
KOTA BHARU, Nov 15 -- Cadangan melantik Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sebagai Pengerusi Pakatan Rakyat (PR) mendapat reaksi positif di kalangan pemimpin parti itu namun ia menjadi polemik di kalangan pimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Ini kerana semua beranggapan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah ketua umum Pakatan Rakyat selama ini. Namun apabila Datuk Zaid Ibrahim mencalonkan Nik Aziz, semua melihat ia satu cadangan yang wajar.
"Saya setuju Nik Aziz menjadi ketua Pakatan Rakyat jika dipersetujui oleh para pemimpin parti dalam Pakatan Rakyat," kata Datuk Mustafa Ali, Setiausaha Agung PAS.
Kenyataan Mustafa penting kerana beliau sebagaimana presiden dan timbalan presiden PAS dilihat berbeza kumpulan dalam PAS. Nik Aziz dilihat sentiasa menyerang beliau. Apabila dia sendiri bersetuju dengan cadangan ini, ia satu yang positif dalam mendekatkan perbezaan dalam PAS.
Cadangan Zaid juga datang ketika Anwar berhadapan dengan dakwaan di mahkamah. Jika beliau didapati bersalah, berlaku satu lompang besar dalam PKR dan juga Pakatan Rakyat.
Sekurang-kurangnya dengan cadangan Zaid ini, ia boleh mengisi lompong dalam Pakatan andainya itu yang terpaksa dihadapi Anwar.
Namun, apakah Nik Aziz yang bakal dinamakan sebagai perdana mentri jika Pakatan menang pilihan raya akan datang? Seorang pemerhati politik mencadangkan Nik Aziz ketua Pakatan namun Datuk Seri Anwar lebih diyakini sebagai perdana mentri.
Oleh itu, amat wajar kalau Nik Aziz mengulas isu ini menegaskan sendiri perkara ini, katanya.
Dalam padas itu, ahli parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abd Rahim Wan Abdullah, berkata cadangan sebagai ketua Pakatan Rakyat itu selari dengan ketokohan Nik Aziz di samping hubungan baik beliau bersama seluruh kepimpinan PR yang lain.
Menurut Abd Rahim, Nik Aziz mempunyai kredibiliti tersendiri yang membolehkan beliau menerajui PR dengan lebih cemerlang berdasarkan pengalaman perkhidmatannya selama puluhan tahun di dalam parti.
"Saya percaya pengalaman itu boleh melengkapkan barisan pakatan terus maju ke hadapan," katanya mengulas cadangan dikemukakan bekas menteri di Jabatan Perdana Mentri, Datuk Zaid itu.
Zaid mempunyai hubungan rapat dengan Nik Aziz dikatakan amat mengenali keupayaan Mentri Besar Kelantan itu mencadangkan agar beliau dilantik sebagai Pengerusi PR sekiranya pakatan mahu terus diterima rakyat.
Katanya, jawatan yang dipegang oleh Anwar kini berbeza dengan cadangan tersebut. Jawatan Pengerusi PR masih belum dilantik.
"Saya percaya soal pengaruh kurang atau tidak bukan menjadi isu," jelasnya.
Tambahnya lagi, soal automatik individu yang memegang jawatan tersebut dilantik menjadi Perdana Menteri sekiranya PR mendapat mandat rakyat membentuk kerajaan juga tidak timbul kerana sistem penentuan sesuatu jawatan di dalam pakatan tidak sama dengan Barisan Nasional (BN).
sumber - malaysian insider
Anwar masih sesuai jadi PM - Zaid
KUALA LUMPUR, Nov 17 -- "Saya tegaskan di sini bahawa buat masa ini memang tak ada mana-mana wakil rakyat yang lebih sesuai dan berupaya daripada Anwar Ibrahim untuk menjawat jawatan Perdana Menteri apabila Pakatan memperolehi undi majoriti rakyat nanti."
Demikian jelas Datuk Zaid Ibrahim (gambar) sambil meminta para penyokong dan peminat Anwar agar tidak bimbang dengan pandangannya baru-baru ini bahawa Musyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat wajar diberi peluang mengetuai PR apabila didaftarkan secara rasmi kelak.
"Bila saya mencadangkan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dilantik ketua Pakatan Rakyat, riuh-rendah kedengaran suara menyokong dan menentang.
"Ramai yang memberi pendapat mereka. Ada pula yang menuduh kononnya ini strategi saya nak jadi ketua Pakatan. "Kata mereka saya tak hormat Anwar Ibrahim apabila membuat cadangan ini. Nampaknya masih ada yang tak faham atau pura-pura tak faham," tulis Zaid dalam blognya hari ini.
PR dijadual mengadakan konvensyen khas 19 Disember ini.
Zaid, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) tahun ini menambah, premis utama syornya ialah "kita perlu kepada seorang spiritual leader sama saperti Mahatma Gandhi sewaktu zaman India memperjuangkan kemerdekaan dahulu."
Beliau kini bercuti selama enam bulan daripada Biro Politik PKR.
"Kita tahu pemimpin seperti itu diperlukan untuk menerajui gerakan Pakatan. Pemimpin politik biasa, walau bagaimana hebat dan handal sekali pun, tidak akan cukup kuat untuk melawan gergasi Barisan Nasional.
"Yang saya maksudkan sebagai pemimpin spiritual ini adalah seorang pemimpin yang tidak ada cita-cita nak jadi Perdana Menteri atau apa-apa jawatan besar," kata beliau sambil menambah, personaliti yang sesuai dilihat ialah Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.
"Jadi bila saya toleh kiri dan kanan dan saya lihat hanya Tok Guru Nik Aziz ada kelayakan tersebut.
"Beliau diterima oleh semua kaum dan agama. Maka saya terus mencadangkannya kerana saya berpendapat hanya apabila kita letak pertarungan Pakatan melawan BN atas perjuangan spiritual melawan kuasa yang rakus dan rasuah, barulah rakyat akan bersemangat dan bangkit bersuara untuk memihak kepada kita," katanya.
Jelas Zaid, soal jawatan Perdana Menteri terserah kepada wakil-wakil rakyat PR apabila mendapat kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan baru.
Justeru, katanya, ia akan menjadi perkara mudah kerana Nik Aziz pun tahu dan bersedia menerima orang lain yang lebih sesuai untuk menjadi Perdana Menteri.
"Cadangan saya ini juga sama seperti dengan kedudukan Pengerusi Parti Buruh atau Konservatif di United Kingdom yang tidak pernah pun menjadi Perdana Menteri. Tugas mereka adalah menjaga perpaduan dan kekukuhan parti.
"Saya tegaskan di sini bahawa buat masa ini memang tak ada mana-mana wakil rakyat yang lebih sesuai dan berupaya daripada Anwar Ibrahim untuk menjawat jawatan Perdana Menteri apabila Pakatan memperolehi undi majoriti rakyat nanti. Jadi penyokong dan peminat Anwar Ibrahim tak usahlah bimbang," katanya lagisumber - malaysian insider
Ketua PR cadangan 'belum masak' - Nik Aziz
KOTA BARU, Nov 19 -- Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kelihatan belum bersedia untuk memberi reaksi berhubung cadangan agar beliau dilantik menerajui Pakatan Rakyat (PR) sambil menyifatkannya sebagai isu yang "belum masak lagi."
Menteri Besar Kelantan itu menyifatkan masih terlalu awal dan belum sampai masa untuk beliau mengulas cadangan itu yang dilontarkan oleh Datuk Zaid Ibrahim.
"Belum masak lagi, biar periuk menggelegak, lama-lama boleh masak dan makan nasi," kata beliau semalam.
Minggu lalu, Zaid yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan kini bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengesyorkan agar Nik Aziz mengetuai PR apabila ia didaftarkan sebagai entiti formal.
Zaid merupakan bekas Ahli Parlimen Kota Baru.
Kini Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan Ketua Umum PR yang dibentuk selepas pilihan raya umum ke-12 MacBagaimanapun syor Zaid itu mencetuskan pelbagai pandangan positif dan negatif, malah kebimbangan di kalangan penyokong Anwar.
Oleh itu jelas Zaid, "saya tegaskan di sini bahawa buat masa ini memang tak ada mana-mana wakil rakyat yang lebih sesuai dan berupaya daripada Anwar Ibrahim untuk menjawat jawatan Perdana Menteri apabila Pakatan memperolehi undi majoriti rakyat nanti."
"Bila saya mencadangkan Tok Guru Nik Aziz Nik Mat dilantik ketua Pakatan Rakyat, riuh-rendah kedengaran suara menyokong dan menentang.
"Ramai yang memberi pendapat mereka. Ada pula yang menuduh kononnya ini strategi saya nak jadi ketua Pakatan.
"Kata mereka saya tak hormat Anwar Ibrahim apabila membuat cadangan ini. Nampaknya masih ada yang tak faham atau pura-pura tak faham," ujar Zaid.
PR dijadual mengadakan konvensyen khas 19 Disember ini.
sumber - malaysian insider

Leave a comment