Merujuk kepada rentetan pelbagai kontroversi berterusan yang masih wujud berhubung penggunaan kalimah 'Allah' oleh pelbagai agama selain dari agama Islam di negara kita Malaysia sekarang ini, maka BIPPA PKR sukacita menjelaskan pendirian kami mengenai hal ini.
Sesungguhnya, kami melihat bahawa fenomena ini adalah manifestasi dari fitrah insani sejak dari azali lagi bahawa kesemua manusia memperakui keesaan dan penciptaan dunia oleh Allah SWT sebagaimana firmanya yang bermaksud:
"Dan jika kamu tanya mereka (orang kafir) siapakah yang mencipta langit dan bumi? Mereka akan berkata Allah..." (Al Quran, Az-Zumar (39):38).
Adalah jelas bahwa penggunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam telah berlaku sejak dari dahulu lagi, khususnya bagi para penganut agama samawi. Sebahagian dari kitab suci mereka memang menggunakan kalimah Allah (terutama di Timur Tengah). Di dalam kehidupan harian mereka hari ini, penggunaan Bismillah, Alhamdulillah, Masya Allah, Astaghfirullah, Wallahi dan sebagainya bukanlah suatu yang pelik dan janggal. Di Indonesia, penggunaan kalimah Allah di gereja-gereja memang telah lama menjadi kebiasaan. Begitu juga bagi bagi penganut agama Kristian di Sabah dan Sarawak.
Adalah jelas bahawa menggunakan kalimah Allah untuk mengiktiraf dan membesarkan Allah sebagai Tuhan, adalah hak asasi setiap insan. Hak ini perlu dihormati dan tidak boleh dihalang. Bukankah Allah itu Tuhan untuk semua - Rabbul `aalamiin atau Lord of the Universe?
Maka
itu, kami melihat fenomena ini adalah bertepatan dan serasi dengan
wadah dan perjuangan KeADILan selama ini. Malahan, perjuangan untuk
menegak yang makruf dan mencegah kemungkaran akan menjadi lebih mudah
dan selesa sepertimana firman Allah:
"Katakan wahai Ahli Kitab, mari tegakkan kalimah yang sama antara
kami dan kamu iaitu bahawa kita tidak akan menyembah selain Allah dan
tidak mensyirikkan (associate) Allah dengan satu apapun serta janganlah
ada antara kita yang mengambil tuhan-tuhan selain Allah.
"Dan jika mereka berpaling maka katakanlah bahawasanya kami adalah orang Islam (menyerah diri pada Allah)" (Surah Ali `Imran(3):64).
Dr. Muhd Nur Manuty
Pengerusi
Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)
Parti KeADILan Rakyat.
22 November 2009
sumber - selangor kini

Ini terjemahan penuh Ayat Az-Zumar, [38]
وَلَئِن سَأَلْتَهُم مَّنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلْ أَفَرَأَيْتُم مَّا تَدْعُونَ مِن دُونِ اللَّهِ إِنْ أَرَادَنِيَ اللَّهُ بِضُرٍّ هَلْ هُنَّ كَاشِفَاتُ ضُرِّهِ أَوْ أَرَادَنِي بِرَحْمَةٍ هَلْ هُنَّ مُمْسِكَاتُ
رَحْمَتِهِ قُلْ حَسْبِيَ اللَّهُ عَلَيْهِ يَتَوَكَّلُ الْمُتَوَكِّلُونَ
38. Dan demi sesungguhnya! Jika engkau (wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: "Siapakah yang mencipta langit dan bumi?" Sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah". Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu? Jika Allah hendak menimpakan daku dengan sesuatu bahaya, dapatkah mereka mengelakkan atau menghapuskan bahayaNya itu; atau jika Allah hendak memberi rahmat kepadaku, dapatkah mereka menahan rahmatNya itu?" Katakanlah lagi: "Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku); kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".
Dan saya mahu mengulang balik aya diatas itu.
Katakanlah (kepada mereka): "Kalau demikian, bagaimana fikiran kamu tentang yang kamu sembah yang lain dari Allah itu?
Zaman sekarang orang dah mula menyeleweng ayat2 Al-Quran untuk kepentingan masing2.Fikir2kanlah yang mana memperjuangkan Islam ataupon memperjuangkan diri sendiri atas nama Islam..