Oleh Muhamad Atiullah Othman
Tahun 2010 sudah bermula. Sepuluh tahun sudah kita tempoh di awal tahun millenium dengan peristiwa-peristiwa yang mengejutkan banyak pihak. Penulis terimbas peristiwa desakan para peguam non-Muslim yang pernah menggawatkan negara dan didalangi tuntutan Interfaith Commission (IFC).
Namun,
Alhamdulillah, usaha mereka tidak sampai ke mana. Berbanding di Indonesia, isu perkahwinan antara agama diperdebatkan. Orang yang bertanggungjawab yang membincangkan isu ini adalah Uli Absar Abdalla (foto); pemimpin dan koordinator Jaringan Islam Liberal (JIL).
Uli Absar menyebut di dalam surat khabar Harian Kompas: 'Larangan kahwin beza agama, dalam hal ini antara perempuan Islam dengan lelaki non-Islam, sudah tidak relevan lagi.'
Isu
ini mendapat sokongan padu dari pengikut-pengikutnya lebih-lebih lagi
Nurcholish Madjid; Rektor Universiti Paramadina bersama-sama kumpulannya iaitu
Kautsar Azhari Noer, Komaruddin Hidayat, Masdar F. Mas'udi, Zaiunun Kamal,
Zuhairi Misrawi, Budhy Munawar-Rachman dan Ahmad Ghaus AF.
Mereka menghasilkan
buku bertajuk Fiqh Lintas Agama:
Membangun Masyarakat Insklusif-Pluralis. Buku ini sungguh agresif dengan serangan
terhadap ulama sebagai golongan memonopoli agama dan tong kosong.
Tidak
lama selepas penerbitan buku yang kontroversi ini, Majelis Ulama Indonesia
(MUI) mengadakan Musyawarah Nasional (Munas) ke-7 di Jakarta pada 24 hingga 29
Julai 2005, mengeluarkan fatwa mengenai sesat dan haramnya ajaran Ahmadiyah,
Liberalisme, Pluralisme dan Sekularisme.
Hal ini menjadi semakin gempar dan bertambah gawat kerana fatwa ini mendapat hentaman dan kecaman yang hebat daripada JIL terhadap MUI. Fatwa ini mendapat sokongan dari ulama di Malaysia melelui keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, kali ke-74 pada 2006 lalu.
Penulis
meneliti secara mendalam mengenai isu perkahwinan antara agama ini. Pada
peringkat awal, penulis menyangka Nurcholish ingin menyentuh perkahwinan lelaki
Muslim dengan wanita ahli Kitab. Mungkin Nurcholish ingin menyebut ahli Kitab
ini adalah penganut agama Yahudi dan Kristian.
Kalau
hal ini ingin dibangkitkan, penulis merasakan Nurcholish ingin menghangatkan
perbincangan yang pernah dilakukan oleh Ibnu Taimiyah (seorang ulama di
kalangan mazhab Hambali). Ibnu Taimiyah menegaskan semua penganut wanita
Kristian halal dikahwini. Penegasan ini adalah bercanggah dengan pandangan
mazhab Syafi'i yang mengkhususkan wanita Kristian yang asal dan kuat berpegang
dengan Kitab.
Penulis
mula sangsi apabila membaca Islam Agama Peradaban karya Nurcholish yang
menggolongkan penganut Majusi dan Shabi'in di dalam senarai ahlul Kitab.
Dakwaan Nurcholish ini adalah bersandarkan amalan Khalifah Umar Al-Khattab yang
melayan puak Majusi setaraf dengan ahlul Kitab. Padahal, para ulama hanya
mengkategorikan Majusi sebagai shibh ahli Kitab (seakan-akan ahlul Kitab) dan
tidak dikategorikan ahlul Kitab.
Penulis
juga merasakan Nurholish membuat kenyataan keterlaluan apabila menggolongkan
penganut Hindu, Buddha dan Confucious sebagai ahlul Kitab. Laman web Islam
Liberal yang rasmi juga memuatkan pendangan Zainun Kamal yang menyatakan,
'Penganut Buddha dan Hindu adalah ahlul Kitab.' Dengan dakwaan sedemikian, lelaki
Muslim harus menikahi wanita Kristian, Hindu, Buddha dan Confucious.
Penulis
juga menjadi terperanjat besar apabila membaca buku Fiqh Lintas Agama karya kumpulan Nurcholish yang mendakwa wanita
Muslim pula harus menikahi lelaki Kristian, Hindu, Buddha dan Confucious.
Penulis mengambil masa yang lama untuk menganalisis beberapa persoalan; di
manakah silapnya mereka berhujah? Kenapa terlalu jauh menyimpang jauh dari
agama Islam?
Asas
pegangan Islam Liberal adalah konsep pluralisme yang dianuti mereka. Menurut
Majelis Ulama Indonesia, pluralisme agama adalah suatu fahaman yang mengajarkan
bahawa semua agama adalah sama, dan kerananya kebenaran setiap agama adalah
relatif; oleh sebab itu, setiap pemeluk agama tidak boleh mendakwa bahawa hanya
agamanya saja yang benar sedangkan agama lain salah.
Konsep
pluralisme yang kufur ini menjadi pegangan mereka. Nurcholish mendakwa,
perkahwinan antara agama ini adalah harus kerana berasaskan konsep pluralisme
agama yang merupakan sunnatullah dan tidak boleh dihindarkan.
Tuhan menyebut
agama-agama samawi dan mereka membawa ajaran amal soleh sebagai orang yang akan
bersama-Nya di syurga nanti. Bahkan penganut agama lain seperti Hindu, Buddha
dan Confucious juga berpeluang memasuki syurga Allah sebagai tanda bahawa Allah
menerima mereka.
Tambah
Nurcholish lagi, tujuan dari perkahwinan adalah untuk membangun kasih sayang.
Melalui perkahwinan yang berbeza agama dapat dijadikan wahana untuk membangun
toleransi dan kesefahaman antara pemeluk agama-agama yang berbeza. Malah tujuan
yang dibawa Islam adalah pembebasan dan bukannya belenggu. Sudah tiba saatnya
kita harus melihat agama lain bukan sebagai kelas kedua dan bukan pula ahl
al-Zimmah dalam erti menekan mereka, tetapi sebagai warganegara.
Nurcholish
menyatakan tujuan agama ini merupakan Maqasid Syariah (Tujuan Utama Syariah).
Di sinilah titik kesilapan penghujahan dan istinbat (mengeluarkan hukum).
Maqasid Syariah yang mereka sebut, tidak menepati Maqasid Syariah yang
digariskan para ulama.
Maqasid
Syariah yang disepakati oleh ulama
adalah mengenai Daruriat Khamsah; iaitu tujuan agama untuk menjaga
agama, maruah, akal, keturunan dan harta. Ini adalah dasar kepada Maqasid
Syariah yang paling asas. Maqasid mereka adalah pluralisme agama, ta'aruf dan
kebebasan yang tidak bersandarkan kepada agama.
Perlu
ditegaskan di sini, Maqasid Syariah bukan sumber hukum dan cara pendalilan
Islam. Maqasid Syariah adalah penjelasan kepada kewajaran hukum yang telah
ditentukan. Justeru, Maqasid Syariah
tidak membawa kepada pendalilan hukum dan hanya penyataan kewajaran hukum.
Kesilapan
sebeginilah yang ditegaskan di dalam Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa
Kebangsaan (Muzakarah Kali Ke-74) menyebut: Aliran pemikiran liberal ini
mempunyai kaedah yang tersendiri apabila merujuk kepada hukum-hukum Fiqh iaitu
mengambil tujuan hukum bukan bentuk hukum.
Golongan
liberal ini ternyata telah mencetuskan pemikiran dan dakwaan yang berat.
Pandangan ini sangat bertentangan dengan ulama silam yang sepakat mengatakan
bahawa perkahwinan wanita Islam dengan lelaki kafir adalah haram sama ada
lelaki itu dari golongan ahli kitab atau musyrik. Dr Yusof Al-Qaradhawi dan
Sayyid Sabiq yang merupakan ulama tersohor kontemporari turut membuat penegasan
yang sama.
Golongan
Islam Liberal ini, walaupun sedar kesilapan mereka, tetapi mereka terus juga
melakukan beberapa tindakan yang melanggar hukum agama yang telah termaktub di
dalam al-Quran, hadis serta karya para alim ulama.
Kini, mereka menggunakan
lebih sepuluh buah radio bagi mengendalikan talk
show untuk meracuni pemikiran umat Islam. Bahkan menggunakan sebaran
majalah Kompas, surat khabar Tempo dan Republika untuk bertempur dengan para alim ulama di Indonesia.
Bahang
serangan mereka memang sudah lama masuk ke Malaysia tanpa disedari. Lebih-lebih
lagi website www.islamlib.com dan islamliberal@yahoo.com terus cuba
menggayang akidah suci umat Islam di kalangan rumpun Melayu ini.
Penulis merasa
terpanggil untuk berhadapan dengan mereka melalui majalah Al-Islam. Insya'Allah,
penulis akan terus menulis dalam artikel akan datang bagi membongkar
tindak-tanduk mereka yang ingin menyesatkan umat Islam khusunya di Nusantara.
Sumber
- Al Islam, Februari 2010



Leave a comment