Oleh Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
tuty@bharian.com.my
SEREMBAN: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyifatkan kekalahan pembangkang pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang bulan lalu, permulaan kepada masalah dalaman yang melanda parti itu."PKR mengakui terdapat beberapa masalah yang timbul sepanjang kempen itu hingga menyebabkan kekalahan pembangkang.
"Bagaimanapun, kita akan buat post mortem (bedah siasat) bagi
mencari punca kekalahan itu dan seterusnya mengambil langkah yang tepat
bagi membaiki semula prestasi parti, " katanya pada sidang media
selepas Konvensyen Keadilan Negeri Sembilan di Sekolah Menengah Chung
Hua di sini, semalam.
Dalam pilihan raya kecil pada 11 Oktober lalu, calon Barisan
Nasional (BN), Tan Sri Mohd Isa Samad, mendapat 8,013 undi menewaskan
calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar memperoleh 2,578 undi.
Bagaimanapun, Anwar tidak mahu isu kekalahan itu dipanjangkan lagi kerana ia mampu diselesaikan dengan baik oleh parti itu.
Sementara itu, beliau menafikan dakwaan penganjuran Konvensyen Keadilan
di setiap negeri sekarang untuk mengalih pandangan rakyat terhadap
masalah dalaman dalam PKR.
Beliau berkata, konvensyen itu bertujuan untuk menjelaskan situasi sebenar keadaan ekonomi dan sosial kepada rakyat.
Katanya, setiap isu yang dibentangkan dalam Parlimen perlu
didedahkan kepada rakyat supaya mereka tahu keadaan sebenar yang
berlaku.
"Kita bukan mahu mengalihkan pandangan seperti yang cuba
dilakukan Barisan Nasional (BN) yang kini menghadapi masalah
membabitkan parti komponen, tetapi mahu rakyat tahu apa sebenar yang
berlaku dalam hal ehwal ekonomi dan sosial negara, " katanya.
sumber - berita harian

Leave a comment