Seluar panjang hitam hadiah Anwar

| 1 Comment | 0 TrackBacks


Oleh WAZIHA WAHID
waziha@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Orang awam yang memenuhi Mahkamah Tinggi di sini semalam tersenyum simpul apabila Mohd. Saiful Bukhari Azlan mengemukakan kepada mahkamah sehelai seluar panjang berwarna hitam pemberian Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwa dipakai ketika berlaku kejadian liwat terhadapnya di Kondominium Desa Damansara, Bukit Damansara di sini pada 26 Jun 2008.

Dua helai seluar dalam jenama Levi's milik Mohd. Saiful, 25, dengan satu daripadanya turut dipakai pada hari kejadian juga ditunjukkan kepada Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah sebagai bahan bukti kes.

Lebih lucu lagi, saksi itu mendakwa, dia tidak membuang air besar selama dua hari iaitu sejak dia diliwat oleh Anwar sehinggalah laporan polis dibuat pada 28 Jun 2008.

Demikian antara isi keterangan bekas pembantu peribadi Anwar selaku saksi pertama pendakwaan pada hari ketiga perbicaraan kes liwat membabitkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Anwar, 63, mengaku tidak bersalah atas dakwaan meliwat Mohd. Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang 26 Jun 2008.


MOHD. SAIFUL yang memberi keterangan pada hari ketiga semalam menunjukkan pakaian yang dipakai sebelum kejadian dia diliwat.


Mohd. Saiful menyambung keterangan di peringkat pemeriksaan utama oleh Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden yang mengetuai barisan pendakwaan.

Dalam keterangannya, bekas pelajar Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu memberitahu, dia diminta menyerahkan semua pakaian tersebut kepada pegawai penyiasat polis pada 29 Jun 2008 ketika masih berada di Wad Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Saiful: Saya ada serahkan sehelai kemeja warna biru muda jenama Ralph Lauren yang dipakai pada hari kejadian.

Yusof: Selain pakaian, ada serahkan yang lain?

Saiful: Ada, saya juga serahkan KY Jelly (sejenis gel pelincir organ seks) kepada polis.

Yusof: Berapa helai baju dan seluar yang diserah?

Saiful: Seingat saya di hospital hanya sehelai.

Mohd. Saiful kemudian diminta membacakan borang menyerah barang bukti tersebut yang telah ditandatanganinya dan dengan bersahaja saksi pertama itu menunjukkan semua bahan bukti tersebut kepada Hakim Mohamad Zabidin.

Saiful: Lain-lain pakaian yang saya serahkan ialah sehelai baju kemeja lengan panjang berwarna hijau muda jenama G2000 yang dipakai ketika membuat laporan polis.

Sehelai seluar panjang berwarna hitam tiada jenama yang saya pakai pada waktu kejadian dan ketika membuat laporan polis pada 28 Jun 2006.

Seluar panjang ini sebenarnya dihadiahkan oleh Anwar kepada saya.

Orang awam yang melihat barang bukti itu dilihat berbisik-bisik sambil tersenyum manakala ahli keluarga Anwar pula berpandangan sesama sendiri seolah-olah tidak percaya.

Anwar yang sedang khusyuk menulis di dalam kandang pesalah pula memandang Mohd. Saiful sebelum berpaling ke arah isterinya, Datin Seri Dr. Wan Azizah Ismail dan berkata sesuatu.

Saiful: Selain itu, dua helai seluar dalam jenama Levi's, masing-masing berwarna kelabu dan biru tua, yang dipakai pada waktu kejadian dan ketika membuat laporan polis.


ANWAR hadir pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.


Ketika seluar dalam tersebut ditayangkan di mahkamah, kelihatan beberapa wanita menutup mata dan ada yang menundukkan muka kerana tidak selesa dengan suasana tersebut.

Yusof: Di mana kamu serahkan semua barang itu kepada polis?

Saiful: Di tepi mesin basuh di rumah tunang saya.

Ditanya sama ada Dr. Mohd. Osman Abdul Hamid yang memeriksanya di Hospital Pusrawi memberikan sebarang hasil pemeriksaan, Mohd. Saiful menjawab tidak.

Mohd. Saiful juga berkata, dia tidak membuang air besar dalam tempoh masa dia diliwat selama dua hari sehinggalah dia membuat laporan polis.

Keterangan saksi tersebut disambut dengan gelak ketawa oleh mereka yang berada di galeri mahkamah manakala sesetengah yang lain turut tersenyum simpul.

Pada awal keterangan, pihak pendakwaan mengemukakan 10 sampel yang diambil daripada Mohd. Saiful untuk dibuat ujian asid deoksiribonukleik (DNA), antaranya calitan yang diambil di bahagian bawah lidah, tubuh dan dubur serta sampel darah mangsa liwat itu.

Perbicaraan bersambung Isnin ini.

sumber - kosmo



Pertemuan pandang pertama dengan Anwar


ANWAR ditemani isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam.



KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa menawarkan pembiayaan pelajaran kepada Mohd. Saiful Bukhari Azlan kerana mahukan bekas pembantu peribadinya itu terus bekerja dengannya.

Mohd. Saiful berkata, Anwar berbuat demikian demi memujuknya supaya tidak berhenti kerja tetapi memintanya lebih berdisiplin ketika bekerja.

Mohd. Saiful, 25, yang menyambung keterangan dalam perbicaraan kes liwat membabitkan bekas majikannya itu mendakwa Anwar sanggup membiayai pelajarannya ke mana saja sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.

"Ketika belajar, saya juga dijanjikan gaji dan elaun seperti mana saya peroleh sebelum belajar," kata Mohd. Saiful ketika menjawab soalan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden.

Terdahulu, Mohd. Saiful memberitahu, Anwar membuat tawaran tersebut setelah menerima kiriman e-mel daripadanya yang meluahkan hasrat untuk meletakkan jawatan sehari selepas dia mendakwa diliwat oleh majikannya pada 26 Jun 2008.

Saiful: Saya hantar e-mel kepada Anwar pada pagi Jumaat 27 Jun 2008. Selang beberapa jam kemudian, Anwar telefon dan beritahu mahu jumpa saya di pejabatnya di Seksyen 16, Petaling Jaya.

Yusof: Ada jumpa dia?

Saiful: Ya, saya begitu takut. Anwar tanya kenapa nak letak jawatan, saya katakan seperti apa yang ditulis dalam e-mel.

Saya katakan saya tidak berdisiplin dan lambat ke pejabat sehingga Anwar marah. Selain itu, saya tidak mahu dipertikaikan oleh staf lain kerana saya ada bilik sendiri di pejabat Anwar.

Yusof: Apa sebab sebenar letak jawatan?

Saiful: Sebab sebenar saya nak letak jawatan kerana tidak mahu diperlakukan sedemikian.

Yusof: Apa reaksi Anwar?

Saiful: Anwar kesal, sedih dan seperti biasa pujuk saya untuk tidak letak jawatan. Anwar suruh saya lebih berdisiplin.

Dalam pada itu, Anwar menawarkan kepada saya untuk membiayai pelajaran tidak kira di mana sama ada sepenuh masa atau separuh masa dengan mendapat gaji dan elaun yang biasa diperoleh.

Yusof: Lepas itu?

Saiful: Saya takut nak tolak, jadi saya setuju. Anwar kemudian hantar e-mel mengucapkan terima kasih kerana sudi menyambung perkhidmatan.

Dalam sesi keterangan lain, Mohd. Yusof bertanyakan Mohd. Saiful, siapakah yang mengambilnya bekerja di pejabat Anwar.

Mohd. Saiful menjelaskan, pada awal Mac 2008, dia diajak oleh seorang rakan lama bernama Rahimi Osman yang bekerja dengan Anwar untuk berjumpa dan berbual di pejabatnya.

"Rahimi ada tanya sama ada saya minat membantu di pejabat kerana mereka kekurangan kakitangan disebabkan ramai yang terlibat dalam pilihan raya umum ke-12. Saya kata 50-50," katanya.

Dakwa pengadu kes liwat itu lagi, dia kemudian dibawa masuk ke dalam bilik mesyuarat sebelum beberapa minit kemudian, Anwar masuk dan diperkenalkan kepadanya.

"Itulah kali pertama saya berjumpa Anwar," kata Mohd. Saiful yang terkejut dengan apa yang berlaku kerana mendakwa dirinya tidak mengetahui apa-apa mengenai Anwar.

Selepas selesai mesyuarat, Anwar didakwa oleh Mohd. Saiful sebagai memberitahu: "Saya hargai bantuan awak kepada kami."

Kata-kata itu, menurut Mohd. Saiful, adalah isyarat Anwar menerimanya untuk bekerja sebagai sukarelawan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ditanya sama ada Anwar bertanya latar belakangnya, Mohd. Saiful menjawab, "Ada, saya ceritakan semua termasuk saya tidak tamat pelajaran di universiti."

sumber - kosmo


Ketika Saiful lahir pada 1985, Anwar sudah jadi menteri

KUALA LUMPUR - Mohd. Saiful Bukhari Azlan yang mendakwa dirinya diliwat oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu merupakan idolanya sejak kecil.

"Anwar seorang pemimpin yang berkarisma," katanya dengan tenang dan bersahaja apabila ditanya Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden tentang alasan dia meminati Ketua Pembangkang itu.

Mohd. Saiful, 25, yang pernah menjadi pembantu peribadi Anwar berkata demikian semasa perbicaraan kes liwat bekas majikannya di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Terdahulu, Mohd. Yusof bertanyakan kepada Mohd. Saiful, adakah dia berminat bekerja dengan Anwar,

"Ya, saya teruja dan berminat untuk bekerja dengannya kerana dia idola saya sejak kecil lagi," balas saksi itu sambil memandang Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

Mohd. Saiful dilahirkan pada 1985 dan ketika itu Anwar memegang jawatan sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Namun pada tahun yang sama, Anwar bertukar portfolio kepada Menteri Pertanian.

sumber - kosmo

No TrackBacks

TrackBack URL: http://www.anwaraidc.com/cgi-bin/mt/mt-tb.cgi/800

1 Comment

saiful sebenarnya jambu kata orang johor.kalau orang jenis lembut memang geram dia.wanita kalu lihat dia pun naik syok. anwar tak tahu la sebab mahkamah belum putuskan lagi. manusia yang suka luar tabiee ini ada dua jenis -- satu memainkan pernana wanita dan satu lagi berperanan lelaki. serupa juga kaum hawa yang luar tabie - satu berperanan wanita (memag wanita) dan satu lagi berperanan lelaki. di kl di panggil pernkid itu lah lebih kurang. tapi dari kau hawa ini cemburu terlalu kuat. boleh gadoh lah kalau lelaki nak tackle girl friend dia.- yang kebanyakan nya chun chun- sekadar pendapat !

Leave a comment

Recent Entries

Jesuits biaya Anwar bentuk Islam baru di Malaysia
Oleh AngelaAnwar dikenali sebagai chameleon atau sesumpah atau sumpah-sumpit. Atau dengan lain perkataan, Anwar seorang yang berpura-pura. Atau dengan…
Hati-hati Anwar rekrut semula kumpulan baru bertopeng Islam
Nik Nazmi, M.Chozin Amirullah dan Nurul Azizah diberi task force oleh Anwar untuk membangunkan kumpulan Islam baru oleh Anwar Ibrahim.…
Makna kemerdekaan buat Anwar...
Oleh gelagat anwarKepada Pak Sheikh Anwar, kemerdekaan mungkin perkara yang asas dan bersifat kemanusiaan - lagi sejagat. Agaknyalah. Atau…