya hari ini, Zahrain juga mendakwa laman web Malaysiakini dan laman portal Raja Petra Kamaruddin (RPK) yang kini dalam pelarian telah diperkudakan pembangkang bagi mencapai matlamat agenda sempit mereka.

Beliau berkata tindakan itu terserlah selepas fitnah, pembohongan, putar belit dan serangan peribadi dilakukan oleh portal terbabit terhadap mana-mana pihak yang menghalang impian pembangkang untuk mengambil-alih kerajaan.

Untuk itu, Zahrain mendesak pihak berkuasa dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan tegas dan menyiasat hubungan portal dan RPK dengan "politikus" dalam pakatan pembangkang.

Beliau memberi contoh bagaimana liputan forum tertutup anjuran Centre for Strategic & International Studies (CSIS) di Washington, Amerika Syarikat, yang dihadiri rombongan anggota Parlimen Malaysia dikeluarkan di laman portal RPK sedangkan hanya wakil Malaysiakini dari San Francisco membuat liputan forum itu.

"Ini jelas membuktikan Malaysiakini dan Raja Petra bersekongkol dengan kepimpinan Pakaran Rakyat untuk melakukan putar belit laporan dan merosakkan nama baik terhadap sesiapa yang menjadi penghalang kepada impian mereka merampas Putrajaya tak kira apa cara sekalipun," katanya.

Zahrain mendakwa pembantu khas Anwar, Aasil Kazi Ahmad, turut campurtangan dengan meminta CSIS membatalkan forum yang dihadiri rombongan anggota Parlimen Malaysia dan menyifatkannya sebagai cara Anwar memonopoli sebarang pertemuan dengan pihak negara kuasa besar itu.

Beliau mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyiasat latar belakang pembantu khas ketua pembangkang itu yang dikhuatiri adalah dalang antarabangsa yang memainkan peranan menggugat kestabilan negara.

Ketika ini, Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) mencelah adakah Zahrain menyedari bahawa Anwar kini berada di luar negara atas tujuan tertentu, yang menyebabkan Wan Junaidi mengingatkan anggota dewan supaya tidak membuat sebarang andaian jika tidak mempunyai bukti.

Zahrain turut mencadangkan kaedah pelantikan baru bagi duta dan diplomat dengan melantik ahli politik yang berpengalaman terutama di negara kritikal seperti Britain, Australia, Turki, Indonesia, India dan negara Timur Tengah.

Ini kerana keupayaan pakatan pembangkang memburukkan dan menghasut negara asing membenci Malaysia adalah kerana kelemahan kerajaan (duta dan diplomat) mengatasi masalah itu dengan serius dan terancang.

sumber - bernama

ATM Nafi Sokong Pembentukan Kerajaan 16 Sept 2008

PETALING JAYA, 18 Mac (Bernama) -- Bekas Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Abdul Aziz Zainal Khamis menafikan sekeras-kerasnya bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyokong usaha pembentukan kerajaan baru yang dirancang pada 16 Sept 2008 dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri.

Beliau menyifatkan dakyah seperti itu bertujuan menarik hati rakyat supaya menyokong ketua pembangkang tersebut.

"Kita (ATM) tahu Barisan Nasional (BN) memang mendapat sokongan rakyat pada ketika itu dan itu hanya komplot pembangkang untuk memenangi hati rakyat," katanya kepada pemberita selepas perasmian bangunan baru Zetro Centre of Excellence di Subang dekat sini.

Abdul Aziz mengulas pendedahan anggota Parlimen Bebas dari Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim di Dewan Rakyat semalam dengan mendakwa Anwar merancang membentuk kerajaan baru dengan meyakinkan wakil pembangkang kononnya Yang di-Pertuan Agong merestui Anwar sebagai Perdana Menteri manakala Angkatan Tentera juga menyokong pelantikan itu.

"ATM kecewa dengan dakyah yang dilemparkan dan kita sebuah institusi pertahanan negara tidak akan goyah dengan dakwaan yang dilemparkan," kata Abdul Aziz.

Abdul Aziz berkata pemimpin-pemimpin ATM yang diketuainya ketika itu masih waras dan tidak mudah terpedaya dengan dakwaan sedemikian.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengambil tindakan undang-undang ekoran dakwaan itu, beliau berkata jika dakwaan itu melampaui batas atau merosakkan kesetiaan dan emosi anggota ATM, pihaknya akan mengambil tindakan.

"Ketika itu, ada wartawan yang menanyakan soalan sama ada ATM akan menyokong pembentukan kerajaan baru pada 16 Sept itu, saya berkata tarikh itu merupakan sambutan Hari ATM," katanya.

Beliau berkata dakwaaan yang dilemparkan itu bertujuan untuk memenangi hati rakyat semata-mata, malah beliau sendiri tidak pernah berjumpa dengan Anwar ketika itu.

Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dakwaan seperti yang didedahkan Zahrain itu merupakan satu pembohongan oleh pembangkang untuk menawan hati rakyat.

"Tidak ada satu pun ahli Parlimen daripada BN yang menyertai pembangkang sebaliknya beberapa ahli pembangkang yang bertindak keluar parti menjadi Anggota Parlimen Bebas dan bersahabat dengan BN.

"Jangan dijaja nama ATM sebagai institusi yang mendapat keyakinan rakyat sejak turun-temurun malah tidak ada warga ATM yang mempercayai dakwaan itu," kata Ahmad Zahid selepas merasmikan bangunan baru itu yang merupakan pusat penyelenggaraan aset ATM.

sumber - bernama

No TrackBacks

TrackBack URL: http://www.anwaraidc.com/cgi-bin/mt/mt-tb.cgi/1177

Leave a comment

Recent Entries

Jesuits biaya Anwar bentuk Islam baru di Malaysia
Oleh AngelaAnwar dikenali sebagai chameleon atau sesumpah atau sumpah-sumpit. Atau dengan lain perkataan, Anwar seorang yang berpura-pura. Atau dengan…
Hati-hati Anwar rekrut semula kumpulan baru bertopeng Islam
Nik Nazmi, M.Chozin Amirullah dan Nurul Azizah diberi task force oleh Anwar untuk membangunkan kumpulan Islam baru oleh Anwar Ibrahim.…
Makna kemerdekaan buat Anwar...
Oleh gelagat anwarKepada Pak Sheikh Anwar, kemerdekaan mungkin perkara yang asas dan bersifat kemanusiaan - lagi sejagat. Agaknyalah. Atau…