Ini ekoran timbul tekanan dan kontroversi yang semakin memuncak termasuk siri pendedahan sensasi dalam laman blog yang dibuat sendiri oleh Syed Azidi Syed Abdul Aziz ,orang kanan Exco Kerajaan Negeri Kelantan,Datuk Husam Musa yang dipecat oleh Abdul Ariffahmi pada 10 Nov lalu.


Nik Aziz membuat pengumuman mengenai menantunya itu selepas mengadakan pertemuan selama sejam dengan rombongan pimpinan PAS pusat itu di kediaman rasminya di Kota Bharu.

Mereka terdiri dari Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Salahuddin Ayub, Bendahari, Dr Hatta Ramli dan Timbalan Mursyidul AM PAS Datuk Dr Haron Din.

Agendadaily difahamkan pimpinan utama PAS itu memutuskan Sabtu lalu untuk pergi beramai-ramai menasihatkannya tentang kedudukan menantunya bagi menjaga imej parti dan kerajaan negeri.

Ini adalah kali pertama pimpinan PAS terpaksa mengambil langkah drastik sebegini.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ( SPRM ) kini sedang menyiasat PMBK.Ini ditambah pula dengan isu tajaan haji seorang ahli perniagaan yang Nik Aziz sudah batalkan pemergian.Syed Azizi menghangatkan suasana menerusi pendedahan yang mendakwa Abdul Ariffahmi ' cukup jahat'.

Langkah pimpinan PAS pusat itu dilihat sebagai usaha untuk menyelamatkan maruahnya yang tercalar kerana terlalu melindungi menantunya yang pernah disifatkan sebagai orang berkelayakan untuk menjadi CEO PMBK.

Bercakap dalam sidang akhbar selepas pertemuan itu yang turut dihadiri oleh Abdul Ariffahmi,Musyridul Am PAS itu berkata keputusan mengarahkan menantunya meletak jawatan sebagai CEO PMBK dibuat setelah menerima pandangan pimpinan PAS berkenaan.

"Semuanya nasihat saya untuk menjaga nama baik kepimpinan Islam khususnya PAS. Nasihat kepada saya supaya menantu saya mengundur diri.

Nik Aziz yang sebelum ini tegas mempertahankan lantikan menantunya itu memberi alasan semasa membuat keputusan lantik Ariffahmi itu ,Penasihat Undang-undang Negeri Kelantan tidak membantah.

"Dulu masa saya lantik beliau, ada Penasihat Undang-undang, beliau tidak komen apa. Jadi saya lantik. Nanti untuk elak fitnah melalui bermacam saluran seperti surat layang... jadi ( kini buat keputusan arah letak jawatan kerana ) tidak mahu fitnah ini berkembang," katanya.

Nik Aziz berkata arahan peletakan jawatan itu dibuat demi menjaga nama baik Islam dan kepimpinan PAS.

Beliau bagaimanapun menafikan arahan itu ada kaitan dengan siasatan SPRM keatas PMBK.

''Siasatan SPRM itu siasatlah... itu kerja dia... tetapi fitnah itu yang jadi (dakwa siasatan itu berpunca dari fitnah) .Nabi kata fitnah ini benda tidur, siapa-siapa yang gerak dia akan dilaknat Allah. Itu fitnah punya fasal tetapi ini hendak jaga kepimpinan Parti Islam Semalaysia," katanya.

Pada sidang media yang sama, Abdul Ariffahmi berkata beliau menerima arahan dan akan meletakkan jawatannya setelah mengira baki cuti yang tinggal dalam PMBK.

"Saya ingin menyatakan saya dapat terima keputusan ini dengan hati yang lapang dan keputusan ini dibuat untuk menjaga nama baik kepimpinan Islam, kepimpanan PAS Kelantan dan parti.

"Terima Kasih kerana saya diberi kepercayaan kepada Tok Guru selama lapan tahun di PMBK dan jawatan terakhir saya adalah Ketua Pegawai Eksekutif," katanya.

Menyentuh tentang dakwaan bahawa beliau sebelum ini sudah diminta letak jawatan, Abdul Ariffahmi berkata arahan itu hanya dikeluarkan hari ini.

Menurutnya sebelum ini beliau ada merujuk tentang kedudukannya kepada Nik Aziz, namun Menteri Besar memintanya meneruskan tugas sebagai seperti biasa.

''Saya nak ulang lagi, apa yang ditulis dalam blog tertentu sebelum ini bahawa saya telah diminta meletak jawatan dan rentetan itu arahan telah dikeluarkan dan saya tak terima arahan itu lalu pergi ke Kuala Lumpur merajuk, itu tak betul,"katanya.

Baru-baru ini ,Abdul Ariffahmi membuat kenyataan menafikan beliau diarahkan meletakkan jawatan CEO PMBK.Ini ekoran tulisan Syed Azidi dalam laman blognya yang menyatakan dia mendapat maklumat bekas bosnya itu akan diminta letak jawatan.

Walaupun bertugas secara rasmi di PMBK tetapi Syed Azidi secara terbuka memberitahu bosnya yang sebenar ialah Husam.

Sementara itu wakil delegasi PAS pusat, Salahuddin menyifatkan keputusan Nik Aziz sebagai bukti integriti yang tinggi kerana menerima pandangan PAS pusat dengan mengetepikan kepentingan keluarga dan dirinya demi perjuangan Islam dan parti.

"Tok guru menunjukkan sikap cukup tinggi nilai moralnya yang mengutamakan jemaah," katanya.

Beliau berkata sememangnya dalam pindaan Akta SPRM jelas menyatakan peruntukan bahawa menantu atau anggota keluarga tidak boleh dilantik.

Mengulas perkembangan ini Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim menyifatkan Mursyidul Am PAS itu tidak konsisten.

"Dulu semasa melantik Ariffahmi, Nik Aziz guna pelbagai hujah termasuk menyamakan tindakannya dengan beberapa tindakan baginda Rasulullah yang turut melantik ahli keluarga Baginda memegang jawatan.

"Malah dalam beberapa isu lain, Nik Aziz sering menggunakan hujah tindakannya adalah sesuai dengan tuntutan Allah dan sama dengan tindakan Nabi Muhammad tetapi kini kenapa Nik Aziz tidak mempertahankan hujahnya itu apabila mengarahkan menantunya meletakkan jawatan," katanya kepada Agendadaily di lobi Parlimen hari Isnin.

Beliau turut menyifatkan, keputusan Nik Aziz mengarahkan menantunya melepaskan jawatan CEO PMBK sebagai bukti betapa Nik Aziz begitu melindungi Husam.

Sumber PAS yang layak dipercayai memberitahu Agendadaily pimpinan parti itu terpaksa bertindak segera untuk mengelak isu anak menantu ini berlarutan.

Katanya isu Ariffahmi membuatkan mereka semua dalam dilema dan serba salah kerana sebelum ini mengecam kronisme dan neopotism tetapi kini terkena batang hidung sendiri apa lagi melibatkan menantu Nik Aziz.

"Dari segi moralnya...memang isu ini berat.Jika tidak... tak mungkin Presiden PAS dan pemimpin utama lain memutuskan hendak pergi bercakap sendiri dengan Tok Guru Nik Aziz mengenainya,"katanya.

Sumber itu memberi contoh dalam kontroversi Nik Aziz baru-baru cadang adakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) untuk bincang kedududkan dua tiga kerat pemimpin PAS yang didakwanya tidak hayati perjuangan parti hanya Salahuddin ( Naib Presiden) sahaja turun menemuinya sebagai ' orang tengah"

Namun menurutnya dalam isu menantunya Haji Hadi,Salahuddin,Hatta dan Dr Haron Din terpaksa turun untuk ' bersuara'

sumber - agendadaily